Tuesday 24 April 2012

Bayi kepala besar perlukan bantuan

Gambar Hiasan

ALOR SETAR - Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah nasib seorang bayi berusia setahun, Nurul Huda Jannati Abdullahyang mengalami masalah kepala besar.

Nurul Huda Jannati disyaki mengalami penyakit 'bilateral open lipschizencephaly' iaitu masalah perkembangan mental tidak normal atau otak tidaknormal sejak lahir dan semua perkembangan mental terbantut serta perlu sentiasamendapatkan rawatan.

Bapanya, Zaini Tajuddin, 36, berkata anaknya perlu mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah di sini setiap bulan dan doktor memberitahu kepala anaknya mempunyai banyak air dan otaknya hanya sedikit.

"Saya tidak tahu berapa kos rawatan yang dikenakan. Menurut doktor, anak saya tidak boleh melakukan pembedahan segera kerana ia akan mengancam nyawanya.

"Saya tidak mampu untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta kerana kosnya sudah tentu tinggi dan tidak mampu untuk saya tanggung," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Mergong di sini.

Dia berkata Nurul Huda Jannati mula dikesan mempunyai penyakit itu ketika umurnya lima bulan semasa dia membawa anaknya ke klinik untuk disuntik.

"Jururawat yang menyuntik anak saya mula perasan kepala anak saya besar dari bayi lain dan apabila diukur kepala Nurul Huda, ukurannya ialah 47 sentimeter.

Selain mengalami masalah kepala besar, anak saya juga tidak boleh meniarap dan tidak tumbuh gigi," katanya yang bekerja sebagai pembantu penjual ikan di pasar borong di sini.

Zaini berkata sehingga sekarang anaknya hanya terbaring dan mempunyai sebatang gigi sahaja selain kerap menangis.

"Kerana tidak tahan anak saya kerap menangis, isteri saya telah pulang ke kampungnya di Perak sejak sebulan lalu. Kini saya hanya tinggal berdua dengan anak saya dan saya akan menghantar anak saya ke rumah ibu saya pada pukul 2 pagi sehingga 9 pagi apabila saya ke pasar," katanya.

Katanya, dia sudah memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi pihak JKM memaklumkan kepadanya bahawa Nurul Huda Jannati tidak boleh menerima bantuan itu kerana belum bersekolah dan mereka hanya memberi kad orang kurang upaya (OKU) kepada anaknya.

"Saya hanya memperoleh kira-kira RM35 sehari dan pendapatan itu tidak cukup untuk saya membeli susu dan lampin pakai buang Nurul Huda Jannati selain perlu membayar sewa rumah sebanyak RM200 sebulan. Saya sangat berharap agar ada yang sudi membantu anak saya," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan untuk meringankan bebanan keluarga itu boleh menghubungi Zaini di talian 017-5408179 atau melalui akaun Bank Islam milik ibunya (Azimah Ahmad) bernombor 02011020683926. 

- Bernama

No comments:

Post a Comment