Saturday 15 December 2012

Dua lelaki disyaki edar dadah ditahan


SERIAN: Dua lelaki tempatan ditahan baru-baru ini dipercayai terlibat dalam kegiatan mengedar dadah di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Serian DSP Mohd Jamali Umi berkata, kedua-dua yang ditahan masing- masing berusia 39 dan 23 tahun dipercayai berasal dari Kampung Taee dan Kampung Hulu, Serian.

Menurutnya, tangkapan tersebut adalah di Bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

“Pada 28 November barubaru ini, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Serian berjaya membuat tangkapan ke atas dua lelaki kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan mengedar dadah di sekitar daerah Serian.

“Kegiatan kedua-dua suspek ini dipercayai boleh menggugat kententeraman awam dan menyebabkan be r t ambahnya bi l ang a n penagih dadah di Serian khususnya,”katanya.

Menurut beliau, kedua-dua suspek kini ditahan di Balai Polis Serian selama 60 hari bermula dari tarikh mereka ditangkap sementara kes dirujuk kepada Kementerian Dalam Negeri untuk tindakan lanjut.

Jamali turut memberitahu terdapat peningkatan tangkapan kes nakotik di sekitar daerah Serian pada tahun ini berbanding tahun lepas (2011).

“Pada tahun lepas (2011) sebanyak 151 kes dilaporkan bebanding 192 kes dilaporkan sehingga November tahun ini yang mana telah menunjukkan peningkatan sebanyak 41 kes,” katanya.

Justeru menurut beliau, pihaknya akan menggiatkan lagi usaha untuk melumpuhkan kegiatan mengedar dadah di Serian.

“Kita akan melakukan beberapa lagi tangkapan dalam tempoh terdekat ini bagi membanteras kegiatan pengedaran dadah khususnya di daerah Serian,” katanya.

-BP

Taksub kahwin 12.12.12, pelajar Tingkatan Dua dirogol teman lelaki


BETONG: Taksub dengan janji manis seorang lelaki yang berjanji untuk menjadi pasangan hidupnya, seorang pelajar Tingkatan Dua, salah sebuah sekolah menengah di sini telah menjadi mangsa rogol teman lelakinya.

Ketua Polis Daerah (KPD) Betong, DSP Wan Zaizodin Wan Jaafar mengesahkan menerima laporan tersebut berkata, mangsa yang baharu berusia 14 tahun, telah berkenalan dan menjalinkan hubungan kekasih dengan suspek yang juga merupakan seorang pekerja ladang kelapa sawit pada April lalu.

“Kedua-dua pasangan tersebut adalah berasal dari Debak,” katanya.

Menurut mangsa, suspek juga dikatakan berjanji untuk berkahwin dengannya pada tarikh 12.12.2012 (12.12.12).

Pada tarikh tersebut sekitar jam 10 pagi, mangsa telah mengikut suspek keluar untuk ke Kampung Dit, Debak.

Pada masa itulah mangsa telah dibawa suspek berhenti di kebun dan mengadakan hubungan seks, selepas itu mangsa sekali lagi dibawa oleh suspek ke tepi Sungai Rimbas, Jalan Kampung Tambak, Pusa dan sekali lagi melakukan hubungan seks untuk kali kedua.

Akibat kejadian itu, mangsa yang rasa tertipu dan terpedaya meskipun telah menjalinkan hubungan seks bersama suspek namun mereka tidak juga bernikah seperti yang dijanjikan telah membuat laporan polis.

Mangsa dirujuk ke Hospital Betong untuk pemeriksaan dan pakaian mangsa juga telah dirampas.

Manakala suspek telah ditangkap dan kes disiasat di bawah seksyen 376 kanun keseksaan.

-BP

Lelaki maut kenderaan berlanggar dengan kren

Gambar Hiasan 

SIBU: Seorang kakitangan Hospital Kanowit maut selepas terbabit kemalangan berhampiran simpang ke Lapangan Terbang Sibu malam Selasa lepas.

Mangsa Edmund Henry, 35, dikatakan dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ke rumahnya di Taman Desa Satria, Batu 8, Jalan Oya.

Dalam kejadian sekitar jam 10 malam, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian setelah kereta Perodua Viva yang dipandunya berlanggar dengan kren yang membaiki lampu jalan.

Menurut adik lelaki mangsa yang juga wartawan Utusan Borneo Michael Henry, mendiang mengalami kecederaan di kepala, leher, dada, kaki dan tangan.

Mendiang meninggalkan seorang isteri dan tiga anak lelaki berumur enam bulan, 12 tahun dan 14 tahun.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sibu dengan menggunakan kenderaan polis kira-kira jam 1 pagi.

Salah seorang pengguna jalan raya memberitahu, lampu jalan di kawasan berkenaan kerap tidak berfungsi.

Beliau turut menggesa pihak berkaitan agar mengambil tindakan segera bagi mengelak insiden serupa berulang pada masa akan datang.

Sementara itu, Michael yang baharu pulang dari Miri pada hari kejadian memberitahu, beliau dimaklumkan kejadian tersebut oleh ahli keluarganya.

“Kami sangat rapat dan saling hubung-menghubungi antara satu sama lain,” jelasnya.

-BP

Malaysia ada risiko dilanda gempa bumi



KUALA LUMPUR - Terdapat kebarangkalian Malaysia dilanda gempa bumi pada masa hadapan sungguhpun negara ini terletak di luar kawasan Lingkaran Api Pasifik, kata seorang penyelidik hari ini.

Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi Universiti Malaysia Sabah, Prof Dr Felix Tongkul berkata, berdasarkan kajian, pihaknya mendapati Malaysia berkemungkinan dilanda gempa bumi pada kekuatan sederhana iaitu 6.0 pada skala Richter pada masa hadapan.

"Daripada kajian yang kita lakukan, Malaysia mungkin tidak akan ditimpa gempa bumi berskala kuat, tetapi setakat rekod yang kita ada negara mungkin ditimpa gempa bumi berskala sederhana.

"Gegaran pada tahap itu sudah cukup untuk merosakkan bangunan dan harta benda," katanya kepada Bernama pada akhir Seminar Teknikal Kebangsaan Gempa Bumi dan Tsunami anjuran Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) di sini.

Felix berkata, bagaimanapun gempa bumi berkekuatan sederhana itu diramal berlaku di beberapa kawasan tertentu sahaja dan bukan di seluruh negara.

"Seperti yang kita sedia maklum ada beberapa kawasan di negara ini yang sering mengalami gegaran apabila berlaku gempa bumi kuat di negara jiran seperti di kawasan Kundasang, Ranau dan Lahad Datu di Sabah. Kawasan-kawasan ini mungkin berpotensi dilanda gempa bumi sederhana itu," katanya.

Felix yang juga profesor dalam bidang Geologi di Akademi Sains Malaysia berkata, kajian yang dijalankan oleh ahli geologi juga mendapati kawasan Bukit Tinggi di Pahang turut berpotensi mengalami gempa bumi sederhana.

Sehubungan itu, katanya masyarakat harus sentiasa bersedia dan tidak panik sekiranya berlaku gegaran pada masa akan datang.

Katanya, gempa bumi paling kuat yang direkodkan di Malaysia setakat ini ialah gempa bumi sederhana pada kekuatan 5.8 skala Richter di Lahad Datu Sabah pada 1976 yang mengakibatkan banyak harta benda rosak serta bangunan retak.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Ramalan) JMM berkata, Malaysia mengalami lapan gegaran akibat 22 gempa bumi kuat di negara jiran sepanjang tahun 2012.

Beliau berkata, kedudukan Malaysia yang berjiran dengan negara di zon lingkaran gempa bumi menyebabkan Malaysia turut tidak terkecuali daripada terpalit sama merasai gegaran gempa bumi.

"Justeru JMM telah membuat beberapa kajian mengenai kesan gempa bumi dan hasil kajian sedang diteliti di samping pemantauan dari semasa ke semasa bagi membolehkan kita bertindak dengan pantas sekiranya ada kawasan yang dilanda gempa bumi," katanya.

- Bernama

Datuk K terlibat dalam kemalangan motosikal



SUSULAN kemalangan yang menimpa Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa kelmarin, Datuk Siti Nurhaliza sudah tiba di Hospital Southland, Invercargill, New Zealand yang merawat suaminya itu, pagi ini.

"Alhamdulillah... bersyukur sampai dengan selamat untuk perjalanan 27 jam... tak dapat menahan apabila suami asyik bertanya bila nak sampai... akhirnya... alhamdullillah Me di sisi B...," kata Siti dalam laman Twitter kira-kira 10.40 pagi tadi.

Terdahulu, beliau yang memaklumkan perkembangan perjalanan dari semasa ke semasa berkata telah tiba di Dunedin awal pagi tadi.

Penyanyi itu menaiki kereta selama dua jam untuk ke hospital.

"Alhamdulillah sudah berada di Dunedin, New Zealand... sekarang menempuh perjalanan dua jam dengan kereta untuk ke hospital... semoga selamat sampai," katanya dalam mesej sekitar jam 4.26 pagi tadi.

Penyanyi nombor satu negara itu berangkat ke New Zealand tengah hari semalam dengan ditemani kakak iparnya, Datin Zaiton dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Kelmarin, Khalid yang turut dikenali sebagai Datuk K terlibat dalam kemalangan motosikal di Queenstown, New Zealand.

Melalui Twitter, anak lelakinya, Muhammad Azief berkata, Datuk K mengalami patah bahu dan kaki serta patah tiga batang gigi.

Anak Datuk K akan berangkat ke New Zealand hari ini untuk menziarah beliau.

-SH

Bualan panjang tanda ibu pergi



TANJUNG PIANDANG - Seorang lagi mangsa kemalangan di Slim River, 27 November lalu meninggal dunia pada malam 11 Disember lepas setelah dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Serdang, Selangor, menjadikan keseluruhannya enam mangsa korban.

Mangsa, Boo Goik Hong, 55, dari Kampung Bagan Selatan, di sini meninggal dunia jam 11.45 malam setelah dipindahkan ke wad biasa akibat kecederaan parah di bahagian badan dan kepala.

Anak mangsa yang hanya dikenali Ah Heng berkata, ibunya dipindahkan ke Hospital Serdang dari Hospital Slim River dan berada di sisi ayahnya di sepanjang hari.

Menurutnya, ketika itu ibunya berada dalam keadaan sedar dan mampu bercakap dengan ayahnya sebelum ditinggalkan bersendirian sekitar jam 8 malam pada hari kejadian kerana ayahnya pulang ke rumah.

“Ibu mengalami muntah darah secara tiba-tiba sejam selepas itu dan meninggal dunia lebih kurang jam 11.45 malam setelah doktor gagal menyelamatkan keadaan,” katanya.
Mayat mendiang Goik Hong tiba di rumah keluarga malam kelmarin dan akan dikebumikan di tanah perkuburan bukan Islam di Bukit Mertajam, esok.

Ah Heng berkata, bapanya hanya mengetahui berita kematian itu sehari selepas hari kejadian dan terkilan kerana tidak menyangka tindakannya pulang ke rumah untuk berehat menyebabkan tidak berpeluang berada di sisi isterinya.

“Ayah amat sedih sehingga kini dan pernah memberitahu kami bahawa perbualan terakhir di antara ibu dengannya merupakan perbualan paling panjang.

“Sepanjang hidup, mendiang ibu merupakan seorang insan penyayang dan sangat disenangi ahli keluarga,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang kanak-kanak perempuan 12 tahun antara lima maut dalam kejadian kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah lori 12 tan di Kilometer 372.1 Lebuh Raya Utara Selatan, arah selatan.

Kenderaan MPV jenis Hyundai Strex itu membawa 11 penumpang terdiri daripada pemuzik dan penari untuk ke Muar, Johor bagi membuat persembahan di sana.

Mangsa yang maut adalah Poh Hock Huat, 61, dari Transkrian, Nibong Tebal; Pang Lee Si, 35, dari Taman Serdang, Serdang, Kedah; Daphne Eng Yuik Yee, 14, Bagan Selatan, Tanjung Piandang; Juvien Chim Yu Xuan, 12 dan Hong Choon Pee, 33, dari Prai, Pulau Pinang.

-SH

Thursday 13 December 2012

Lemas di Johor, jumpa di Indonesia

JENAZAH Anuar yang ditemui di Bengkalis Sumatera selamat tiba di Kompleks Imigresen Kastam,
Kuarantin dan Keselamatan Banda Hilir, Melaka semalam.

MELAKA – Misteri kehilangan seorang peniaga minuman sejak dua minggu lalu terjawab apabila mayat lelaki itu ditemui terdampar di Pantai Indah Desa Selat Baru, Bengkalis, Sumatera, Indonesia pada Sabtu lalu oleh nelayan republik itu.

Anuar Abdullah, 44, dipercayai terjatuh ke dalam sebatang sungai berhampiran rumah rakannya di Kampung Pinang Balan, Batu Pahat, Johor dan dipercayai lemas sebelum mayatnya dihanyutkan hingga ke pantai di Bengkalis.

Lokasi mayat itu ditemui dengan tempat mangsa terjatuh adalah kira-kira 70 kilometer.

Mayat Anuar yang dibawa pulang dari Indonesia selamat tiba di Kompleks Imigresen Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQ) Banda Hilir di sini pada pukul 9 pagi semalam.

Isteri mangsa, Marliana Sirat, 36, dari Taman Nira, Batu Pahat ketika dihubungi berkata, suaminya itu keluar dari rumah pada pukul 9.30 pagi 28 November lalu untuk menghantar seorang anaknya ke rumah ibunya di Parit Guntung, Batu Pahat.

Bagaimanapun, suri rumah itu memberitahu, sejak itu, suaminya tidak pulang dan dia juga telah mencari arwah di merata-rata tempat sebelum menemui motosikal arwah di rumah rakannya di Kampung Pinang Balan.

“Rakan arwah memberitahu pada hari sebelum hilang, arwah dilihat berjalan menghala ke arah sungai,” katanya.

Marliana yang sedang hamil tujuh bulan berkata, apabila suaminya masih tidak pulang beberapa hari kemudian, dia melaporkan kejadian tersebut di Balai Polis Batu Bahat pada 2 Disember lalu.

“Saya kemudian diberitahu oleh anggota polis pada Sabtu lalu bahawa mayat arwah ditemui di Bengkalis, Sumatera.

“Tidak sangka mayat suami saya akan hanyut sejauh ini,” katanya sambil memberitahu jenazah suaminya akan dibawa ke kampung halaman di Machang, Kelantan sebelum dikebumikan.

-Kosmo

Bapa dera anak dengan kejam




KLANG – Perbuatan kebinatangan seorang mekanik yang mendera anak tiri lelakinya berusia tiga tahun tanpa belas kasihan memakan diri apabila dia diberkas selepas aksi kejamnya itu dirakam menggunakan kamera telefon bimbit sebelum dimuat naik di laman sosial Facebook.

Suspek berusia 32 tahun tersebut diberkas pada pukul 8 malam kelmarin di rumahnya di Taman Mas, Kapar di sini iaitu tempat di mana kejadian dera itu berlaku. Dia diberkas apabila polis menerima laporan jirannya sejam selepas dia melihat rakaman tersebut.

Difahamkan, ketika serbuan, suspek berada di dalam rumah itu bersama mangsa tetapi isterinya telah melarikan diri.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Supritendan Jani Ahmad berkata, kanak-kanak tersebut dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini dan pemeriksaan menemui kesan kecederaan dan calar di badan serta kepalanya.

Katanya, polis percaya mangsa telah didera oleh bapa tirinya sejak dua bulan lalu.

-SH

Wednesday 12 December 2012

Guru Perancis digantung tugas gara-gara esei

Gambar Hiasan

BORDEAUX - Seorang guru di Perancis digantung tugas selepas meminta pelajarnya berusia antara 13 dan 14 tahun menulis esei dengan membayangkan diri mereka membunuh diri.

Pegawai pendidikan berkata, guru Sekolah Menengah Montmoreau-Saint-Cybard, Charente, barat Perancis itu bakal berhadapan tindakan tatatertib selepas siasatan penuh dilakukan.

“Ramai ibu bapa mengecam pihak sekolah terhadap tindakan guru berkenaan dan meminta beliau menerima hukuman setimpal,” katanya.

Akhbar tempatan La Charente Gratis melaporkan, guru terbabit meminta pelajarnya membayangkan diri mereka remaja berusia 18 tahun yang nekad mengambil keputusan membunuh diri.

“Selain menulis esei, guru itu juga meminta pelajarnya melukiskan diri mereka ketika dalam keadaan menggantung diri,” menurut laporan itu. 


-SH

Bekas Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja meninggal dunia




BESUT - Bekas Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah, 80, meninggal dunia di Hospital Selayang, Selangor kira-kira pukul 8.30 malam tadi.

Ia disahkan oleh adik Allahyarham Engku Taib kepada Bernama di sini.

Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan pada pukul 11 pagi ini di Tanah Perkuburan Bukit Kiara.

Allahyarham yang dilahirkan pada 15 April 1932 di Besut meninggalkan seorang balu Tengku Zahab dan enam orang anak, empat daripadanya lelaki.

Allahyarham memegang jawatan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja selama 22 tahun mulai tahun 1989 hingga 2011.


- Bernama

Puad: 0.05 peratus guru bermasalah

Dr. Puad Zarkashi
KUALA LUMPUR - Hanya 235 guru atau 0.05 peratus didapati bermasalah dan kini dimasukkan ke Jawatan Kumpulan selain disaran mendapatkan rawatan psikiatrik.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata perkembangan guru terbabit dipantau oleh pentadbir sekolah yang menyediakan laporan berkala kepada pihak berkepentingan termasuk Bahagian Psikologi dan Kaunseling kementerian. 

Kementerian menyediakan perkhidmatan sokongan sosial menerusi kaunselor organisasi secara berterusan bagi membantu guru yang menghadapi gangguan emosi dan mental yang serius atau terpengaruh dengan gejala tidak bermoral seperti lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT), katanya hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Johari Mat pada persidangan Dewan Negara di sini yang ingin tahu bentuk pemantauan yang dilakukan kementerian terhadap guru yang bermasalah atau terpengaruh LGBT.

Kata Mohd Puad, hasil intervensi kementerian, bilangan guru yang menghadapi gangguan mental berkurangan kepada 530 orang sahaja setakat ini, berbanding 774 pada 2009 dan 747 pada 2010.

Menjawab soalan tambahan Senator Jamilah Sulaiman, beliau berkata hanya 23.52 peratus guru menghadapi gangguan mental akibat stres organisasi iaitu tekanan kerja berbanding 76.47 peratus kerana faktor keturunan dan gangguan personaliti sebanyak 52.94 peratus.

"Dalam membantu meringankan beban guru pula, kementerian melalui jawatankuasa khas mengkaji beban tugas guru sentiasa mengambil tindakan terhadap syor-syor yang boleh dilaksanakan bagi mengurangkan beban tugas warga pendidik negara ini," katanya.

Ini katanya termasuk menetapkan guru hanya bertugas pada hari Sabtu sahaja dan menyediakan kakitangan sokongan supaya guru tidak melakukan tugas pengkeranian atau penjagaan stor sekolah. 

- Bernama

Saturday 1 December 2012

Piala AFF Suzuki: Malaysia 2, Indonesia 0


Kemenangan memihak kepada Malaysia

Malaysia mendahului Indonesia 2-0 pada separuh masa pertama dalam perlawanan kumpulan B Piala AFF 

Suzuki di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, sebentar tadi.

Gol Malaysia kedua-duanya dijaringkan pada separuh masa pertama oleh Azamuddin Akil pada minit ke-27 

dan Mahali Jasuli minit ke-30. 

Dengan kemenangan ke atas Indonesia melayakkan Malaysia ke peringkat separuh akhir menentang 

Thailand.

Mayat di MARINA BAY MIRI

Plois membuat pemeriksaan

MIRI: Sepasang warga emas yang keluar untuk menangkap ketam awal pagi semalam di kawasan pantai Marina Bay terkejut apabila mendapati objek yang disangka sebatang kayu balak terdampar rupa-rupanya mayat bogel.

Ketika ditemui, mayat bogel tanpa identiti serta belum dikenal pasti jantinanya itu sudah berbau busuk terutama di bahagian kepala yang hampir reput keseluruhannya.

Dalam pada itu, menurut Awang Lias, 61, beliau dan isterinya pergi ke pantai berkenaan seawal jam 5 pagi semalam untuk menangkap ketam.

Sekitar jam 6.30 pagi, semasa hendak membuang air kecil di kawasan beting batu di gigi pantai berkenaan, tiba-tiba beliau ternampak satu objek menyerupai sebatang kayu balak hanyut terdampar di beting batu berkenaan.

Ketika menghampiri objek itu, beliau terkejut apabila melihat benda yang disangka kayu balak rupanya sekujur mayat bogel.

Sejurus itu, Awang Lias terus memaklumkan penemuan mayat terbabit kepada pengawal keselamatan yang bertugas di Marina Bay untuk menghubungi pihak polis.

Melihat kepada keadaan mayat yang telah busuk dengan bahagian kepala dan muka telah reput keseluruhannya selain kulit di beberapa bahagian badannya mengelupas, mangsa dipercayai telah meninggal dunia lebih seminggu lalu.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Polis (ACP) Mun Kock Keong ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat terbabit.

Bagaimanapun katanya, setakat ini polis masih belum dapat mengesahkan identiti serta jantina mayat terbabit sehingga proses bedah siasat dilakukan.

“Jantina mayat terbabit hanya dapat dikenal pasti selepas bedah siasat dilakukan berikutan keadaan mayatnya yang telah busuk dan reput terutama di bahagian kepala dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Sehubungan itu, kita akan menjalankan siasatan lanjut untuk mengenali identiti mayat terbabit termasuk melihat senarai laporan orang hilang.

Pada masa sama, kita menggesa orang ramai yang mempunyai ahli keluarga yang hilang supaya tampil melakukan pengecaman terhadap mayat terbabit.

-BP


Maut 'melekat' pada besi

Mangsa maut serta merta di tempat kejadian 
BALAKONG – Seorang pemandu lori mati ‘melekat’ di besi pembahagi jalan selepas terbabas ketika menunggang motosikal di Kilometer 0.2 Jalan Balakong-Seri Kembangan di sini, lewat malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, mangsa S Subramaniam,48, dikatakan baru pulang dari tempat kerja di Balakong ke rumahnya di Taman Sungai Besi Indah.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang sendirian dipercayai gagal mengawal motosikal ditungganginya. 

Menurutnya, motosikal mangsa kemudian melanggar konkrit pembahagi jalan menyebabkan kepalanya terhentak di besi pengadang jalan.

“Mangsa yang beralamat di pangsapuri Sungai Besi Indah itu maut serta-merta di tempat kejadian kerana kecederaan parah di bahagian kepala

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya,” katanya.

Abd Razak berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan terperinci masih dijalankan.

Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Inspektor Mohd Alfian Mohd Zainal di talian 03-80742222 untuk membantu siasatan.

-SH

Ajal bersama motosikal baru


Orang ramai mengerumuni motosikal mangsa yang remuk. Gambar kecil: Ahmad Roskarnain.

MELAKA - Kegembiraan seorang remaja menunggang motosikal baru dibeli Selasa lalu tidak bertahan lama apabila dia maut selepas kenderaannya itu merempuh belakang sebuah treler, awal pagi semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1.15 pagi di Lebuh AMJ, apabila mangsa, Ahmad Roskarnain Osman, 18, dikatakan tercampak dari motosikal Kawasaki Ninja RR, lalu meninggal dunia.

Mangsa yang menaiki motosikal dibelinya hasil mengumpul wang gaji selama tiga bulan dipercayai gagal memotong treler berkenaan ketika di kawasan berhampiran Taman Semabok Perdana.

Rakan mangsa, Ahmad Ridzuan Mohd Arifin, 19, berkata, dia dan mangsa yang bekerja sebagai pembantu sebuah kafe baru selesai membeli barang di Batu

Berendam dalam perjalanan untuk minum bersama rakan-rakannya.

“Kami berpakat untuk minum di sekitar Alai dan dia (mangsa) yang menunggang motosikal kira-kira 100 meter di depan saya.

“Ketika sampai di tempat kejadian, dia yang berada di belakang sebuah treler di laluan tengah cuba memintas, namun ada motosikal lain di sebelahnya menyebabkan mangsa melanggar belakang kenderaan berat itu sebelum tercampak,” katanya.

Ridzuan berkata, dia tidak menyangka kejadian menimpa mangsa yang ternyata gembira selepas memiliki motosikal baru hasil titik peluh sendiri.

Sementara itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Ahmad Adnan Basri mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

-SH