Friday 27 April 2012

Mati di pintu masuk Istana Anak Bukit selepas berselisih faham

ANGGOTA polis membawa mayat mangsa dibawa ke HSB untuk dibedah siasat di Istana Anak Bukit.

ALOR SETAR: Seorang anggota polis yang bertugas sebagai pengawal di pintu masuk Istana Anak Bukit, dekat sini, mati ditembak rakan setugasnya dipercayai selepas berselisih faham dalam satu kejadian petang semalam.
Dalam kejadian jam 5.45 petang itu, konstabel, Mohd Sobri Md Sidik, 22, yang baru setahun bertugas dalam pasukan itu mati di tempat kejadian, di tepi pintu pagar utama istana selepas ditembak beberapa das dengan M-16.
Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim, berkata ketika kejadian hanya mangsa dan suspek yang berpangkat koperal berada di situ selepas mereka memulakan tugas pada jam 3 petang. 

Difahamkan, mangsa yang masih bujang ditembak pada jarak 10 meter, cedera parah di kepala dan badan. 

Polis turut menemui dua laras M-16, termasuk satu yang dipercayai digunakan dalam kes itu di lokasi kejadian. 

“Seorang daripada penyelia pengawal istana yang bertugas tidak jauh dari situ terdengar bunyi beberapa das tembakan dan apabila dihampiri melihat mangsa sudah terbaring berlumuran darah, manakala suspek pula yang berkereta beredar dari situ. 
“Berikutan itu, polis melancarkan gerakan bagi mengesan suspek berusia 25 tahun dan sudah berumah tangga itu. 

“Suspek kemudian ditahan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) di rumahnya di Simpang Empat, Kangar jam 9 malam ini (tadi),” katanya ketika ditemui di lokasi, malam tadi. 

Motif kejadian masih disiasat dan mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk dibedah siasat. 

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. 

Ahmad berkata, suspek baru bertugas di istana berkenaan sejak awal bulan ini dan sebelum ini bertugas di kontinjen lain. 

Sementara itu, Ketua Setiausaha Sulit Sultan Kedah, Datuk Seri Syed Unan Mashri Syed Abdullah yang ditemui berkata, beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu pada kira-kira jam 6 petang semalam oleh Setiausaha Sulit Kanan Yang Dipertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, Elmi Yusof. 

“Tuanku amat sedih dengan kejadian yang berlaku itu dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan. 

“Ini adalah kali pertama kes seumpama ini berlaku di Istana Anak Bukit sejak ia beroperasi pada 1936,” katanya.

-BH

Ibu rayu Ida dibawa pulang

Gambar Ida bersama anaknya yang berusia tujuh bulan yang dihantar ke ibunya.

Mariam bersama Syed Othman menunjukkan sijil kelahiran asli dan gambar Ida pada sidang media di PAR, semalam.
PASIR GUDANG – “Ya Allah.. jika anakku masih hidup, pertemukan aku dengannya kerana aku terlalu merinduinya.”

Demikian doa seorang ibu sepanjang lebih dua tahun anak perempuannya tidak ditemui sehingga disangka telah meninggal dunia.

Mariam Sarian, 47, berkata, anak ketiga daripada 10 beradik, Faizada Aldam, 23, atau dikenali sebagai Ida itu ditemuinya kali terakhir ketika pulang berhari raya pada 2009 dan gagal dihubungi sehingga awal tahun ini. 

Menurutnya, Ida belajar sehingga tingkatan empat sahaja kerana menghidap sawan dan mengikut keluarga angkat yang juga makcik saudaranya bekerja di Rawang, Selangor.

“Kehilangannya penuh misteri kerana kami sekeluarga gagal menghubunginya, selain tidak dihubungi mana-mana pihak,” katanya pada sidang media, di Pusat Aduan Rakyat (PAR), di sini, semalam.

Mariam berkata, pertemuannya dengan bekas pekerjanya yang juga warga Indonesia di stesen bas Masai awal tahun ini membongkar misteri kehilangan anak perempuannya.

Menurutnya, lelaki yang dikenali sebagai Roslan itu ada menemui Ida di Tanjung Pinang, Indonesia, dan diminta menyerahkan nombor telefonnya jika bertemu ibunya.

Melalui perbualan telefon katanya, Ida mendakwa dia ditahan Imigresen dan dihantar ke Indonesia kerana salinan sijil kelahiran yang dimiliki dikatakan palsu.

“Ketika menumpang di Masjid Tanjung Pinang, seorang makcik telah membawanya pulang ke Lombok dan mengahwinkan Ida dengan anak lelakinya,” katanya.

Mariam berkata, sembilan anaknya yang berumur 11 sehingga 25 tahun memiliki sijil kelahiran dan Mykad, tetapi hanya Ida berdepan masalah walaupun sudah tujuh kali berulang-alik ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah.

Menurutnya, setiap hari anaknya menghubunginya dan merayu supaya dibawa pulang.

“Salinan sijil kelahiran yang dipegang Ida bukan palsu kerana makcik mempunyai sijil kelahiran asli, malah masih menyimpan kad rawatan klinik semasa mengandungkannya.

“Makcik tidak mahu salahkan sesiapa, tetapi makcik merayu supaya tampil membantu kami untuk membawa pulang Ida,” katanya.

Sementara itu, Penyelia PAR Permas, Syed Othman Syed Abdullah berkata, pihaknya ingin mengetahui kaedah yang betul untuk membawa pulang Faizada kerana dari segi kewangan kita tiada masalah.

-SH

BANDUAN LARI DARI PENJARA LAMBIR, MIRI PADA 27 APRIL 2012 (HARI INI)



Banduan lari Dari penjara Lambir, Miri 


Pada 27 April 2012 pukul 01.35 am.


Butir-Butir Peribadi:


Nama: James Anak Laek 

Umur: 38 Tahun

KPT: 740115-13-5129

Bangsa: Iban

Jantina: Lelaki


James Ak Laek, 38 Tahun.. dipenjarakan atas kesalahan merompak di stesen minyak daerah bekenu.. telah melarikan diri dari penjara Miri tengah malam semalam, berikutan dengan operasi pencarian dan sekatan jalan oleh pihak berkuasa, kami yang tinggal berdekatan telah dimaklumkan akan rupa paras penjenayah tersebut.

-pengajar.info

Tertembak rakan disangka babi


MUAR – Keseronokan empat sahabat memburu haiwan bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka nyaris maut dipercayai terkena tembakan rakannya sendiri.


Tea Soy @ Ting Tai Chuan, 77, ­mengalami kecederaan di bahagian dada kiri selepas terkena tembakan rakannya semasa memburu babi hutan di sebuah kebun Kelapa Sawit di Tanjung Olak, Bukit Pasir, dekat sini, kelmarin.

Pengusaha ladang sayuran dari Bukit Pasir itu sudah lebih 10 tahun mempunyai lesen senapang dan melakukan aktiviti memburu haiwan bagi mengisi masa lapang.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, rakan mangsa dikenali ­sebagai Chua, 46, berkata tidak ­menyangka ­tembakan yang disasarkan ke arah ­objek yang menyerupai babi hutan yang ­dilihatnya pada jarak 120 meter di ­hadapan adalah rakannya sendiri.

Menurutnya, setibanya di kawasan ­kebun berkenaan, dia tidak menyedari Tai Chuan terlebih dahulu berjalan ke arah hadapan kerana menyangka rakannya itu pergi ke arah lain.

“Semasa berada di tengah kebun, saya ternampak objek seperti babi hutan melintas dan melepaskan tembakan.

“Saya hanya mengetahui tertembak rakan selepas mendengar Tai Chuan ­menjerit kesakitan selain dadanya ber­darah,” katanya.

Katanya, dia mahu menghantar Tai Chuan ke hospital tetapi rakannya itu enggan, sebaliknya hanya mahu pulang ke rumah.

Salah seorang anak mangsa, Ting Kah Peng, 40-an, berkata, dia ­mengetahui ­insiden yang menimpa bapanya itu selepas dihubungi anaknya.

“Ketika itu anak saya baru pulang dari sekolah dan lihat baju yang dipakai bapa berdarah di bahagian kiri dada.

“Saya segera pulang dan terkejut ­lihat bapa duduk di kerusi dalam keadaan ­lemah seperti menahan sakit,” katanya kepada Sinar Harian.

Berikutan itu, dia segera meng­hantar bapanya ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Sahadan Jaafar­ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 37, Akta Senjata Api 1960.

-SH

Remaja gantung diri akibat dimarahi guru??


IPOH – Seorang remaja perempuan ditemui mati tergantung dipercayai membunuh diri dalam bilik tidurnya dipercayai tertekan selepas dimarahi gurunya di Taman Pertama di sini, kelmarin.


Lebih mengharukan apabila ibu mangsa pula hampir membunuh diri dengan mengelar tangan kirinya menggunakan pisau kerana terlalu sedih melihat anak kesayangannya itu tergantung menggunakan selimut.

Bagaimanapun, ibu mangsa yang enggan dikenali sempat menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan didapati keadaannya semakin stabil.

Dalam kejadian pada jam 6 petang, pelajar tingkatan dua, sebuah sekolah di sini ditemui ibunya tidak bernyawa setelah mengurung diri dalam biliknya sebaik pulang dari sekolah.

Salah seorang ahli keluarga mangsa yang hanya dikenali sebagai Logan berkata, remaja itu bertindak demikian kerana sedih dimarahi gurunya di sekolah dan dikatakan mahu mengadu kepada ayahnya yang bertugas sebagai polis di balai berhampiran.

“Mereka tidak mempunyai masalah besar dalam keluarga dan dia sangat rapat dengan abangnya yang berusia 19 tahun. Dia juga tidak memaklumkan apa-apa masalah kepada kami,” katanya di perkarangan Unit Forensik HRPB di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, pihaknya mengesahkan kejadian berkenaan dan mendapati kematian mangsa tiada unsur jenayah.

“Kejadian itu juga tidak membabitkan masalah keluarga namun, kita masih meneruskan siasatan susulan berhubung kejadian ini,” katanya.

-SH

Thursday 26 April 2012

Anak lari ikut jejaka Lombok


TAIPING: Seorang ibu tidak menyangka sikap peramah seorang ‘jejaka Lombok’ yang sering membantunya di gerai makan miliknya di sebuah tapak pasar malam, di sini, sejak enam bulan lalu mempunyai niat jahat apabila lelaki itu bertindak melarikan anak gadisnya pada 18 April lalu.

Dalam kejadian jam 11.45 malam itu, Nur Afifah Mohd Zuhari, 16, (gambar) dilarikan lelaki berkenaan dengan sebuah motosikal. Bimbang sesuatu yang buruk menimpa anaknya, ibu remaja berkenaan, Hasliza Ismail, 45, membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, sehari selepas kejadian itu apabila mendapati anaknya tidak pulang pada malam kejadian.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, berdasarkan laporan polis, ibu mangsa mendakwa anaknya dilihat keluar dari rumah mereka di Taman Panglima di sini, dengan memakai baju kemeja putih berbunga coklat dan seluar trek berwarna biru sebelum menaiki motosikal ditunggang seorang lelaki.

Beliau berkata, daripada maklumat yang diterima pengadu, mangsa dilarikan seorang lelaki warga Indonesia yang dikenali Mohamad Yani, 30.

“Lelaki itu didakwa sering membantu keluarga berkenaan mengendalikan gerai makanan di tapak pasar malam di Taman Panglima, di sini,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Nur Afifah boleh menghubungi IPD Taiping di talian 05-8082222 atau Inspektor Suhaimi Mohamad di 05-8080222.

-MT

Jalan sebagai tempat tidur!!! Mukah.


MUKAH: Tindakan aneh seorang lelaki yang memberhentikan kenderaannya di tengah Jalan Bandar Baru Mukah, di sini hingga awal pagi semalam, menggemparkan ratusan pengguna jalan raya yang menyangka dia sudah meninggal dunia.

Rupa-rupanya lelaki berusia 40-an itu berbuat demikian kerana tertidur, dipercayai akibat mabuk. 

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, pengguna di jalan berkenaan menyangkakan lelaki itu sudah meninggal dunia selepas melihat belakang kereta Perodua Viva dipandunya remuk dipercayai akibat dilanggar. 

Segala persoalan akhirnya terjawab selepas lelaki itu akhirnya terjaga selepas orang ramai mengerumuni kenderaannya.

Saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai James, 30, berkata dia melihat kereta milik lelaki terbabit di tengah jalan berkenaan seawal jam 5.30 pagi ketika mahu menghantar anak ke sekolah.

-MT

Ustazah hilang ketika sidai pakaian

BACHOK: “Kalau Ti pergi, jangan cari,” kata bekas guru kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) kepada ibunya sebelum dia gagal dikesan selepas ketika menyidai pakaian di hadapan rumahnya di Kampung Cherang Hangus, Bachok, 18 April lalu.

Romlah Mohd Noor, 61, berkata, kata-kata itu diucapkan anaknya, Norhayati Mat Rifin, 39, berulang kali tiga hari sebelum dia hilang.


“Kali terakhir saya lihat dia sedang menyidai pakaian di hadapan rumah pada 18 April lalu. Kira-kira jam 10 pagi, apabila saya pulang selepas selesai menyiapkan kerja di belakang rumah, saya lihat dia sudah tiada.



“Saya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok keesokan harinya,” katanya.


Menurutnya, Norhayati menghidap penyakit skizofrenia sejak berusia 17 tahun dan semakin serius selepas bercerai dengan suaminya sembilan tahun lalu.


“Saya merayu orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai anak saya itu supaya menghubungi kami di talian 019-9946080 dan 013-6403038,” katanya.

-MT

Akim teruja tunggu ‘bayi’ pertama


Impian jejaka kacak ini untuk memiliki album sulung, nampaknya bakal terlaksana. 

Menurut Akim, album yang menggunakan judul namanya sendiri itu sudah hampir siap sepenuhnya dan bakal berada di pasaran tidak lama lagi.

Memuatkan sembilan lagu, albumnya itu turut mendapat sentuhan komposer-komposer hebat.
“Selain lagu baru, album itu turut memuatkan tiga single terdahulu yang telah mempopularkan saya iaitu Bengang, Janji dan Inilah Cinta dengan susunan muzik yang baru.

“Lagu lain yang berada dalam senarai termasuk Daya Cinta, Tentang Dia, Dunia dan Syurga, Menunggu serta lagu duet dengan Fiq (Mentor) berjudul Mesti Ada Cinta,” katanya.

Antara nama besar yang terlibat dalam pembikinan album itu ialah Audi Mok, Kunci Demak dan Omar K.

Selain teruja menunggu kelahiran ‘bayi’ pertamanya, Akim juga kini sibuk dengan penyertaannya dalam program Mania yang bersiaran sejak 17 Mac lalu.

Menerusi rancangan realiti terbitan Astro itu, Akim yang merupakan antara peserta termuda berentap di pentas sama dengan penyanyi terkemuka lain.

“Saya sifatkan penyertaan di dalam Mania umpama penghargaan buat penyanyi yang masih mentah seperti saya.

“Biarpun terpaksa bersaing dengan rakan artis yang lebih berpengalaman, saya jadikannya sebagai cabaran untuk berikan persembahan terbaik,” katanya.

Jika berbicara mengenai anak muda bernama Afiq Akim Ahmad atau lebih dikenali dengan nama Akim ini, pasti tidak terlepas daripada kisah cintanya.

Bagaikan sudah menjadi kewajipan, bintang kelahiran Akademi Fantasia (AF) musim ketujuh ini pasti diajukan soalan mengenai hubungannya dengan juara AF6, Stacy.

Biarpun ramai mengetahui status mereka tidak lebih sekadar teman, ada khabar mengatakan hubungan Akim dan Stacy kini semakin ‘dingin’.

Menafikan perkara itu, jelas Akim, dia dan Stacy tidak pernah bermasam muka sebaliknya mereka tetap mesra seperti dahulu.

“Ingin saya tegaskan, saya dan Stacy masih berkawan dan kami tidak pernah bergaduh.

“Semua khabar yang tidak betul itu saya anggap sebagai dugaan dalam berkawan yang menguatkan lagi hubungan persahabatan kami,” katanya.

Bagaimanapun, kata Akim, dia tidak nafikan mereka kini jarang berjumpa kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya.

-SH

BEYONCE, Wanita Tercantik Di Dunia? 2012!!!



Beyonce dinobatkan menjadi wanita paling cantik sedunia oleh majalah People yang mengeluarkan rilis terbaru deretan wanita-wanita cantik dunia 2012.

Penyanyi seksi berusia 30 tahun ini menduduki peringkat teratas dalam daftar wanita tercantik di dunia versi People yang diumumkan Rabu.

Mengomentari hal itu, Nyonya Jay-Z itu menuturkan dirinya merasa semakin cantik justru setelah melahirkan. "Saya tidak pernah merasa seberarti ini sebelumnya, sekarang ini seperti punya tujuan khusus di Bumi ini."

Dari pernikahannya dengan Jay-Z, Beyonce telah melahiran anak perempuan pada Januari lalu yang diberi nama Blue Ivy Carter.

"Dia adalah hal terindah," ujar peraih Grammy, yang bernyanyi dan mengaku sangat gemar mengganti popok putrinya.

Selain Beyonce, People juga memasukkan nama-nama pesohor perempuan lainnya yang diklaim sebagai tercantik antara lain Julia Roberts, Nicole Kidman and Jessica Pare of "Mad Men." (AP/arh)

Wednesday 25 April 2012

Kemalangan Ngeri di Batu Niah pagi tadi!!!


    Kemalangan ngeri ini berlaku di pekan Batu Niah pagi tadi. Mangsa dipercayai warga indonesia yang bekerja di kedai makan di pekan berkenaan. Mangsa dilanggar oleh sebuah lori dan meninggal di tempat kejadian.

Tuesday 24 April 2012

Pelajar buat projek di rumah tumpangan

KUALA DUNGUN – Perbuatan tidak bermoral seorang pelajar perempuan sebuah institut kemahiran tempatan yang memadu asmara bersama teman lelaki di hotel murah, menerima padah apabila dia didenda RM2,800, atau dua bulan penjara kerana berkhalwat.

Pelajar berkenaan, Nurul Akmal Aishah, 19, dari Besut Terengganu menghadapi pendakwaan mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu 2001.

Dia dicekup sepasukan pegawai penguat kuasa syariah, bersama teman lelakinya, di sebuah bilik di rumah tumpangan, dekat sini, kira-kira jam 1.30 pagi, 10 Februari lalu.

Ketika serbuan dilakukan, Nurul Akmal ditemui dalam keadaan terbaring tanpa pakaian dalam selimut.

Lelaki terbabit, dikenali sebagai Mohd Firdaud Wadu, 30, pula, hanya memakai jeans tanpa baju ketika membuka pintu bilik.

Soal siasat mendapati mereka tiada hubungan muhrim.

Pasangan terbabit juga mengaku telah melakukan persetubuhan sebelum itu.

Turut dirampas, pakaian dalam milik Nurul sebagai bahan kes.

Kedua-duanya yang mengaku bersalah selepas fakta kes dibacakan di hadapan Hakim Syarie, Shamsuddin Ngah kemudiannya menjelaskan denda masing-masing untuk mengelakkan dipenjara.

Dalam kes berasingan di Mahkamah Rendah Syariah, seorang pemandu lori, Md Zaid Abdullah, 33 dari Kuala Abang Dungun berhadapan satu waran tangkap kerana kegagalannya hadir untuk menghadapi pendakwaan pertudu­han khalwat.

Dia ditangkap pegawai penguatkuasa syariah ketika berada di sebuah bilik hotel di Jalan Baru Pak Sabah bersama seorang wanita bukan muhrim jam kira-kira 1.05 pagi, 10 Februari lalu.

Pasangannya, Noor Aishah Osman, 29, bagaimanapun hadir untuk mendengar pertuduhan lalu didenda RM2,700 atau dua bulan penjara setelah mengaku bersalah atas kesalahan mengikut Seksyen 31 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001.

-SH

Meteor jatuh di California


CALIFORNIA - Beberapa kawasan di Nevada dan California, Amerika Syarikat (AS) mengalami keadaan agak cemas selepas satu letupan kuat berlaku disebabkan batu meteor yang jatuh, semalam.
Letupan yang turut menggegarkan kediaman di kawasan kejiranan Reno ke Winnemucca, Nevada dan Sacramento ke Bakersfield wilayah California, mencetuskan panik sehingga penduduk bertindak menghubungi agensi pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan mereka.

Sebahagian penduduk di kedua-dua negeri terlibat, mendakwa terlihat objek bola api menjunam merentasi ruang udara sebelum letupan berlaku, selain laporan polis menyatakan kelihatan sebuah komet berwarna-warni pelik meluru ke arah Bumi.

Menurut pakar Fleischmann Planetarium, Universiti Nevada Reno, Dan Ruby, laporan menunjukkan meteor itu telah jatuh ke bumi di sekitar kawasan Sierra, barat daya Reno.

Katanya apabila meteor itu memasuki atmosfera bumi, ia akan mencipta letupan sonik pantas seperti sebuah pesawat yang turut mengesahkan waktu itu merupakan tempoh aktif hujan meteor Lyrid yang dapat dilihat daripada bumi.

-SH

Remaja perempuan dibunuh sebelum dibakar



GUA MUSANG - Kejam. Itulah luahan marah berulang kali seorang ibu apabila mengetahui anak gadisnya yang hilang sejak 3 April lalu ditemui mati dengan rangka tulang bersepah dalam kawasan belukar berhampiran ladang sawit di tepi jalan ke Kampung Limau Kasturi, dekat sini, petang kelmarin.

Che Esah Yusoff, 60, tinggal di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Jeram Tekoh, sebelum itu pengsan sebaik mengetahui mayat anaknya ditemui dan terpaksa dia dikejarkan ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk menerima rawatan.

Rangka tulang bersama tengkorak dipercayai Nor Ain Shafnie, 16, ditemui dalam kawasan belukar tersebut tidak jauh dari rumahnya itu oleh seorang pekerja kontrak mengangkut buah sawit kira-kira jam 6 petang.

Nor Ain dilaporkan keluar dari rumahnya di RKT Kesedar Jeram Tekoh itu jam 9 pagi sebelum didapati hilang kerana tidak pulang ke rumah bersama motosikal yang ditungganginya sehingga lewat malam pada hari sama.

Akhbar ini pernah menyiarkan berita mengenai kehilangan Nor Ain itu pada 12 April lalu ia itu seminggu selepas dibuat laporan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang dan melancarkan gerakan mencarinya.

Turut menemui berhampiran rangka tulang itu sebuah motosikal yang dibakar, seutas jam tangan dan dompet berisi kad pengenalan mangsa bersama seluar jeans yang sudah ditanggalkan.

Che Esah ketika ditemui sebaik pulang dari HGM berkata, dia amat terkejut dan kesal dengan kejadian yang amat memilukan itu serta mahu pihak berkuasa mengesan penjenayah terbabit untuk dibawa ke muka pengadilan.

“Orang macam itu tak patut hidup lebih lama dan hukum dia sepadan dengan perbuatan yang dilakukan itu hingga saya kehilangan seorang anak gadis tersayang,” katanya yang juga ibu tunggal.

Beliau berkata, sejak hari kehilangan lagi dia merasa tidak sedap hati kerana kebiasaan anaknya pulang walaupun lewat malam hingga terpaksa mengerah penduduk dan anggota Rela melancarkan gerakan mencarinya.

Katanya, sebagai seorang ibu tidak pernah berdiam diri untuk mengesan anak bongsu daripada 10 adik beradik itu dengan menemui beberapa bomoh sama ada bomoh tempatan atau luar daerah.

“Saya tidak pernah berputus asa untuk mencari anak saya itu dengan mengunjungi ke semua rumah rakan-rakan dia dan waris terdekat, namun gagal ditemui dan tidak sangka akhirnya menemui rangka tulang.

“Setahu saya dia tidak ada musuh hanya malas sekolah sahaja apabila mengambil keputusan untuk belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Asap hanya setakat tingkatan dua,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman ketika mengesahkan penemuan rangka tulang seorang manusia itu berkata, rangka tulang itu dipercayai gadis yang dilaporkan hilang dari rumahnya di RKT Jeram Tekoh.

Beliau mengesyaki rangka tulang yang ditemui itu dipercayai mangsa bunuh dan ditinggal di dalam kawasan belukar tersebut bersama sebuah motosikal sebelum ditemui seorang lelaki pekerja ladang sawit berkenaan.

Katanya, serentak itu, pihaknya menahan lapan orang termasuk enam lelaki dan dua wanita untuk membantu siasatan dan hasil ujian air kencing mendapati lima daripada mereka positif dadah.

-SH

Mangsa jatuh longkang meninggal


KEMAMAN – “Waktu saya pegang Nur Hidayah, hujung kakinya sejuk manakala kukunya kebiru-biruan,” kata Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mentok 2, Rohanah Abbas.

Beliau menceritakan perubahan Nur Hidayah Mohamad, 7, saat murid tahun satu itu tenat sebelum menghembuskan nafas terakhir lewat petang kelmarin di Hospital Kemaman.

Nur Hidayah yang bertarung nyawa sejak sekian lama selepas tragedi jatuh ke dalam longkang besar di hada­pan Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Kemaman, Mak Chili pada 14 Februari lalu, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 6.52 petang, ketika berada di samping kedua ibu bapa, wakil PIBG dan gurunya.

Rohanah yang segera bergegas ke hospital bersama Naib YDP, Norhayati Che Kamaruddin selepas menerima panggilan daripada bapa Nur Hidayah kira-kira jam 5.30 petang, melihat dada kanak-kanak malang itu berombak kencang ketika sampai ke wad kanak-kanak.

“Saya turut memegang tangannya namun ketika mahu meleraikan genggaman tangan dia masih pegang tangan saya, walaupun dia kelihatan cukup lemah,” katanya.

Ibu mangsa, Norizah Zakaria, 42, berkata, beberapa detik sebelum menghembuskan nafas terakhir, Nur Hidayah batuk lalu terkeluar buih daripada mulutnya sebelum dia menekap dada dan menyedut buih yang keluar serta memanggil-manggil nama anak bongsunya itu, namun tiada sebarang respons.

Bapanya, Mohamad Embong, 48, pula berkata, dia tidak sangka keadaan Nur Hidayah kembali tenat sedangkan beberapa hari sebelum itu, anaknya beransur sihat dan doktor yang melakukan ujian imbasan mengatakan anaknya boleh pulang ke rumah dalam beberapa hari lagi.

“Bagaimanapun kira-kira jam 10 pagi tadi (semalam) nafasnya makin lemah, dia juga turut diserang demam,” katanya di Unit Forensik, Hospital Kemaman malam semalam.

Nur Hidayah yang koma selama dua minggu di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu hanya sempat dirawat di rumahnya di Kampung Jaya, Chukai, juga dua minggu sebelum kembali dimasukkan ke wad Hospital Kemaman 2 April lalu akibat sawan, dan mengalami jangkitan kuman pada paru-paru.

Jenazah dikafan dan disembahyangkan terus di Unit Forensik sebelum diserahkan kepada keluarga serta selamat dikebumikan di kampung halaman bapanya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Losong Lebai Salleh, Kuala Terengganu kira-kira jam 2.30 pagi semalam.

Sinar Harian sebelum ini turut melaporkan penderitaan hidup Nur Hidayah selepas tragedi jatuh dan lemas dalam longkang besar tidak berpenutup yang masih dalam pembinaan ketika sedang bermain di belakang gerai pisang goreng ibunya.

Rentetan hidup Nur Hidayah cukup memilukan sebab sejurus tersedar dari koma, dia tidak mampu bergerak dengan badan kejang dan bergantung pada mesin penyedut kahak serta alat pernafasan untuk terus hidup.

-SH

Bayi kepala besar perlukan bantuan

Gambar Hiasan

ALOR SETAR - Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah nasib seorang bayi berusia setahun, Nurul Huda Jannati Abdullahyang mengalami masalah kepala besar.

Nurul Huda Jannati disyaki mengalami penyakit 'bilateral open lipschizencephaly' iaitu masalah perkembangan mental tidak normal atau otak tidaknormal sejak lahir dan semua perkembangan mental terbantut serta perlu sentiasamendapatkan rawatan.

Bapanya, Zaini Tajuddin, 36, berkata anaknya perlu mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah di sini setiap bulan dan doktor memberitahu kepala anaknya mempunyai banyak air dan otaknya hanya sedikit.

"Saya tidak tahu berapa kos rawatan yang dikenakan. Menurut doktor, anak saya tidak boleh melakukan pembedahan segera kerana ia akan mengancam nyawanya.

"Saya tidak mampu untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta kerana kosnya sudah tentu tinggi dan tidak mampu untuk saya tanggung," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Mergong di sini.

Dia berkata Nurul Huda Jannati mula dikesan mempunyai penyakit itu ketika umurnya lima bulan semasa dia membawa anaknya ke klinik untuk disuntik.

"Jururawat yang menyuntik anak saya mula perasan kepala anak saya besar dari bayi lain dan apabila diukur kepala Nurul Huda, ukurannya ialah 47 sentimeter.

Selain mengalami masalah kepala besar, anak saya juga tidak boleh meniarap dan tidak tumbuh gigi," katanya yang bekerja sebagai pembantu penjual ikan di pasar borong di sini.

Zaini berkata sehingga sekarang anaknya hanya terbaring dan mempunyai sebatang gigi sahaja selain kerap menangis.

"Kerana tidak tahan anak saya kerap menangis, isteri saya telah pulang ke kampungnya di Perak sejak sebulan lalu. Kini saya hanya tinggal berdua dengan anak saya dan saya akan menghantar anak saya ke rumah ibu saya pada pukul 2 pagi sehingga 9 pagi apabila saya ke pasar," katanya.

Katanya, dia sudah memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi pihak JKM memaklumkan kepadanya bahawa Nurul Huda Jannati tidak boleh menerima bantuan itu kerana belum bersekolah dan mereka hanya memberi kad orang kurang upaya (OKU) kepada anaknya.

"Saya hanya memperoleh kira-kira RM35 sehari dan pendapatan itu tidak cukup untuk saya membeli susu dan lampin pakai buang Nurul Huda Jannati selain perlu membayar sewa rumah sebanyak RM200 sebulan. Saya sangat berharap agar ada yang sudi membantu anak saya," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan untuk meringankan bebanan keluarga itu boleh menghubungi Zaini di talian 017-5408179 atau melalui akaun Bank Islam milik ibunya (Azimah Ahmad) bernombor 02011020683926. 

- Bernama

Pengaruh arak, dua sahabat saling mencederakan

PARAH: Remaja berusia 17 tahun itu menerima rawatan lanjut setelah mengalami kecederaan parah di kepala manakala sahabat baiknya cedera di bahagian dada.
KUCHING: Akibat pengaruh alkohol, dua sahabat baik saling mencederakan manakala seorang remaja cuba membunuh diri dalam dua insiden berasingan, awal pagi semalam.
Sesi minum dua sahabat baik itu bermula selepas habis bekerja sekitar jam 9 malam di sebuah tapak pembinaan di Samariang, kelmarin.
Menurut kakak kepada salah seorang mangsa yang berasal dari Simunjan, adiknya yang berusia 17 tahun sedang minum bersama suaminya dan rakannya yang berusia 25 tahun, berasal dari Pantu di kuarters pekerja.
Sesi minum itu tetap diteruskan walaupun setelah suaminya masuk tidur.
Tanpa diketahui punca, katanya mereka berdua mula bertikam lidah sebelum saling mencabar untuk berlawan di pekarangan kuarters tersebut.
Kedua-dua buruh berkenaan masuk ke dalam bilik masing-masing untuk mengambil senjata sebelum saling mencederakan.
Remaja berumur 17 tahun itu mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala manakala seorang lagi mengalami kecederaan di bahagian dada.
Mereka seterusnya dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut.
Laporan polis telah dibuat untuk siasatan selanjutnya.
Sementara itu, seorang remaja berusia 19 tahun bertindak meminum cecair peluntur setelah ditegur oleh ibunya.
Lelaki yang berasal dari Matang Ria itu dikatakan sering pulang ke rumah dalam keadaan mabuk.
Mangsa yang dikejarkan HUS untuk menerima rawatan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

-BP


Thursday 19 April 2012

Pengerusi MIC Pulau Pinang selamat dikebumikan


BUTTERWORTH - Jasad mendiang Pengerusi MIC Pulau Pinang Senator Datuk P.K. Subbaiyah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masyarakat India Berapit di Bukit Mertajam hari ini.

Subbaiyah, 63, yang dipercayai meninggal akibat serangan jantung ketika tidur semalam, meninggalkan balu Vallini serta dua anak iaitu Gowri dan Ganesh.

Beliau yang merupakan bekas anggota exco kerajaan negeri dan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Prai selama dua penggal, dilantik sebagai Pengerusi MIC

negeri pada 2009 dan dilantik sebagai senator pada April tahun lepas.

Sementara itu Pengerusi MCA Pulau Pinang Datuk Seri Dr Ng Yen Yen yang melawat keluarga mendiang, menyifatkan kematian Subbaiyah sebagai kehilangan besar dalam barisan kepimpinan parti komponen Barisan Nasional (BN).

"Mendiang adalah seorang yang sangat komited pada tugasnya sebagai wakil rakyat dalam BN... ini merupakan satu kehilangan yang besar, tetapi saya percaya semangat perjuangannya tetap kukuh dalam diri setiap anggota MIC," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Ng berkata walaupun kehilangan pemimpin yang disenangi rakyat itu sangat dirasai, beliau yakin MIC khususnya di Pulau Pinang tetap bersedia untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

"Dalam BN kita akan bersama-sama berusaha untuk merealisasikan hasrat mendiang yang mahu memperolehi kejayaan gemilang pada pilihan raya umum ke-13 nanti," katanya.

 – Bernama

Mekanik maut tercampak dalam longkang



ALOR GAJAH - Seorang mekanik maut selepas dirempuh sebuah pa­cuan empat roda, Toyota Harrier yang dinaiki empat sekeluarga di Kilometer 199.0, Lebuhraya Utara Selatan menghala ke selatan, dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa, Muhammad Azizul Safian Suri, 28, maut serta-merta di tempat kejadian.

Turut maut adalah dua penumpang kenderaan pacuan empat roda yang dipandu Lim Ching Yeo, 32, iaitu Ng Beng Tian, 32, dan Tan Bian, 61.

Mereka dalam perjalanan menghala ke Simpang Renggam, Johor.

Difahamkan ketika kejadian, Muhammad Azizul bersama dua lagi rakannya, Ishak Mohamad, 56, dan Muhammad Efendi Osman, 30-an, baru selesai membaiki sebuah lori milik Majlis Perbandaran Jasin yang mengalami kerosakan di tepi lebuh raya terbabit.

Sementara itu, Muhammad Efendi berkata, mangsa dan Ishak sedang mengangkat kon keselamatan selepas selesai membaiki lori berke­naan, sebelum dirempuh.

“Saya sempat mengelak kerana ber­ada di belakang lori.

“Kenderaan terbabit yang menggunakan laluan kecemasan terus merempuh Muhammad Azizul dan Ishak, menyebabkan mereka tercampak ke dalam longkang berhampiran,” katanya.

Menurutnya, akibat rempuhan itu, Ishak patah kaki kiri.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Penguat kuasa Bomba Kanan II Baharudin Ismail berkata, dua penumpang pacuan empat roda itu maut di tempat kejadian.

“Kami mengambil masa kira-kira 40 minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, Muhammad Azizul yang beralamat di Lorong Sepakat 5, Kampung Simpang Tiga, Kuala Lumpur, dirempuh sebuah pacuan empat roda dinaiki empat sekeluarga.

“Semua mayat dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah menerusi talian 06-5563222 untuk membantu siasatan,” katanya.

Lelaki OKU bersalah meliwat bapa saudara serta dua adik kandungnya


KLANG - Seorang lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah meliwat bapa saudaranya yang juga seorang OKU serta dua adik kandungnya berusia lapan dan 10 tahun, bulan lepas.

Hakim Siti Noraida Sulaiman memerintahkan tertuduh yang berusia 22 tahun menjalani hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 5 April lepas.

Lelaki itu, yang berasal dari Sekinchan, Sabak Bernam didakwa meliwat bapa saudaranya yang berumur 41 tahun serta dua adik kandungnya yang berusia lapan dan 10 tahun di bilik hadapan sebuah rumah di Sekinchan, antara 10.30 malam dan 11.30 malam pada 23 Mac lepas.

Tertuduh, yang bekerja sendiri dan tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang merupakan seorang yang lembam telah memanggil bapa saudaranya masuk ke dalam bilik itu di mana kedua-dua adik lelakinya turut berada di dalam bilik sama.

Tertuduh kemudian meliwat kedua-dua adiknya sehingga mereka menangis sambil disaksikan bapa saudaranya.

Tertuduh kemudian meminta bapa saudaranya untuk membuka seluar dan baju serta meniarap sebelum bertindak meliwatnya di hadapan kedua-dua adiknya pula.

Tertuduh turut berpesan kepada mereka supaya tidak memberitahu ibunya mengenai kejadian itu.

Kedua-dua adiknya kemudian mengadu kepada ibu mereka mengenai perbuatan tertuduh dan ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk menjalani pemeriksaan.

Ekoran itu, tertuduh ditangkap pada 5 April lepas dan siasatan mendapati dia adalah seorang OKU yang telah disahkan oleh pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Sabak Bernam.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Azilah Mat yang mengendalikan pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana kesalahan tertuduh sangat serius kerana ketiga-tiga mangsa mempunyai hubungan kekeluargaan dengannya.

"Tertuduh sepatutnya menjaga kebajikan ketiga-tiga mangsa memandangkan dua mangsa adalah adiknya manakala bapa saudaranya adalah seorang lembam," katanya.

- Bernama

Pelajar maut motosikal rempuh kereta


DUNGUN - Seorang pelajar Sekolah Menengah Teknik Dungun maut apabila motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta di Kilometer 73.9, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berhampiran sekolahnya, hari ini.

Mangsa Ahmad Zikri Zaharudin, 16, menghembuskan nafas terakhir di pangkuan seorang pengguna jalan raya yang sempat menyaksikan kejadian itu, Mohd Yuslizam Mat Yusof, 35 dan sempat mengajar mangsa mengucap dua kalimah syahadah.

Dalam kejadian pukul 7.20 pagi itu, mangsa baru sahaja menghantar rakannya Muhammad Faizal Yusri Mohd Shazali, 16, di depan pintu pagar sekolah itu.

Bagaimanapun mangsa yang memberitahu rakannya beliau sakit kepala, dirempuh sebuah kereta yang datang dari arah belakang ketika mangsa membuat pusingan 'U' untuk pulang ke rumah, menyebabkan mangsa tercampak kira-kira 10 meter di atas jalan raya.

Ketua Polis Daerah, Supt Dahlan Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, jenazah mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Dungun untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian.

Katanya mangsa merupakan anak kepada seorang kerani yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun, Maimun Tahir, 54.


- BERNAMA

SMK Lutong JOHAN Forum Remaja Bahagian Miri 2012

SMK Lutong Juara  

Majlis penutupan & penyampaian hadiah

Miri-19 April 2012: SMK Lutong telah menjadi Johan dalam Forum Remaja Peringkat Bahagian Miri. SM Sains pula mendapat tempat kedua dan SMK Luak berada di tempat ketiga. SMK Lutong akan mewakili Bahagian Miri.  

Tuesday 17 April 2012

Remaja perempuan tingkatan 5 hilang


KUANTAN: Seorang remaja perempuan, Balvin Kaur Radhdir Singh, 17, dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Lorong Bukit Setongkol 4 di sini, 7 April lalu. 

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohd Jasmani Yusoff, berkata remaja berkenaan yang juga pelajar Tingkatan 5 di sebuah sekolah menengah di sini dipercayai bertindak keluar dari rumah keluarganya pada 12 tengah hari pada hari berkenaan.
Katanya, remaja itu dilaporkan tidak pulang sejak hari itu sebelum penjaga mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan.
Beliau berkata, pelajar itu dipercayai keluar dari rumahnya sehelai sepinggang dan mengikut seorang lelaki yang dikenali sebagai Ravi yang berusia 53 tahun. 

"Polis sudah cuba mengesan mangsa dengan mengedarkan gambarnya selain turut mengesan Ravi dan seorang wanita yang dikenali sebagai Sri, 25, untuk membantu siasatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Katanya, sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kes berkenaan boleh menghubungi balai polis terdekat atau menghubungi pegawai penyiasat ASP Murugesu di talian 012-9003661. 

Dalam kes berasingan, Mohd Jasmani berkata pihaknya sedang mengesan seorang remaja berusia 18 tahun yang dipercayai terbabit dengan dua kes pergaduhan di sini. 
Mohd Jasmani berkata, remaja itu, Mohd Zamri Najib yang dikenali sebagai Alif, dipercayai terbabit dalam dua kes iaitu mencederakan dua mangsa di Kampung Permatang Badak dan Taman Sungai Isap Jaya pada 13 Disember 2011 dan Ahad lalu. 

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunya maklumat mengenai suspek supaya menghubungi polis berhampiran. 

Kes itu, katanya, disiasat mengikut Seksyen 324 dan 326 Kanun Keseksaan. 

- BERNAMA

Nenek dan cucu rentung dalam kebakaran di Sabah


SANDAKAN: Seorang wanita dan cucu perempuannya rentung apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Minusu Jalan Pinangah Kuamut, kira-kira 170 kilometer dari sini, semalam. 

Mayat Jumah Gaurod, 48, dan Adriana Chrisdayehillyn, 6, ditemui rentung di bawah rangka kayu rumah itu.
Empat lagi penghuni rumah itu yang dikenali sebagai Fulgentius Welson, 27, Cornlius Radi, 26, Adrian Radi, 23, dan adik bongsu mangsa, Nicy Fulgentius, 4, berjaya menyelamatkan diri dengan keluar melalui tingkap.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jemishin Ujin, berkata kebakaran pada 12 tengah malam itu berlaku ketika kesemua penghuni rumah berkenaan sedang tidur. 

"Kami menerima panggilan kecemasan pada 12.24 tengah malam dan hanya tiba di lokasi kejadian pada pukul 5.15 pagi disebabkan lokasinya yang jauh. 

"Ketika sebuah jentera dan dua kenderaan utiliti bersama sembilan anggota bomba tiba di tempat kejadian, rumah dua tingkat itu hanya tinggal rangka," katanya. 

Beliau berkata punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat. 

- BERNAMA

Remaja terkena peluru penabur, disyaki ceroboh rumah

KUALA TERENGGANU: Seorang remaja yang disyaki memecah masuk kediaman tidak berpenghuni milik seorang kontraktor di Kampung Palas Bukit Payung, Marang dekat sini tengah malam semalam, menerima padah apabila dia cedera terkena peluru penabur akibat tembakan yang dilepaskan pemilik rumah itu. 

Remaja berusia 18 tahun, yang didapati positif dadah dan cedera di kaki itu ditahan polis di rumahnya tidak jauh dari tempat kejadian pada jam 7.30 malam semalam.
"Selepas pemeriksaan dijalankan, terdapat tiga biji peluru penabur pada kaki suspek dan dia kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP K. Manoharan kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata, dalam kejadian pada jam 12.15 tengah malam semalam, remaja terbabit bersama seorang lagi rakannya disyaki memecah masuk rumah kontraktor berusia 56 tahun itu ketika lelaki itu berada di sebuah lagi rumahnya di Kampung Binjai Bongkok, Marang. 

"Kontraktor itu menerima panggilan telefon dari orang kampung mengenai kejadian itu dan beliau bersama empat lagi rakannya terus ke kediaman keduanya itu dengan berbekalkan sepucuk senapang patah miliknya. 

"Kontraktor yang mempunyai lesen senjata api itu melepaskan tembakan apabila ternampak dua lelaki melarikan diri ke belakang rumah," katanya. 

Beliau berkata, polis mengenalpasti seorang lagi rakan suspek dan kini melancarkan gerakan mencarinya. 
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Sejata Api dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh, katanya. 

Manoharan menasihatkan orang ramai yang mendapat maklumat mengenai kejadian jenayah supaya menghubungi polis dan tidak mengambil tindakan sendiri. 

- BERNAMA 

Rogol pelajar tingkatan 2

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki yang baru bergelar bapa dalam tempoh hanya beberapa hari dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas dakwaan bersubahat dengan dua rakannya dalam kejadian rogol pelajar tingkatan dua, awal April lalu.

Tertuduh, Nor Shahrul Zuraimie Noruddin, 20, dari Kampung Gong Pak Mentosa, Tembila, Kampung Raja, Besut, didakwa dengan sengaja telah bersubahat dengan dua rakannya merogol mangsa di sebuah rumah di Kampung Tembila, Kampung Gong Medang, Kampung Raja, Besut, pada 3 April lalu lebih kurang jam 8 pagi hingga 10 pagi.

Bagaimanapun, tertuduh yang bekerja sebagai buruh itu mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas dakwaan mengikut Seksyen 116 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 376 (2) (d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih dari 30 tahun dan bolehlah juga dikenakan sebat jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Zulfazliah Mahmud di hada­pan Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, Zainal Abidin menetapkan 17 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan.

Sementara itu, dua rakannya, yang juga bekerja sebagai buruh itu turut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen berasi­ngan, semalam atas dakwaan merogol mangsa.

Bagi tertuduh, Abdullah Che Pa, 19, dari Kampung Gong Pak Mentosa, Tembila, Kampung Raja, Besut didakwa dengan sengaja telah merogol mangsa pada 2 April lalu antara jam lebih kurang 9 malam hingga 11 malam.

Abdullah didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen sama yang jika disabitkan kesalahan boleh diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat.

Manakala bagi tertuduh, Faizol Yaacob, 22, dari Kampung Gong Medang, Kampung Raja, Besut didakwa merogol mangsa pada keeso­kan harinya iaitu 3 April lalu lebih kurang jam 8 pagi hingga 10 pagi di rumah sama.

Dengan itu, Faizol didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376 (2) (d) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen sama yang jika disabitkan kesalahan boleh di penjara selama tempoh tidak kurang dari lima tahun dan tidak lebih dari 30 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas dakwaan berkenaan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah kedua tertuduh direkodkan, hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris menetapkan 17 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan kedua-dua mereka dijamin RM7,000 dengan seorang penjamin.

-SH

Mangsa simbah asid meninggal

RAWANG - Mangsa simbah asid dan samun, S Rani, 46, disahkan meninggal dunia jam 2 petang di Hospital Selayang, semalam.

S Rani yang ditempatkan di unit rawatan rapi sejak 27 Mac lalu dilaporkan kritikal selepas muka dan tangannya cedera teruk akibat di simbah asid dua individu tidak dikenali.

Suaminya, Murugan ketika dihubungi enggan memberi sebarang kenyataan kepada media.

Sehingga jam 8 malam tadi, mendiang S Rani masih berada di Hospital Selayang untuk proses bedah siasat.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan insiden simbah asid di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sun Yook membabitkan tiga pelajar dan mangsa sewaktu sedang menunggu bas sekitar jam 7 pagi, 27 Mac lalu.

Bagaimanapun, tiga pelajar terbabit tidak mengalami kecederaan serius kerana hanya terkena percikan simbahan asid selepas berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek.

-SH

Dibelasah 15 orang kerana dendam





ALOR GAJAH - Lima sahabat hanya mampu melihat dua rakannya dibelasah selepas diserang kira-kira 15 lelaki di padang permainan sebuah taman di Durian Tunggal, di sini, malam kelmarin.


Saksi yang enggan dikenali berkata, ketika keja­dian, mangsa berusia 30-an itu sedang berbual bersama rakan sebelum didatangi sekumpu­lan lelaki menaiki kereta dan motosikal.

“Kumpulan lelaki terbabit terus meluru ke arah mangsa yang gagal melarikan diri dan dibelasah dalam gelap.

“Rakan-rakan mangsa tidak berani mendekati mangsa kerana diberi amaran supaya tidak mencampuri urusan mereka dan hanya mampu melihat dari jauh sebelum kumpulan lelaki tadi beredar kira-kira lima minit kemu­dian,” katanya. 


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin, berkata, beliau difahamkan kejadian berpunca daripada dendam lama.

Menurutnya, mangsa yang mengalami kecederaan di kepala, selain patah pergelangan kaki kiri dan cedera di tangan dikejarkan ke Hospital Melaka oleh saudaranya dan kini masih menerima rawatan.

Umar Ali Saifuddin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 2 pagi dan empat suspek berusia antara 20-an hingga 30-an ditahan sejam kemudian.

“Dua bilah parang dan beberapa kayu yang digunakan dalam pergaduhan itu dirampas dan kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh,” katanya.

-SH