Saturday 28 July 2012

Dua mayat anak kapal ditemui


Labuan: Dua mayat anak kapal MT Bunga Alpinia ditemui di perairan berhampiran lokasi kejadian, tengah hari semalam. Identitinya disahkan sebagai Mohd Hanafi Kalil, 24, dari Melaka dan Zahari Hashim, 46, dari Negeri Sembilan. Penemuan menjadikan tiga mangsa ditemui manakala dua anak kapal lagi masih hilang.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Saiman Masran, berkata mayat pertama ditemui di laut pada jam 12.57 tengah hari, disusuli penemuan mayat kedua pada jam 1.10 tengah hari dalam keadaan terapung 30 meter dari tempat kejadian.

“Dua mayat itu ditemui pasukan bomba dan penyelamat berhampiran jeti PETRONAS Methanol Labuan (PML).

Ada kesan terbakar pada mayat “Pemeriksaan awal mendapati ada beberapa kesan terbakar di tubuh kedua-dua mayat itu,” katanya di sini, semalam.
Saiman berkata, mayat dihantar ke Hospital Nukleus Labuan untuk proses pengecaman ahli keluarga.

Mayat sudah dituntut

Sementara itu, mayat Shahril Azmi Baharuddin, 28, yang ditemui di jeti berhampiran lokasi kejadian, dituntut oleh keluarganya untuk dikebumikan di kampungnya di Melaka.

Bapanya, Baharuddin Yakub, 58, ketika ditemui berkata keluarganya pasrah menerima kematian anaknya itu sebagai ujian Allah.

“Saya ada bercakap dengannya menerusi telefon jam 10 malam Rabu lalu. Dia macam biasa, tiada perubahan. Kami saling bertanya khabar dan berbual macam biasa.

“Dia ada memberitahu syifnya akan bermula dan selepas itu dia bercakap dengan ibunya. Itulah kali terakhir kami berbual dengannya,” katanya.


-SH

Friday 27 July 2012

Mayat lelaki di tepi semak

Gambar Hiasan 
BAU: Kecurigaan orang awam terhadap sebuah motosikal yang ditinggalkan sejak beberapa hari lepas di tepi sebuah semak di sini terjawab selepas pemiliknya ditemui mati lewat petang kelmarin.

Menurut jurucakap polis, mayat mangsa yang dikenali sebagai Roslan, 54, itu ditemui ketika pihak polis menjalankan pemeriksaan di kawasan tersebut di Jalan Sebuku, di sini sekitar jam 4.30 petang Rabu lepas.

Tambahnya, pihaknya telah menerima laporan daripada orang awam berhubung sebuah motosikal yang mencurigakan di mana ia telah ditinggalkan di tepi semak tersebut sejak beberapa hari lepas.

Bertindak atas laporan tersebut sepasukan anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Bau telah bergegas ke tempat kejadian yang membawa kepada penemuan mayat mangsa di tepi sebuah sungai tidak jauh dari tempat motosikal tersebut diletakkan.

“Mayat mangsa ditemui terbaring dengan muka menghadap ke tanah dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati mangsa dipercayai pengsan sebelum rebah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya juga, mangsa dipercayai berasal Bau dan sering memasuki hutan terutamanya kawasan yang mempunyai sungai untuk memancing.

“Dipercayai mangsa seorang diri semasa kejadian dan hasil siasatan awal mendapati kemungkinan mangsa mengalami masalah jantung,”katanya.

-BP

Pelajar boleh bawa telefon bimbit ke sekolah?!!




KUALA LUMPUR - Persatuan Pemilik-pemilik Telefon Bimbit (Perbit) Malaysia berpendapat kebenaran bagi pelajar menggunakan telefon bimbit di sekolah lebih banyak memberi kesan negatif daripada positif.

Presiden Perbit, Ali Ibrahim berkata selain mengganggu pelajaran, telefon bimbit yang menyediakan pelbagai akses internet akan memberi peluang kepada pelajar mengakses laman-laman pornografi di sekolah, yang mana akan menggalakkan aktiviti sumbang dan membawa implikasi negatif kepada masyarakat.

"Pelbagai perkara yang tidak baik boleh berlaku termasuk mencuri, merompak, rogol, berzina, terlibat kegiatan samseng dan ponteng sekolah. Yang paling parah perkara ini banyak berlaku kepada remaja Islam," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Ali berkata pelajar akan berpendapat mereka bebas melayarai internet dan juga menghubungi sesiapa sahaja kerana tiada siapa tahu apa yang mereka buat selain tiada siapa yang memantau aktiviti mereka.

"Ini memberi satu impak negatif kepada pelajar, terutama pelajar Islam kerana kebanyakan mereka, walaupun di peringkat tingkatan lima, masih lagi belum matang," katanya.

Ali berkata penggunaan telefon bimbit di kalangan pelajar akan hanya mendatangkan pembaziran wang kerana terpaksa menjelaskan bil yang sepatutnya boleh digunakan untuk perkara-perkara lain yang lebih perlu.

"Pelajar juga akan terleka dengan hiburan yang tersedia dalam telefon bimbit hingga mengabaikan pelajaran," katanya.

Walaupun kebenaran untuk penggunaan telefon bimbit bagi pelajar adalah atas faktor keselamatan, Ali tetap bimbangkan penyalahgunaannya oleh pelajar.

Beliau berkata seharusnya setiap sekolah perlu menyediakan satu bilik telefon khas untuk pelajar membuat panggilan kecemasan kepada ibu bapa mereka bagi menggelakkan perlunya pengunaan telefon bimbit di sekolah.

Katanya, Perbit akan menjalankan kempen kesedaran penggunaan telefon bimbit kepada pelajar di seluruh Malaysia pada bulan hadapan.






- BH

Tuesday 24 July 2012

Kuarters kakitangan SMK Durin ranap dijilat api

MARAK: Kuarters kakitangan SMK Durin yang terbakar lewat petang kelmarin


KANOWIT: Sebuah kuarters kakitangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durin, 28 kilometer dari sini ranap dijilat api dalam kebakaran yang berlaku sekitar jam 6.40 petang kelmarin.

Jabatan Bomba dan Penyelamat yang menerima panggilan kecemasan daripada orang awam sekitar jam 6.44 petang, mengerahkan lebih 10 anggota bomba dari Balai Bomba Kanowit untuk membantu pasukan bomba dari Sibu.

Bagaimanapun kuarters yang tidak berpenghuni itu sudah 80 peratus terbakar apabila pasukan Bomba tiba di lokasi kebakaran pada jam 7.10 malam itu.

Menurut seorang jurucakap bomba, pihak bomba hanya mengambil masa 10 minit untuk mengawal api namun kuarters tersebut sudah musnah.

Katanya kuarters tersebut telah digunakan untuk menyimpan perabot sekolah termasuk kerusi dan meja.

Punca kebakaran belum dikenal pasti sehingga siasatan selesai dilakukan.

-BP

Sunday 22 July 2012

Maut dikelar atas katil

Suami balik Tarawih terkejut isteri berlumuran darah

Alor Setar: Bekas Ketua Wanita UMNO cawangan Bukit Hangus, Halimah Yunus, 66, ditemui mati berlumuran darah di rumahnya di Kampung Bukit Hangus, Jeneri, Sik, malam kelmarin. Ketika ditemui suaminya, Mee Hashim, 55, mangsa dikatakan masih bernafas tetapi dalam keadaan nazak di atas katil bilik tidur di tingkat bawah rumahnya, selepas dikelar penyerang tidak dikenali. Halimah disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sik.
Mee berkata, beliau baru tiba di rumah kira-kira jam 9.20 malam selepas selesai menunaikan solat sunat Tarawih di surau berhampiran.

Leher kena kelar
"Saya terkejut dengar jeritan isteri dari dalam rumah lalu terus bergegas ke bilik dan melihat dia terbaring di atas katil tidak bermaya. Lehernya ada kesan kelar dan darah mengalir tidak henti-henti. Ketika itu, dia masih boleh bercakap dan sempat memberitahu seorang lelaki menyerangnya tapi dia tak kenal.

“Tanpa berlengah, saya terus berlari keluar meminta bantuan jiran untuk menghantar isteri ke hospital, namun dia disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan,” katanya yang selalu bersama isterinya itu menunaikan solat sunat Tarawih di surau sebelum ini, tetapi arwah tidak mengikutnya malam kelmarin kerana tidak sihat.

Mee yang mempunyai seorang anak perempuan berusia 46 tahun yang sudah berkahwin dan tinggal di Sungai Petani, berkata ada kesan pecah masuk di pintu belakang rumahnya, namun tiada barang hilang termasuk barangan kemas dipakai arwah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, berkata, mangsa ditemui dengan kesan kelar di leher kiri, tetapi tiada barang berharga dilaporkan hilang, manakala senjata digunakan dalam kejadian juga belum ditemui.

-BH

Telefon ibu sebelum helikopter terhempas

Siti Khuzaimah bergambar bersama tunangnya Mohd Faithullah Ali pada majlis pertunangan mereka, Januari lalu.

Juruukur minta tolong helikopter terhempas

Petra Jaya: “Mummy, tolong, tolong,” - itulah kata-kata terakhir Siti Khuzaimah Annuar, 27, apabila menghubungi ibunya sebelum helikopter dinaikinya bersama tiga yang lain terhempas, pagi kelmarin. Sebaik jeritan meminta tolong sebanyak dua kali dan sebelum sempat ibunya membalas, talian terus terputus, dipercayai akibat helikopter terhempas di muara Sungai Lupar-Sungai Lingga di Bahagian Sri Aman.
Hashimah Fadzli, 51, yang panik selepas panggilan anaknya terputus, cuba menghubunginya semula namun gagal, sebelum bersama keluarganya bergegas ke Pejabat Sebiro Holdings, tempat Siti Khuzaimah bekerja di Simpang Tiga, untuk mendapat kepastian mengenai apa yang berlaku.

Dalam pada itu, juruukur bahan yang memanggil ibunya dengan panggilan mummy, dikatakan berkelakuan aneh apabila meninggalkan sekeping gambar kepada ibunya sebelum keluar rumah jam 7 pagi kelmarin.

Anak sulung daripada tiga beradik yang baru pertama kali menaiki helikopter dan sepatutnya pulang pada petang sama, dikatakan meminta ibu menyimpan gambarnya sehingga menghairankan Hashimah.

Anggota keluarganya yang ditemui di kediaman mangsa di Lorong Haji Babel, Jalan Semaring di sini, semalam, mengesahkan perkara berkenaan.
Hashimah dan suaminya, Annuar Musaddad Razali, 53, bersama ahli keluarga lain berada di jeti Sebuyau ketika mayat Siti Khuzaimah ditemui semalam.

Mayat Siti Khuzaimah ditemui di perairan Kampung Triso-Pulau Burung jam 9.15 pagi semalam dan tiba di Jeti Sebuyau jam 11 pagi.

Allahyarham Siti Khuzaimah adalah lepasan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan baru dua tahun setengah menyertai Sebiro Holdings sebagai juru ukur bahan.

Allahyarham bertunang dengan pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Mohd Faithullah Ali, 27, pada 1 Januari lalu dan sepatutnya melangsungkan perkahwinan Disember ini.

Kedua-dua ibu bapa mangsa enggan ditemui media kerana terlalu sedih.

Difahamkan, Allahyarham Siti Khuzaimah juga meluahkan rasa takut untuk menaiki helikopter kepada seorang lagi mangsa, Peter Ato Mayau, 53, (jurutera kanan), namun Peter Ato yang sudah biasa menaiki helikopter memberitahunya supaya jangan risau.

-BH

Bonus Raya??




Najib semak dulu tuntutan CUEPACS untuk 1.4 juta penjawat

Pekan: Pemberian imbuhan sempena Aidilfitri kepada 1.4 juta kakitangan awam bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Sambil tersenyum bila ditanya mengenainya, Perdana Menteri berkata, beliau perlu melihat ‘buku kira-kira’ kerajaan terlebih dulu sebelum membuat keputusan.

“Nantilah kita semak dulu... kena tengok buku kira-kira dulu. Apa pun kita semak dulu dan apa-apa keputusan mesti berdasarkan kemampuan kerajaan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau ditemui pada majlis penyampaian cek durian runtuh fasa kedua kepada isteri peneroka FELDA, kain jubah bagi pegawai masjid, sumbangan apron dan topi untuk peniaga bazar Ramadan serta bantuan cermin mata di Dewan UMNO di sini, semalam.

Najib berkata demikian ketika diminta mengulas tuntutan CUEPACS mengenai pemberian imbuhan Aidilfitri.

Isnin lalu, Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, berkata pihaknya sedang mencari pendekatan terbaik bagi memastikan 1.4 juta penjawat awam mendapat imbuhan hari raya tanpa menyebabkan pihak tertentu mengambil kesempatan menaikkan harga barang.

Dalam pada itu, Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan meminta peniaga bazar Ramadan supaya mengutamakan kebersihan sekitar gerai dan penampilan diri serta mementingkan kualiti makanan yang dijual.

Terdahulu dalam ucapannya, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, peneroka yang mahu membeli tambahan saham FELDA Global Ventures (FGV) perlu mendapatkan khidmat nasihat profesional.

“Mereka perlu membelinya pada harga semasa di pasaran terbuka. Walaupun peneroka ditawarkan 800 unit saham mereka tetap dapat keuntungan kerana 20 peratus saham FGV dimasukkan dalam tabung amanah yang akan membayar dividen setiap tahun,” katanya.

Ditanya mengenai laporan akhbar bahawa 50 peratus senarai awal calon Barisan Nasional (BN) ditolak, Najib berkata, beliau belum memuktamadkan senarai calon itu.

“Kita akan selesaikan bila tiba masanya. Pada masa ini semuanya adalah spekulasi, malah UMNO pun belum (senarai calon). Kita masih lagi semak-semak dan belek-belek,” katanya.

-BH