Tuesday 24 April 2012

Pengaruh arak, dua sahabat saling mencederakan

PARAH: Remaja berusia 17 tahun itu menerima rawatan lanjut setelah mengalami kecederaan parah di kepala manakala sahabat baiknya cedera di bahagian dada.
KUCHING: Akibat pengaruh alkohol, dua sahabat baik saling mencederakan manakala seorang remaja cuba membunuh diri dalam dua insiden berasingan, awal pagi semalam.
Sesi minum dua sahabat baik itu bermula selepas habis bekerja sekitar jam 9 malam di sebuah tapak pembinaan di Samariang, kelmarin.
Menurut kakak kepada salah seorang mangsa yang berasal dari Simunjan, adiknya yang berusia 17 tahun sedang minum bersama suaminya dan rakannya yang berusia 25 tahun, berasal dari Pantu di kuarters pekerja.
Sesi minum itu tetap diteruskan walaupun setelah suaminya masuk tidur.
Tanpa diketahui punca, katanya mereka berdua mula bertikam lidah sebelum saling mencabar untuk berlawan di pekarangan kuarters tersebut.
Kedua-dua buruh berkenaan masuk ke dalam bilik masing-masing untuk mengambil senjata sebelum saling mencederakan.
Remaja berumur 17 tahun itu mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala manakala seorang lagi mengalami kecederaan di bahagian dada.
Mereka seterusnya dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut.
Laporan polis telah dibuat untuk siasatan selanjutnya.
Sementara itu, seorang remaja berusia 19 tahun bertindak meminum cecair peluntur setelah ditegur oleh ibunya.
Lelaki yang berasal dari Matang Ria itu dikatakan sering pulang ke rumah dalam keadaan mabuk.
Mangsa yang dikejarkan HUS untuk menerima rawatan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

-BP


No comments:

Post a Comment