Wednesday 23 January 2013

Mayat anak tergantung sambut kepulangan makan tengah hari


Mayat mangsa dibawa ke Hospital Miri petang semalam untuk bedah siasat.


MIRI: Hasrat seorang ayah untuk makan tengah hari bersama anak perempuan­nya tidak kesampaian apabila kepulangannya ke kuarters kediaman pekerja di Bukit Peninjau, Bekenu disambut oleh mayat anaknya itu yang ditemui tergantung di rangka pintu bilik tidurnya.

Mangsa yang dikenali se­bagai Venny Vennier Syndols James, 18, ditemui tergantung di bahagian leher menggu­nakan tali nilon yang diikat pada rangka pintu bilik ti­durnya sekitar jam 12 tengah hari oleh bapanya yang pulang ke rumah untuk waktu rehat makan tengah hari.

Difahamkan, mangsa telah berkahwin dan mempunyai seorang cahaya mata berusia tiga bulan.

Sementara itu, bapa mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai James ketika ditemui di Hospital Miri semalam memberitahu pada malam Isnin lalu, mangsa ada men­ghubunginya sambil meminta dia (bapa) menjemputnya yang tinggal di rumah pan­jang suaminya di kawasan berhampiran.

“Pada malam Isnin lalu, mangsa ada menghubungi saya meminta dijemput pu­lang ke rumah (saya) sambil memberitahu dia ada masalah. Tanpa berlengah dan atas naluri bapa, saya terus pergi ke rumah panjang suaminya untuk menjemputnya,” ka­tanya yang merupakan ayah tunggal setelah berpisah dengan ibu mangsa.

Menurut bapa terbabit, dia percaya mangsa kemungki­nan ada mengalami masalah, namun mangsa tidak banyak bercakap atau menceritakan masalah yang dihadapinya.

Malah, kata James, sebelum pergi ke tempat kerja sekitar jam 10 pagi semalam, mangsa sempat menyediakan sarapan pagi untuknya.

“Mangsa tidak menun­jukkan sebarang perubahan pagi tadi (semalam) dan hanya mengadu pening kepala.

“Saya tidak menyangka kepulangan saya ke kuarters untuk rehat makan tengah hari tadi (semalam) telah dis­ambut oleh mayatnya,” ujar beliau dalam nada sedih.

Dalam pada itu, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Miri petang semalam untuk proses bedah siasat.

- BP

Thursday 10 January 2013

WOW!!! Melissa Francis calon ABPBH...

Melissa Francis

KUALA LUMPUR, 9 JANUARI 2013: Buat pertama kalinya penganjuran Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) telah memperkenalkan 7 kategori baru secara online bagi mengiktiraf lebih ramai selebriti dalam anugerah yang berdasarkan undian peminat ini.


Malah, apa yang lebih menarik, 2 daripada 7 kategori secara online itu menyentuh soal gaya dan penampilan menerusi kategori Artis Wanita Stailo dan Artis Lelaki Stailo.


Pengumumannya telah dibuat sebentar tadi di Hotel Holiday Villa, Subang bersempena pengumuman 5 finalis bagi 13 kategori utama ABPBH 2012.


Dengan adanya dua kategori baru itu, membuktikan bahawa penampilan setiap selebriti cukup dititikberatkan berat sehinggakan pihak penganjur ABPBH telah mewujudkan dua kategori bergaya berkenaan.


Sehubungan itu seramai 10 orang artis telah disenarai pendek dalam dua kategori berkenaan. Lima mewakili Artis Wanita Stailo dan lima lagi untuk Artis Lelaki Stailo.


Aaron Aziz yang turut disenarai pendek untuk empat kategori online lain iaitu Watak Jahat Dalam Filem atau Drama Popular, Gandingan Di Layar Serasi, Artis Berpengaruh Di Laman Sosial dan Artis Asia Paling Popular sekali lagi disenaraikan dalam kategori Artis Lelaki Stailo.


Untuk kategori baru ini, Aaron Aziz akan berentap dengan empat artis lelaki popular yang diklasifikasikan pihak penganjur sebagai paling bergaya atau stailo iaitu Adi Putra, Awal Ashaari, Shaheizy Sam dan Zizan Razak.


Bagaimanapun tandingan Aaron Aziz sudah semestinya Awal Ashaari yang sentiasa berpenampilan ala GQ serta kemas dan tidak ketinggalan aktor sentiasa segak, Adi Putra.


Untuk kategori Artis Wanita Stailo, saingan pastinya akan berlaku di antara Lisa Surihani dan Nora Danish yang dilihat bukan sahaja pandai menjaga tatacara berpakaian, malahan populariti mereka di laman sosial juga nyata bukan calang-calang.


Tiga lagi finalis yang dipilih untuk kategori Artis Wanita Stailo iaitu Yana Shamsudin, Stacy dan Melissa Francis. Nanti dulu, siapakah Melissa Francis? Dia adalah penyanyi Iban yang semakin dikenali ramai dan berjaya menembusi kategori ini.


Untuk mengundi dua kategori baru secara online ini, pembaca bolehlah melayari laman Facebook ABPBH 2012 dan klik pada laman 'Undilah'. Tarikh tutup pada 13 Mac ini.


Apa yang diharapkan, peminat dapat mengundi dua kategori ini dengan melihat hakikat sebenar dari sudut gaya seseorang selebriti itu dan bukannya dari popularitinya semata-mata. Fahami maksud sebenar Stailo sebelum undian dibuat.




Artis Wanita Stailo

1. Lisa Surihani

2. Yana Shamsudin

3. Melissa Francis

4. Nora Danish

5. Stacy


Artis Lelaki Stailo

1. Aaron Aziz

2. Adi Putra

3. Awal ashaari

4. Shaheizy Sam

5. Zizan Razak






-Murai

Friday 4 January 2013

Hormati guru, jangan perlekeh


 Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom

KUALA LUMPUR - Kerjaya perguruan tidak wajar diperlekeh apatah lagi merendah-rendahkan pekerjaan mulia itu tanpa mengira apa jua tahap kelayakan dan kelulusan mereka.

Tanpa mahu merujuk kepada mana-mana kenyataan, bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom (gambar) berkata, guru perlu diberi penghormatan tertinggi berdasarkan sumbangan besar mereka dalam menyampaikan ilmu dan mendidik anak bangsa.

"Guru adalah profesion mulia, tidak kiralah apa jua kelulusan atau kelayakan mereka.

"Semua masyarakat patut menghormati guru kerana mereka bukan sahaja menyampaikan ilmu pengetahuan malah mendidik anak bangsa untuk menjadi seorang insan berguna," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini memperlekehkan taraf pendidikan bekas penyokong parti itu, Zainon Ismail atau lebih dikenali C.N. al-Afghani hanya kerana penulis buku Kafirkah Aku? itu seorang guru sekolah rendah.

Dalam pada itu, Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGGMMB), Mohamed Sabri Mohd. Arsad pula berkata, semua guru layak membuat teguran demi membetulkan perkara yang salah atau memperjelaskan sesuatu yang benar untuk kebaikan semua pihak.

Sehubungan itu, jelas beliau, adalah tidak wajar mempersoalkan kewibawaan seseorang guru dan menganggap seseorang itu tidak layak untuk bercakap hanya kerana melihat kepada penempatan mereka mengajar di sekolah rendah, menengah atau di peringkat universiti.

"Setiap individu itu sebelum sampai ke peringkat universiti telah melalui proses pendidikan selama 11 tahun, dididik oleh guru, maka tidak wajar memperlekehkan kemampuan golongan pendidik ini.

"Dalam isu ini Abdul Hadi patut menerima teguran dengan hati terbuka dan membuang segala sikap ego kerana sudah menjadi kewajipan seorang guru membetulkan perkara yang salah," katanya.

Pensyarah Jabatan Asas Pendidikan, Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Mohd. Majid Konting pula berkata, mana-mana pihak tidak patut memandang hina profesion perguruan dengan membeza-bezakan tugas mengikut tempat mereka mengajar.

Tegas beliau, sebagai seorang yang berilmu, seorang guru itu berhak mengingatkan orang lain berhubung apa yang sepatutnya demi mengembangkan dan menyampaikan ilmu kepada masyarakat.

"Terpulang kepada ahli politik mahu cakap apa-apa pun, saya secara tegas menyatakan guru merupakan ahli profesional dan bertanggungjawab menyampaikan ilmu apa yang diketahui.

"Mereka mempunyai asas kukuh untuk mengembangkan ilmu tersebut, maka mana-mana pihak tidak berhak mempersoalkan tugas guru," katanya.



-UM

Pengebumian penuh adat istiadat ketenteraan Ahad ini

PERGI BUAT SELAMANYA: Mendiang Temenggung Datuk Kanang Langkau
KUCHING: Upacara pengebumian negara yang penuh adat istiadat ketenteraan untuk mendiang Temenggung Datuk Kanang Langkau akan diadakan pada hari Ahad ini, 6 Januari.

Mendiang akan disemadikan di Makam Pahlawan, Kuching yang menempatkan 21 pusara wira negara yang telah terkorban ketika misi mengamankan negara.

Majlis itu dijangka dihadiri oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin, Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan menteri-menteri kabinet lain.

Menurut kenyataan Jabatan Penerangan di sini semalam, kerajaan persekutuan dan negeri akan memberi penghormatan pengebumian negara kepada mendiang.

Sebelum upacara pengebumian, mayat mendiang Kanang akan dibawa ke Gereja St Thomas, Kuching pada Ahad, 6 Januari untuk upacara keagamaan pada jam 1 petang sebelum dikebumikan di Makam Pahlawan, Jalan Taman Budaya, Kuching pada jam 3 petang.

Orang ramai boleh memberikan penghormatan terakhir di Dewan Suarah Kuching pada hari Sabtu, 5 Januari dari jam 10 pagi hingga 12 tengah hari dan 2 petang hingga 5 petang serta hari Ahad, 6 Januari dari jam 9 pagi hingga 12 tengah hari.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata, kerajaan negeri bersetuju memberi penghormatan negara kepada mendiang atas jasa dan sumbangan mendiang untuk keamanan Sarawak dan negara.

“Kita berasa sedih atas kehilangan pahlawan sejati negara. Oleh itu, saya mengucapkan takziah kepada Datin (Brawang) dan ahli keluarga mendiang.

“Kerajaan negeri telah bersetuju memberi penghormatan yang tertinggi untuk pengebumian mendiang Temenggung Datuk Kanang Langkau,” katanya ketika ditemui di rumah mayat Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini, semalam.

Pada masa sama, beliau menjelaskan kerajaan negeri sedang membuat persiapan untuk majlis itu nanti.

Manakala Panglima 1 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar berkata, pihaknya akan menghulurkan bantuan dari segi keperluan dan kebajikan kepada keluarga mendiang.

“Kita akan membantu untuk istiadat pengebumian dan membantu keluarga mereka yang datang dari Sri Aman.

Jadi urusan dan kebajikan apa juga yang diperlukan oleh keluarga, kami akan bantu kerana mendiang sebahagian daripada kami,” ujarnya.

-BP

Zarina Anjoulie dijamin adik tiri

Zarina Anjoulie

PETALING JAYA - Pelakon dan model Zarina Anjoulie Mohamad Fahizul, 27, lebih dikenali sebagai Zarina Anjoulie dijamin adik perempuan tirinya hari ini selepas dua hari berada dalam Penjara Kajang.

Pelakon berkenaan yang dijamin adik tirinya itu keluar dari bilik lokap kompleks mahkamah Petaling Jaya kira-kira pukul 10 pagi kelihatan tenang, memakai baju-T warna kelabu dan bercermin mata gelap. 

Zarina bersama rakan lelakinya, Mohamad Fakhruzaim Mohamad Fawzi, 27, didakwa di Mahkamah Majistret di sini Rabu lepas memiliki dua biji pil Eramin 5 anggaran seberat 0.6 gram, di sebuah kediaman di Jalan PJU 10/1C Damansara Damai, pukul 5.30 petang pada 30 Dis lalu.

Kedua-duanya pelajar sebuah kolej swasta, dituduh mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Majistret Nazri Omran membenarkan kedua-dua tertuduh, yang mengaku tidak bersalah, dijamin RM2,000 sementara menunggu sebutan semula kes pada 8 Feb depan.

Hanya Mohamad Fakhruzaim dapat mengemukakan penjamin manakala Zarina Anjoulie terpaksa dihantar ke penjara kerana tiada ahli keluarga yang hadir untuk menjaminnya.

Nazri memerintahkan kedua-dua tertuduh hanya boleh dijamin oleh ahli keluarga sahaja.

- SH

Jiran tua kemaruk seks


Gambar Hiasan

MUAR - Dua beradik berusia 14 dan 11 tahun terpaksa melalui pengalaman ngeri apabila menjadi mangsa rogol dan cabul seorang warga emas dalam kejadian di sebuah kampung di Parit Jawa, di sini.

Perbuatan terkutuk jiran tua durjana itu hanya terbongkar selepas mangsa yang berusia 14 tahun mengadu kepada ibunya, sakit perut dan tidak sedap badan yang dialaminya, petang kelmarin.

Menurut sumber, kejadian yang berlaku antara November hingga Disember tahun lalu itu, bermula ketika cuti persekolahan lalu yang terjadi di belakang rumah mangsa.

“Ketika itu, mangsa yang berusia 14 tahun mahu memetik buah jambu sebelum didatangi warga emas berkenaan yang juga jirannya dari belakang lalu memeluknya.

“Lelaki berusia 60 tahun itu bertindak membaringkan mangsa di atas tanah kemudian menyuruh memegang kemaluannya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kata sumber lagi, pada mulanya mangsa enggan berbuat sedemikian dan meronta untuk melepaskan diri tetapi tidak berjaya.

Jelasnya, warga emas itu sebaliknya bertindak agresif dengan menekup mulut dan merogol mangsa tanpa belas kasihan.

Difahamkan, kejadian itu berlaku berulang kali iaitu beberapa hari selepas kejadian pertama apabila lelaki berkenaan memanggil mangsa datang ke rumah dengan alasan mahu memberi ayam goreng.

“Mangsa tidak mengesyaki muslihat warga emas itu, menyebabkan dia sekali lagi dirogol sebaik sahaja memasuki rumah tersebut.

“Mangsa yang menangis ketakutan kemudiannya dibenarkan pulang oleh warga emas berkenaan,” katanya.

Sumber berkata, ibu mangsa mengesyaki perlakuan pelik anaknya lalu mendesak supaya menceritakan hal sebenar, namun terkejut apabila mengetahui anaknya yang berusia 11 tahun turut pernah menjadi mangsa cabul jirannya itu.

Katanya, lelaki tersebut mengumpan kanak-kanak berusia 11 tahun itu dengan wang dan makanan sebelum merabanya.

Berikutan itu, ibu mangsa membawa kedua-dua anaknya membuat laporan di Balai Polis Parit Jawa, kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Menurutnya, mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar untuk pemeriksaan lanjut dan polis akan menunggu laporan hasil pemeriksaan berkenaan.

“Warga emas yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu kini ditahan reman sehingga 6 Januari ini untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 376 dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” katanya.

-SH

Filem 'Kanang Anak Langkau' mulakan penggambaran Februari ini

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletakkan Jalur Gemilang di atas keranda
pahlawan negara itu di rumah mayat Hospital Umum Sarawak. - Foto Bernama
KUCHING - Filem 'Kanang anak Langkau' dijangka akan memulakan penggambaran pada Februari ini, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata pengambaran filem tersebut dijangka mengambil masa tiga hingga empat bulan untuk disiapkan.

"Hari ini penerbit dan pengarah filem akan berada di sini untuk bincangkan perkara tersebut. Sebelum meninggal dunia, mendiang Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau telah mengadakan perbincangan dengan saya untuk beliau terlibat secara langsung dalam penerbitan filem tersebut.

"Saya juga telah melihat sendiri skrip berkenaan, namun apabila mendiang meninggalkan kita terlebih dahulu, saya akan lihat semula skrip berkenaan, dan skrip akan diolah semula," katanya kepada pemberita selepas memberi penghormatan kepada mendiang di Hospital Umum Sarawak di Kuching, hari ini.

Ahmad Zahid berkata pihaknya berharap filem tersebut akan dapat disiapkan untuk ditayangkan pada 16 September depan bersempena Hari Malaysia dan juga untuk ditayangkan pada Hari Angkatan Tentera.

"Watak untuk filem belum dikenal pasti, kita serahkan kepada syarikat penerbit dan pengarah filem untuk cari calon sesuai.

"Tapi yang penting sekali filem ini akan disegerakan dan kita akan cari jalan supaya kos untuk pembiayaan pembikinan filem ini walaupun dibuat sepenuhnya oleh pihak swasta, namun urusan-urusan untuk dipermudahkan bagi pembiayaan, akan dibantu oleh pihak kami," katanya.

- Bernama