Thursday 19 April 2012

Pelajar maut motosikal rempuh kereta


DUNGUN - Seorang pelajar Sekolah Menengah Teknik Dungun maut apabila motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta di Kilometer 73.9, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berhampiran sekolahnya, hari ini.

Mangsa Ahmad Zikri Zaharudin, 16, menghembuskan nafas terakhir di pangkuan seorang pengguna jalan raya yang sempat menyaksikan kejadian itu, Mohd Yuslizam Mat Yusof, 35 dan sempat mengajar mangsa mengucap dua kalimah syahadah.

Dalam kejadian pukul 7.20 pagi itu, mangsa baru sahaja menghantar rakannya Muhammad Faizal Yusri Mohd Shazali, 16, di depan pintu pagar sekolah itu.

Bagaimanapun mangsa yang memberitahu rakannya beliau sakit kepala, dirempuh sebuah kereta yang datang dari arah belakang ketika mangsa membuat pusingan 'U' untuk pulang ke rumah, menyebabkan mangsa tercampak kira-kira 10 meter di atas jalan raya.

Ketua Polis Daerah, Supt Dahlan Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, jenazah mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Dungun untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian.

Katanya mangsa merupakan anak kepada seorang kerani yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun, Maimun Tahir, 54.


- BERNAMA

No comments:

Post a Comment