Wednesday 20 June 2012

Buaya Sg Seblak mengganas lagi









SARATOK: Sungai Seblak berkocak lagi dengan satu kejadian serangan buaya yang dipercayai angkara Bujang Seblak.


Setelah beberapa bulan menyepi dengan mangsa terakhir dikenali sebagai Sulaiman Abdullah yang merupakan seorang nelayan dari Kampung Melayu Roban, kini Bujang Seblak menjadikan isteri kepada Tuai Rumah Embol dari Sungai Anak, Pelunga Roban sebagai mangsa keempatnya. Kejadian ini dipercayai berlaku pada jam 5 petang semalam.

Pada masa kejadian mangsa, Resiah Latit dipercayai sedang mandi dan akibat serangan itu mangsa dipercayai terus hilang tanpa sebarang jejak.


Berikutan kejadian itu, suami mangsa telah bergegas ke pekan kecil Roban untuk membuat laporan polis pada sekitar jam 6 petang.


Menurut seorang penduduk Kampung Melayu Roban yang sempat ditemui oleh pemberita semalam, lokasi serangan itu berlaku memang terkenal sebagai tempat buaya terbabit sering timbul.


“Lokasi Sungai Anak itu memang tempat yang kerap sekali kami lihat buaya-buaya besar timbul.


“Tempat itu juga tidak jauh dari buaya yang menyambar Sulaiman dahulu. Apa yang lebih merisaukan dan diketahui oleh pihak kita ialah bulan Jun terutamanya adalah bulan berbahaya kerana buaya betina mula bertindak agresif kerana ia musim bertelur dan musim mengawan reptilia terbabit,” katanya.








-BP

Ditemui mati lepas kejar pencuri








ANAK panah menunjukkan arah Nor Firdaus terjatuh dari tingkat 16 Pangsapuri Sri Impian, Larkin Perdana, Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU – Hasrat seorang peniaga untuk mengejar pencuri kereta Honda Civic miliknya tidak kesampaian apabila dia maut selepas terjatuh daripada tingkat 16 Pangsapuri Sri Impian, Larkin Perdana, di sini semalam.

Kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu berlaku ketika Nor Firdaus Abdul Ghani, 21, cuba mengambil telefon bimbitnya yang tercampak di luar kaki lima tingkat berkenaan sewaktu mengejar pencuri keretanya. Kereta itu bagaimanapun dapat dilarikan.

Abang mangsa, Nor Hisham, 37, memberitahu, ketika kejadian, mangsa yang berasal dari Felda Papan Timur, Kota Tinggi, sedang bertemu bakal tunangnya di pangsapuri berkenaan sebelum terdengar enjin kereta miliknya dihidupkan.

Katanya, sebaik menjengah di luar kaki lima, mangsa yang berniaga di Kota Tinggi melihat keretanya cuba dilarikan lalu menghubunginya sebelum bertindak mengejar suspek.

Difahamkan, ketika mengejar suspek, telefon milik Nor Firdaus terjatuh dan dia dipercayai telah melangkah keluar dari kaki lima terbabit untuk mendapatkan kembali alat komunikasi itu walaupun cuba dihalang oleh teman wanitanya.

“Arwah menghubungi saya kira-kira pukul 3.12 pagi bagi meminta tolong mengejar suspek tetapi sebaik saya tiba kira-kira 15 minit kemudian, saya diberitahu bahawa adik saya telah terjatuh.

“Saya dimaklumkan, teman wanita adik saya telah cuba menghalang Nor Firdaus dengan memegang tangan arwah tetapi gagal,” ceritanya ketika ditemui di rumah mayat Hospital Sultanah Aminah di sini semalam.
Menurut Nor Hisham, arwah amat menyayangi kereta miliknya yang baru diubah suai dengan kos mencecah RM40,000.

-kosmo