Sunday 22 July 2012

Maut dikelar atas katil

Suami balik Tarawih terkejut isteri berlumuran darah

Alor Setar: Bekas Ketua Wanita UMNO cawangan Bukit Hangus, Halimah Yunus, 66, ditemui mati berlumuran darah di rumahnya di Kampung Bukit Hangus, Jeneri, Sik, malam kelmarin. Ketika ditemui suaminya, Mee Hashim, 55, mangsa dikatakan masih bernafas tetapi dalam keadaan nazak di atas katil bilik tidur di tingkat bawah rumahnya, selepas dikelar penyerang tidak dikenali. Halimah disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sik.
Mee berkata, beliau baru tiba di rumah kira-kira jam 9.20 malam selepas selesai menunaikan solat sunat Tarawih di surau berhampiran.

Leher kena kelar
"Saya terkejut dengar jeritan isteri dari dalam rumah lalu terus bergegas ke bilik dan melihat dia terbaring di atas katil tidak bermaya. Lehernya ada kesan kelar dan darah mengalir tidak henti-henti. Ketika itu, dia masih boleh bercakap dan sempat memberitahu seorang lelaki menyerangnya tapi dia tak kenal.

“Tanpa berlengah, saya terus berlari keluar meminta bantuan jiran untuk menghantar isteri ke hospital, namun dia disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan,” katanya yang selalu bersama isterinya itu menunaikan solat sunat Tarawih di surau sebelum ini, tetapi arwah tidak mengikutnya malam kelmarin kerana tidak sihat.

Mee yang mempunyai seorang anak perempuan berusia 46 tahun yang sudah berkahwin dan tinggal di Sungai Petani, berkata ada kesan pecah masuk di pintu belakang rumahnya, namun tiada barang hilang termasuk barangan kemas dipakai arwah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, berkata, mangsa ditemui dengan kesan kelar di leher kiri, tetapi tiada barang berharga dilaporkan hilang, manakala senjata digunakan dalam kejadian juga belum ditemui.

-BH

No comments:

Post a Comment