Friday 11 May 2012

Maut jatuh tingkat tiga Hospital Pulau Pinang


GEORGETOWN - Seorang lelaki warga emas yang baru seminggu dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) ditemui mati dipercayai terjatuh dari tingkat tiga hospital itu di sini hari ini.

Pada kejadian pukul 1 tengah hari itu, lelaki terbabit, R. Tanchavarnam, 68, dimasukkan ke wad hospital itu selepas disyaki menghidap penyakit batuk kering.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng ketika dihubungi berkata lelaki terbabit sebelum itu dikatakan mengadu kepada beberapa orang jururawat dan doktor bahawa dia tidak tahan menanggung kesakitan akibat penyakit yang
dialaminya.

"Seorang jururawat telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut berhubung penemuan mayat itu," katanya.

Gan berkata ini adalah kes pertama seumpamanya berlaku di hospital itu.

Beliau berkata siasatan awal mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut, dan mayat lelaki terbabit dihantar ke Jabatan Forensik HPP untuk bedah siasat. 

- Bernama

Wanita cantik Pakistan jadi mangsa simbah asid


Wajah Shama selepas disimbah asid. Gambar kecil - Wajah Shama sebelum
tragedi yang meragut kecantikkan dan seluruh kehidupannya.
– Foto ihsan BBC
SEIRING dengan namanya, Shama yang bermaksud ‘lilin’, wanita malang ini telah disimbah asid sehingga wajahnya berparut dengan 15 peratus badanya terbakar bagaikan sebatang lilin oleh suaminya sendiri hanya kerana tidak berpuas hati ketika bertengkar.

Kini, ibu muda kepada empat cahaya mata itu tersenarai sebagai mangsa simbahan asid di kalangan wanita Pakistan dan menjadi mangsa kepada kecantikannya sendiri.

“Saya dan suami saya sering bertengkar di rumah. Pada hari itu sebelum tidur suami saya berkata,’anda terlalu bangga dengan kecantikan anda'. Kemudian, di tengah malam, tiba-tiba dia menyimbah asid ke badan saya dan melarikan diri," katanya ketika ditemui wartawan di hospital.

Lebih parah lagi kata Shama, suaminya turut membawa telefon bimbitnya ketika melarikan diri supaya wanita malang itu tidak dapat membuat panggilan bagi mendapatkan bantuan.

Sedangkan, empat bulan lalu, wanita malang yang mempunyai raut wajah yang jelita itu sedang menikmati kehidupan yang gembira ketika sambutan hari lahir anaknya tetapi kini semuanya tersimpan dalam lipatan sejarah sehingga menyebabkan keyakinan dirinya terlupus.

“Apa yang berlaku benar-benar melukakan hati saya,” katanya dipetik BBC baru-baru ini.

“Saya berasa sakit pada apa yang saya, dan apa yang saya telah menjadi," katanya.

“Semua warna telah pergi dari hidup saya. Saya rasa seperti saya mayat hidup, malah lebih teruk daripada mayat yang hidup. Saya kini seolah-olah tidak mempunyai hak untuk hidup," katanya sambil mengesat air mata.

Laporan BBC menyebut, menurut sukarelawan di Pakistan, kes-kes serangan asid bertambah di kebanyakan kawasan, walaupun tindakan undang-undang sukar diperkenalkan pada tahun lepas.
Sementara itu, satu dokumentari yang memenangi anugerah Oscar telah meletakkan jenayah itu di bawah perhatian dengan memfokuskan lebih 150 wanita mangsa simbahan asid yang dilaporkan setiap tahun.

Jenayah ini biasanya dilakukan oleh suami mangsa sendiri tetapi sehingga kini masih tiada undang-undang yang dapat memberikan wanita Pakistan keadilan.

Sementara itu, di Karachi, seorang bekas penari, Fakhra Younis turut mengalami nasib sama dengan Shama akhirnya memilih untuk mengakhiri nyawanya.

Fakhra dikatakantelah ‘mati’ dua kali. Kali pertama ketika dia disimbah asid dan kali kedua ketika dia membunuh diri di Itali bulan lalu.

Sebelum membunuh diri, gadis malang itu terpaksa menjalani hampir 40 kali pembedahan bagi mengembalikan kecantikan wajahnya namun, masih tetap gagal.

Aktivis berkata, Fakhra telah putus harapan untuk mendapatkan keadilan dan bekas suaminya yang berasal dari keluarga politik telah dibebaskan dari dituduh membuat serangan itu.

Dalam pada itu, kematian Fakhra telah menjadi tajuk utama di sini, tetapi menurut aktivis, sebaliknya mangsa sering dipulaukan.

“Hanya kira-kira 10 peratus kes seperti ini sampai ke mahkamah.

“Walaupun dalam kes-kes berprofil tinggi seperti Fakhra, terdapat pendakwaan yang dikemukakan lemah. Ada ketika, mangsa tidak dapat pun membuat laporan polis," kata Zohra Yusuf, Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pakistan.

Namun, menurut seorang bekas ahli parlimen, Marvi Memon, pesalah terpaksa berhadapan dengan kesukaran apabila undang-undang baru yang diluluskan tahun lepas menetapkan hukuman penjara 14 tahun atau hukuman penjara seumur hidup jika didapati bersalah.

Tetapikatanya, masih ramai penyerang masih bebas walaupun undang-undang baru itu telah dikuatkuasakan.

“Malah jika dia (penyerang) ditangkap, mereka akan merasuah polis dan mereka akan melarikan diri.

Golongan mereka berpendapat, ini adalah cara paling mudah untuk menghukum seorang wanita. Anda hanya boleh membuang asid dan memusnahkan seluruh hidupnya dalam satu saat," katanya.

Dalam pada itu, Marvi berkata, kurangnya kesungguhan ahli politik untuk melaksanakan undang-undang adalah penyebab kepada semua masalah ini.

“Saya mahu hukuman berat dijatuhkan kepada beliau supaya hukuman itu dapat memberi pengajaran kepada semua orang agar berfikir panjang sebelum melakukan sebarang jenayah.

"Amat sukar untuk mendapatkan kerjasama antara pihak polis dengan wanita kerana mereka turut tertekan untuk berbuat demikian," katanya.

Kerajaan mengakui perlu lebih banyak lagi cara dalam membantu mangsa asid dan perlaksanaan undang-undang adalah satu cabaran besar.

“Kelulusan” undang-undang adalah langkah pertama, kata Shahnaz Wazir Ali, seorang penasihat kerajaan.

Namun beliau mempersoalkan mengapa kes ini tidak mendapat keadilan dengan cepat? Inilah sebahagian yang kita perlu buat, kita perlu lebih peka dengan polis, mahkamah dan masyarakat.

-SH

Mangsa nahas pesawat Sukhoi ditemui

Lokasi jatuhnya Pesawat Sukhoi


JAKARTA - Pasukan mencari dan menyelamat pada Jumaat menemui 12 mayat penumpang pesawat awam buatan Rusia Sukhoi Superjet 100 yang terhempas di Gunung Salak, Bogor, Jawa Barat.

Ketua Badan SAR Nasional (Basarnas) Marshal Madya Daryatmo berkata mayat itu belum dikenal pasti dan usaha sedang dijalankan untuk mengeluarkannya dari tempat kejadian.

Keadaan cuaca buruk dan tempat pendaratan helikopter (heli pad) yang belum boleh digunakan menghalang usaha mengeluarkan mayat dengan lebih cepat, katanya di Jakarta, Jumaat.

Pasukan penyelamat juga berdepan kesulitan dalam operasi mencari dan menyelamat kerana tempat kejadian merupakan sebuah tebing curam yang bercerun 85 darjah manakala kabut tebal pula menghadkan jarak penglihatan.

Pesawat itu, yang membawa 45 penumpang dalam penerbangan demonstrasi, berlepas dari Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma, Jakarta pada 2.12 petang Rabu dan dilaporkan hilang sekitar 2.50 petang apabila ia terputus hubungan dengan menara kawalan udara.

Sejurus sebelum ia hilang dari radar, juruterbang meminta izin dari menara kawalan udara untuk menurunkan pesawat itu daripada ketinggian 10,000 kaki kepada 6,000 kaki, namun belum ada penjelasan mengapa beliau bertindak demikian.

Lapan warga Rusia dari syarikat Sukhoi antara penumpang pesawat itu, selain warga Indonesia termasuk beberapa wartawan.

Sebahagian besar anggota keluarga mangsa yang berkumpul di Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma kelihatan sedih dan terharu dengan penemuan mayat berkenaan ketika mengikuti perkembangan operasi mencari dan menyelamat itu melalui televisyen.

Namun, ada antara mereka masih berharap orang kesayangan yang menjadi penumpang pesawat malang itu dapat ditemui dalam keadaan selamat. 

- Bernama

Mayat pembantu rumah warga India hampir rentung ditemui dalam stor

Gambar Hiasan
GEORGETOWN: Mayat seorang pembantu rumah warga India yang hampir rentung ditemui dalam sebuah stor bersebelahan rumah majikannya di Taman Pekaka di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata mangsa yang berusia 20-an itu baru dua bulan bekerja di negara ini dan mayatnya ditemui anak lelaki majikannya pada 9 pagi tadi. 

"Wanita itu ditemui dalam keadaan 90 peratus terbakar dan terbaring dalam stor berkenaan, dan dia dipercayai baru pertama kali datang ke negara ini dengan menggunakan permit yang sah. 

"Majikan mangsa kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Sungai Nibong pagi tadi, dan hasil pemeriksaan awal, polis menjumpai sekotak mancis dan dua botol minyak tanah berhampiran mayat mangsa," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata polis masih menyiasat kes itu, dan setakat ini tidak mengesyaki sebarang perbuatan jenayah.

Katanya, mayat wanita itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk siasatan lanjut, dan setakat ini tidak ada tangkapan dilakukan. 

- BERNAMA


Tak sempat beri gaji pertama kepada arwah ayah


Isteri mangsa, Samsiah Ahmad ditenteramkan oleh rakannya ketika
melihat mayat suaminya yang terbunuh dalam kemalangan
SEREMBAN – “Saya memang terkilan sangat kerana tidak dapat memasukkan RM100, gaji pertama saya bulan ini ke dalam akaun ayah seperti dijanjikan selepas saya mendapat tawaran bekerja di Bank Simpanan Nasional (BSN) di Lukut.”

Itu luahan hati Rozaimin Zulkifli 20, anak bongsu seorang pengurus pangsapuri yang maut dalam kejadian langgar lari di simpang empat, di Taman Ampangan dekat sini, awal pagi, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa, Zulkifli Alias, 61, yang bersendirian menunggang motosikal jenis Modenas Kris, dalam perjalanan ke Stesen Komuter di Seremban untuk ke tempat kerjanya di sekitar Petaling Jaya.

Sejurus tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dilanggar dari arah tepi, oleh sebuah kereta jenis Proton Persona, dipercayai dipandu seorang lelaki warga asing berusia 20-an.

Akibatnya, mangsa tercampak ke bahu jalan dan kereta terbabit pula terbabas lalu melanggar lampu jalan.

Suspek meninggalkan kenderaannya dan melarikan diri.

Mangsa yang mengalami kecederaan dalaman meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk dibedah siasat sebelum dikebumikan di Makam Tuan Haji Said.

Sementara itu, Rozaimin berkata, ayahnya tidak menunjukkan apa-apa perubahan tetapi ada berpesan supaya bekerja dengan baik.

“Sebelum ini, saya berjanji dengan arwah ayah, saya akan memasukkan duit gaji pertama diterima pada bulan ini ke dalam akaunnya.

“Namun, belum pun sempat saya terima gaji pertama, ayah telah tiada. Itu yang membuatkan saya amat terkilan tetapi saya redha dengan pemergiannya,” katanya anak bongsu daripada lima beradik ini.

Menurutnya, malam kelmarin dia bersama arwah ayahnya sempat menonton perlawanan bola sepak antara pasukan Negeri Sembilan dan Selangor di rumah.

“Arwah ayah berulang-alik dari rumah ke tempat kerjanya di Petaling Jaya sejak 10 tahun lalu.

“Ayah seperti biasa keluar rumah seawal jam 5.40 pagi untuk bekerja,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan dan meminta suspek yang melanggar mangsa tampil bagi membantu siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban menerusi talian 06-6033394 atau balai polis berhampiran,” katanya.

Pegawai Turus Trafik Negeri Sembilan, Asisten Superintendan Abd Halil Hamzah mengesahkan kejadian berkenaan.

-SH

Pelajar cemerlang Malaysia terima biasiswa Maxis


KUALA LUMPUR - Penyedia perkhidmatan komunikasi Maxis Berhad menganugerahkan biasiswa bernilai RM3.16 juta kepada 22 pelajar cemerlang Malaysia.

Pengerusi Maxis Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata penerima terdiri daripada mahasiswa dari universiti tempatan dan luar negara. 

Anugerah Kecemerlangan Biasiswa Maxis itu disampaikan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah. 

Raja Arshad memberitahu pemberita sehingga 21 Dis 2011, Maxis menganugerahkan biasiswa berjumlah RM32.2 juta kepada 133 mahasiswa dan 27 siswazah.

Terdahulu, dalam ucapannya, Saifuddin berkata kementerian berhasrat menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan untuk pengajian tinggi. 

- Bernama

Thursday 10 May 2012

2 kereta guru bertembung

Orang ramai melihat keadaan kereta jenis Mazda setelah terbabit dalam kemalangan di Kilometer 13 Jalan Kuala Berang-Telemong, di Kampung Nasi Dingin, pagi kelmarin.
HULU TERENGGANU - “Sebaik mendengar bunyi dentuman, saya terus keluar dan melihat sebuah kereta sudah terbalik, manakala sebuah lagi terbabas di bahu jalan berhampiran kawasan rumah saya,” kata Osman Hamzah, 66.

Osman berkata, dia kemudian bergegas membantu mangsa dan ketika itu mangsa menyebut perkataan ‘sakit’ beberapa kali.

Osman turut membantu mangsa keluar dari kenderaan dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 13 Jalan Kuala Berang-Telemong, Kampung Nasi Dingin, kira-kira jam 7.30 pagi hingga 8 pagi kelmarin.

Kejadian membabitkan sebuah kereta jenis Mazda dipandu seorang guru lelaki dari arah Kuala Telemong-Kuala Berang dengan sebuah Honda City dipandu seorang guru wanita, dipercayai dalam perjalanan ke Batu Rakit untuk mengikuti kursus.

Sebaik tiba di tempat kejadian, dua kenderaan itu dikatakan bertembung setelah salah sebuah kereta dipercayai masuk ke laluan bertentangan hingga menyebabkan kereta dipandu guru lelaki tersebut terbalik lalu merempuh pokok, manakala Honda City pula terbabas ke bahu kiri jalan.

Menurut Osman, kemalangan seumpama itu bukan perkara asing di kawasan itu, apatah lagi terdapat satu selekoh tajam di situ yang sering menyebabkan kenderaan terbabas.

“Kemalangan di kawasan ini boleh dikatakan sering berlaku. “Pernah berlaku kenderaan terbalik di tempat sama sebelum ini. Tidak sangka, ia berulang dan syukurlah ia tidak membabitkan kemalangan maut,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asistan Superintendan Mohd Rosli Mohd Amir ketika ditemui semalam menjelaskan pihaknya belum menerima sebarang laporan berkaitan kemalangan berkenaan.

-SH

Suami terlanggar isteri maut


IPOH - Kecuaian seorang lelaki warga emas mengundur kereta tanpa melihat ke belakang menyebabkan isterinya maut dalam kejadian yang berlaku di hadapan rumah mereka di Taman Buluh Mas, Taman Pertama, di sini, pagi kelmarin.

Mangsa, Wong Foo Mei, 74, disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada hari yang sama.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Ipoh, Deputi Superintendan Wan Sharudddin Wan Omar berkata, dalam kejadian jam 9.15 pagi itu, suami mangsa, Lee Lan Ching, 77, dikatakan tidak menyedari kehadiran isterinya sewaktu mengundurkan kenderaan.

Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diperolehi, suami mangsa yang panik turut melanggar pondok di taman berhampiran rumah mereka sehingga rosak.

“Siasatan awal polis mendapati mangsa, Foo Mei, berada di belakang kereta ketika suaminya sedang mengundurkan kereta lalu terlanggarnya.

“Akibat rempuhan itu mangsa yang cedera parah dikejarkan ke HRPB untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia jam 11.35 pagi semalam,” katanya.

Beliau berkata, kemalangan itu tiada unsur jenayah kerana pasangan warga emas berkenaan tidak mempunyai masalah keluargan, namun siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

-SH

Mengaku rogol gadis 16 tahun

Gambar Hiasan

JOHOR BAHRU – Perkena­lan hampir enam bulan dengan seorang jejaka berakhir duka apabila remaja perempuan berusia 16 tahun dirogol, Rabu lalu.

Kejadian berlaku di sebuah bilik di Rumah Pekerja Ladang, Kulaijaya, kira-kira jam 7 hingga 9 pagi.

Pekerja warga Indonesia, Hasanudin, 20, mengaku salah di Mahkamah Sesyen semalam, atas tuduhan merogol gadis bawah umur itu.

Hakim, Zamri Bakar menetapkan hukuman penjara lima tahun ke atas tertuduh bermula dari tarikh tangkapan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Dzul Iswari Mohd Jaafar, manakala Hasanudin tidak diwakili peguam.

-SH

SMK Suai dipilih sebagai tuan rumah Pertandingan Pengkisahan Kenegaraan 1Malaysia Peringkat Negeri



KUCHING: Sekolah Menengah Kebangsaan SMK Suai, Niah di Miri dipilih sebagai tuan rumah Pertandingan Pengkisahan Kenegaraan 1Malaysia Peringkat Negeri pada 12 Mei ini.

Pertandingan yang dianjurkan setiap tahun oleh Jabatan Penerangan itu akan me-nyaksikan pertarungan lima pasukan dan menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM6,500.

Menurut kenyataan akh-bar dikeluarkan Jabatan Pe-nerangan Negeri, pasukan terbaik akan menerima wang tunai RM2,000 manakala tempat kedua bakal membawa pulang RM1,500 manakala tiga pasukan lain akan menerima RM1,000 masing-masing sebagai sagu hati.

Pertandingan itu bertujuan menggalakkan peserta memberi pandangan, idea dan ma-nifestasi peribadi tentang program-program kerajaan sejak merdeka.

Ia juga berobjektif untuk mengukuhkan integrasi antara negeri, kumpulan etnik, budaya, agama dan kepercayaan menerusi pengkisahan perjuangan pemimpin terdahulu dan sekarang.

Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pembangunan Keluarga Rosey Yunus, Ahli Parlimen Ahmad Lai Bujang dan Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Resat Salleh dijadual menghadiri pertandingan itu.

-BP

David Teo memohon secara terbuka kepada seluruh keluarga dan sahabat handai Allahyarham Bob Kuman



PENERBIT filem dari MIG Movie Production, David Teo memohon secara terbuka kepada seluruh keluarga dan sahabat handai Allahyarham Bob Kuman atau Husni Mohd Rawi di atas kenyataannya yang menyinggung mereka kerana menyebut perkataan ‘sedekah’. 

Dalam kenyataannya yang dikirimkan kepada semua media menerusi e-mel, beliau menjelaskan, jauh dalam lubuk hatinya memang tidak ada niat langsung untuk menghina atau menyakitkan hati mana-mana kerana Bob Kuman dianggap sahabat baiknya. 

Berikut adalah kandungan e-mel daripada David Teo;
“Salam takziah saya buat seluruh keluarga dan sahabat handai Bob Kuman (Husni Mohd Rawi). 

Pemergian Bob sememangnya satu kehilangan buat industri hiburan Malaysia. Saya sendiri terkejut apabila mendengar berita pemergiannya, namun kita sebagai manusia harus reda dengan segala ketentuan Tuhan. 

Allahyarham sebelum ini banyak terbabit dalam produksi saya dan dia sangat komited dengan segala kerja yang dilakukannya. Saya juga sangat menghormatinya sebagai sahabat dan rakan kerja. 

Pada kesempatan ini, saya dari lubuk hati yang dalam memohon maaf daripada keluarga Allahyarham sekiranya ada kata-kata atau tindakan saya yang menyinggung perasaan mereka. Bukanlah niat saya untuk mencetuskan sebarang isu atau kontroversi. 
Saya sedar kata-kata saya dalam rancangan Melodi bertarikh 22 April 2012 saya ada menyebut mengenai sumbangan yang saya beri di Hospital Tawakal pada tahun 2010 semasa Bob sakit. 

Dalam kenyataan itu, saya ada menyebut "jika Bob Kuman perlukan sumbangan lebih, saya boleh sedekah". Di sini saya ingin menjelaskan bahawa kenyataan ini dikeluarkan semasa Bob Kuman hidup, bukannya selepas meninggal dunia. 
Penggunaan perkataan ‘sedekah’ yang saya maksudkan adalah ‘derma atau sumbangan’. 

Apa yang saya faham, ‘sedekah’ bukanlah sesuatu yang hina. Selalu kita dengar ‘senyum adalah satu sedekah’ dan ‘sedekahkan al-Fatihah’ jika ada orang meninggal dunia. Saya anggap perkataan ini sesuatu yang suci, tetapi mungkin saya tersalah tafsir. 

Saya sedar kata-kata saya ini telah menyinggung perasaan keluarga dan sebilangan masyarakat terutama peminat dan penyokong Bob Kuman. Percayalah, demi Tuhan saya langsung tidak terlintas niat di hati untuk menyakitkan hati mana-mana pihak sedangkan Bob Kuman saya anggap sebagai sahabat baik saya. 

Saya sekali lagi memohon maaf di atas keterlanjuran kata-kata saya. Saya bukanlah insan sempurna yang tidak terlepas dari melakukan kesilapan. 
Pengalaman ini akan saya jadikan pedoman untuk menempuh hari-hari yang mendatang dengan lebih berhati-hati. 

Kepada semua rakan artis dan peminat, sama-samalah kita mendoakan kesejahteraan roh Allahyarham di sana. Diharapkan permohonan maaf ikhlas ini dapat diterima dengan hati yang ikhlas juga. 

'Cara dia kurang manis' 

PELAWAK terkenal, Saiful Apek, yang juga rakan baik Allayharham Bob Kuman, menganggap permohonan maaf melalui e-mel sebagai tidak bermakna dan tindakan kurang manis oleh produser popular, David Teo. 

Katanya, sebagaimana lantangnya penerbit terbabit menyebut mengenai sumbangan yang diberikan kepada Allahyarham di Hospital Tawakal pada 2010 sebagai sedekah, seperti disiarkan Melodi siaran 22 April lalu, sepatutnya permohonan maaf itu dilakukan menggunakan kaedah sama (media elektronik). 

“Susah saya mahu cakap soal ini. Bukan saya tidak terima permohonan maafnya, tetapi saya mahu dia memohon maaf secara terbuka, bukan menerusi e-mel yang kita tidak dapat lihat sama ada dia sendiri yang tulis atau sebaliknya. Bagi pihak saya, saya sudah memaafkannya, tetapi bagi orang lain, dia patut minta maaf dengan cara yang betul. 

“Sepatutnya, bagaimana dia menggunakan media elektronik untuk mengeluarkan kenyataan sedekah itu, begitulah caranya untuk dia memohon maaf secara terbuka kepada ahli keluarga Allahyarham, seperti ibu, isteri, adik-beradik dan kenalan Bob yang terguris dengan kenyataannya yang cukup keras itu. 

“Masa dia mengutuk Allahyarham, boleh pula menggunakan saluran televisyen. Kenapa tidak memohon maaf dengan cara yang sama? Ia lebih afdal apabila menggunakan media elektronik. Saya rasa, bukan saya saja yang berpendapat begini, orang lain juga pasti bersetuju kerana ia kurang manis. Lagipun, David sudah biasa buat filem Melayu, tentunya dia sudah arif dengan adat Melayu,” katanya. 

Mengenai kemungkinan David salah mentafsir frasa sedekah, Apek berkata, David tidak menggunakan perkataan memberi sedekah sememangnya mulia, tetapi perkataan seolah-olah meminta sedekah, seperti yang ditujukan kepada Allahyarham, yang dilihat mengguris hati. 

Katanya, jika sebelum ini David boleh menggunakan perkataan seperti sumbangan mahupun sagu hati, kenapa pada ketika itu dia memilih perkataan sedekah pula? 

“Saya pelik kerana selama ini David terkenal dengan perkataan sagu hati dan sumbangan, tetapi kenapa untuk Allahyarham, sebanyak dua kali dia menggunakan perkataan sedekah,” tegasnya. 

Katanya lagi, dia mengakui ada segelintir pihak mengatakan dia seperti meneguk di air yang keruh berhubung soal itu, dengan alasan kononnya mahu membalas dendam terhadap persengketaan bersama David selama ini. Bagaimanapun Apek menafikan perkara itu sekeras-kerasnya. 

“Tanggungjawab saya sebagai rakan baik adalah meminta David mohon maaf secara terbuka kepada keluarga Allahyarham. Selepas selesai permohonan maaf terbuka David nanti, saya mahu menjalankan amanah Allahyarham kepada saya pula, membabitkan diri saya sendiri. 

“Ramai yang salah faham kerana ingat saya mahu menjalankan amanah yang membabitkan Allahyarham. Tidak, ia satu tanggungjawab yang diamanahkan Allahyarham kepada saya kerana hanya dia tahu semua cerita antara saya dan David. Saya tidak menggunakan isu ini untuk balas dendam kepada David. Ia amanah membabitkan hak saya dan sebenarnya bukan saya seorang saja, tetapi ramai lagi yang harus menuntut hak sama. 

“Sebenarnya, sebelum meninggal, Allahyarham berpesan kepada saya untuk menuntut hak saya membabitkan soal bayaran yang tidak dilunaskan David. Saya berlakon percuma saja untuk filem Lady Boss dan Anak Mami The Movie. Hati mana tidak sakit setiap kali melihat tayangan filem itu di kaca televisyen, sedangkan sudah enam tahun saya tidak menerima bayaran? 

“Selama ini, saya hanya diamkan saja kerana mengikut saluran yang betul, iaitu mahkamah. Kini tiba masanya saya menuntut hak seperti yang diamanahkan rakan baik saya,” katanya yang akan mengadakan sidang media tergempar dalam masa terdekat membabitkan haknya itu.

-BH

Video bukti kekejaman isteri

KASIH SEORANG ADIK: Kundi (terbaring) kini semakin sihat di sisi adiknya Siti Mariam (tiga kiri) dan ahli keluarga yang lain di wad lelaki Hospital Limbang semalam.
LIMBANG: Rahsia kekejaman seorang isteri terhadap suami sendiri akhirnya terbongkar apabila video yang memaparkan aksinya mendera mangsa dirampas pihak polis dalam serbuan di sebuah rumah di Tanjung Unggar pagi semalam.

Dalam serbuan sekitar jam 9 pagi semalam, lima anggota polis berjaya merampas telefon bimbit dan komputer riba dipercayai mengandungi bahan bukti penderaan oleh si isteri terhadap suaminya lebih setahun lalu.

Ketua Polis Daerah Limbang Pemangku Superinten-den Mohd Bukhori Saffai ketika dihubungi Utusan Borneo semalam turut mengesah-kan kejadian itu.

Beliau berkata video berke-naan itu dirakam mengguna-kan telefon bimbit dan komputer riba beberapa bulan lalu, dipercayai untuk simpanan peribadi si isteri dan anaknya.

“Kami berjaya menangkap suspek yang juga isteri mangsa dera, Kundi Lutan 64, bersama anak perempuannya Selasa lalu, jam 1.30 petang ketika suspek sedang meng- ambil anaknya di sebuah sekolah di kawasan Medamit.

“Hasil tangkapan itu berjaya membongkar perbuatan suspek yang dipercayai me-nyimpan dan merakam perbuatan mendera suaminya,” katanya.

Mohd Bukhori berkata vi-deo yang dirakam beberapa minit itu dipercayai dapat membantu pihaknya menyelesaikan kes yang mendapat liputan meluas di negeri ini.

Beliau menambah hasil siasatan yang dijalankan men-dapati suspek cuba menafikan perbuatannya yang dipercayai mendera suaminya.

“Namun pengakuan suspek itu bertentangan dengan kete-rangan mangsa dan saksi serta penemuan video yang juga bahan bukti terbabit,” katanya.

Mohd Bukhori berkata suspek dan anaknya akan disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

“Suspek juga akan direman selama empat hari bermula petang ini (semalam) untuk membantu kami menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

Ahad lalu, akhbar ini men-dedahkan mengenai perbuatan kejam seorang isteri yang sanggup bertindak kejam dan tidak berperikemanusiaan kerana dipercayai tergamak mengurung, mendera dan menyeksa suaminya, Kundi Lutan lebih setahun lalu.

Perbuatan zalim itu akhir-nya terbongkar selepas orang kampung dan ahli keluarga terdekat bertindak menghubungi pihak polis selepas tidak tahan menyaksikan penderitaan dihadapi mangsa.

Mangsa kemudiannya di-temui dalam keadaan menyayat hati dalam sebuah rumah dan berjaya diselamatkan seterusnya dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Sementara itu Kundi yang ditemui Utusan Borneo di wad lelaki Hospital Limbang pagi semalam memberitahu, sukar baginya memaafkan perbuatan kejam isteri terhadapnya.

“Saya tidak mahu tinggal dengan bini (isteri) saya ke-rana tidak mahu lagi menjadi mangsa sepak terajang, se-hingga dia tergamak memijak saya,” katanya.

Kundi berkata beliau akan tinggal bersama adik bongsu-nya di Brunei selepas dibenarkan keluar dari hospital nanti.

Mengulas lanjut, Kundi berkata terlalu banyak kekejaman yang dilakukan isteri-nya terhadapnya selama ini sehingga ia memberi kesan trauma mendalam kepadanya.

Kundi berkata sikap isteri-nya mulai berubah selepas dia (isteri) didakwa mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain sejak tiga tahun lalu.

“Cukuplah… saya tidak mahu mengenang bini saya lagi, cuma saya kasihan dengan anak perempuan saya saja,” katanya sebak.

Adik bongsu Kundi, Siti Mariam Abdullah memberitahu Utusan Borneo bahawa proses untuk membuat pasport abangnya sudah dilakukan semalam.

“Saya dan suami bersedia untuk menjaga abang saya sampai bila-bila. Kami akan membawa abang tinggal di Brunei apabila urusan membuat pasport selesai nanti,” katanya.

Beliau berkata keadaan kesihatan abangnya kini semakin beransur pulih dan dia juga dapat bercakap.

“Cuma pergelangan tangannya masih bengkak selain kesan kecederaan lama akibat perbuatan isterinya sendiri.

“Biarlah saya yang menjaga abang saya, kerana beliau seorang abang yang penyayang dan banyak berkorban untuk membesarkan saya sewaktu masih kecil,” katanya sebak.

Kundi yang merupakan bekas kakitangan Jabatan Tanah dan Survei turut menerima kunjungan daripada Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang ketika berada di hospital baru-baru ini.

-BP

Wednesday 9 May 2012

Tragis nenek rentung atas katil

Kalthum ditemui rentung di atas katil dalam sebuah bilik dalam kejadian kebakaran, semalam
MUAR – Seorang warga emas menemui ajal dalam keadaan tragis dalam kejadian kebakaran di sebuah rumah di Taman Mahkota, Jalan Temenggung Ahmad, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.48 pagi itu, mayat Kalthum Sukaimin, 96, ditemui rentung di atas katil di dalam salah sebuah bilik rumah berkenaan.

Saksi kejadian yang merupakan seorang pemandu van sekolah, Bahar Daud, 40-an berkata, dia menyedari kejadian tersebut berlaku ketika menghantar cicit mangsa pulang.

Menurutnya, dia terkejut apabila ternampak kepulan asap hitam keluar dari bahagian belakang rumah mangsa sebaik sahaja tiba di tempat kejadian.

“Cicit mangsa menjerit memberitahu yang neneknya ada dalam bilik dan meminta saya menyelamatkannya. Dalam keadaan kelam kabut mengambil kunci yang diletakkan di atas rak kasut depan rumah, saya juga terdengar jeritan meminta tolong. “Saya cuba menyelamatkan mangsa dalam bilik itu bagaimanapun tidak berjaya kerana ketika itu keadaan api terlalu marak,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, cucu mangsa yang enggan dikenali berkata, semasa kejadian dia tiada di rumah kerana menghantar ibunya menjalani pemeriksaan kesihatan bulanan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF). “Arwah nenek tidak boleh berjalan kerana menghidap sakit tua sejak beberapa tahun lalu dan ditempatkan dalam bilik itu. “Saya tinggalkan arwah nenek sendirian di rumah seketika sementara menunggu anak pulang dari sekolah pada jam 11.30 pagi,” katanya.

Dia yang bertugas sebagai seorang doktor di HPSF memberitahu berita sedih itu diterima pada jam 11.50 pagi selepas dihubungi oleh jiran. Saya berasa sangat sedih kerana nenek meninggal dunia dalam keadaan yang cukup menyayat hati,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 11, Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Mohd Johar Tumin berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 11.58 pagi dan bergegas ke tempat kejadian dengan dua jentera bersama 14 anggota termasuk unit forensik.

“Sewaktu kami tiba, api sedang marak di bilik yang menempatkan mangsa dan ruang dapur, manakala sebahagian bumbung rumah telah runtuh. Pihak bomba mengambil masa selama 15 minit untuk memadam keseluruhan kebakaran dan menemui mangsa dalam keadaan rentung,” katanya.

Mohd Johar berkata, bagaimanapun punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke HPSF untuk dibedah siasat.

-SH

Cubaan bunuh diri kerana CINTA??

Leng Hong cuba menenangkan remaja berkenaan.
GEORGETOWN - Hasrat penjual alat telekomunikasi mahu membunuh diri dengan terjun dari Jambatan Pulau Pinang berjaya digagalkan setelah orang awam memujuknya hampir 40 minit.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.10 petang semalam, remaja berusia 20 tahun itu dikatakan memberhentikan keretanya di Kilometer 7.8 Jambatan Pulau Pinang menghala ke Seberang Perai sebelum berdiri di tepi jambatan.

Namun tindakannya itu disedari beberapa pengguna jalan raya dan bertindak cuba memujuk mangsa supaya tidak meneruskan niatnya.

Difahamkan, tindakan nekad remaja itu disebabkan terlalu kecewa akibat putus cinta, dipercayai baru berpisah dengan kekasihnya, malam kelmarin.

Saksi, Ho Leng Hong, 24, berkata, remaja itu mulanya bertindak agresif mengarahkan orang ramai tidak mencampuri urusannya, namun dia berjaya memujuk. “Pada mulanya dia mengugut terjun jika orang ramai menghampirinya, tapi saya cuba meminta kebenaran menghampiri dan membantu menyelesaikan masalahnya. “Remaja itu meminta saya hubungi kekasihnya dan memberitahu kejadian ini, namun panggilan itu dijawab oleh abang kekasihnya,” katanya.

Leng Hong terpaksa menggunakan pendekatan psikologi memujuk dan cuba memberikan semangat kepadanya agar meneruskan kehidupan serta berubah sikap bagi memikat semula hati kekasih.

Menurutnya, keadaan kecoh semula apabila remaja itu tidak selesa kehadiran orang ramai di tempat kejadian dan mengugut untuk terjun jika mereka tidak beredar.


Namun tindakan pantas Leng Hong dan dibantu oleh beberapa orang awam berjaya menarik remaja berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng mengesahkan kejadian.

Katanya, empat anggota Unit Tindakan Pantas Trafik kebetulan melakukan rondaan di atas Jambatan Pulau Pinang terus bergegas ke tempat kejadian dan dan menyelamatkan suspek dari terjun.

Menurutnya, suspek kini dibawa ke Balai Polis Sungai Nibong untuk siasatan lanjut. “Kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan, cubaan membunuh diri dengan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya.

-SH

Suami isteri maut dalam kemalangan ngeri

Ahli keluarga mangsa meratapi kematian mangsa.

SEREMBAN - Sepasang suami isteri maut apabila motosikal yang ditunggangi mereka dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna di Jalan Rasah, di sini, malam kelmarin.

Phang Ching Wah, 55, dan isterinya, Chong May Chin, 49, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala serta anggota badan.

Jurucakap polis berkata, dalam kejadian jam 7.45 malam itu, kedua-duanya dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Rasah dari Seremban.

“Kenderaan pelbagai guna dipercayai dipandu laju merempuh mangsa yang membuat pusingan U di lorong kanan. “Akibatnya, mangsa terpelanting hampir 100 meter dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, pemandu kenderaan melarikan diri tetapi menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, tengah malam kejadian.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Seremban, Assistan Ko­misioner Saiful Azly Kamaruddin mengesahkan kejadian tersebut.


-SH

Mandi air panas kerana mengintai

Gambar Hiasan
SARIKEI: Tabiat jelik seorang lelaki warga Bangladesh yang gemar mengintai wanita dalam tandas di sebuah ladang berdekatan Jalan Bintangor, di sini, menerima padah apabila dia melecur disimbah air panas oleh mangsa intipannya, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, lelaki terbabit yang berusia 20-an dikatakan menggelupur kesakitan akibat melecur di muka, dada, bahu kiri dan lengan akibat terkena air panas selepas disimbah seorang pekerja wanita di ladang berkenaan.

Sumber berkata, lelaki terbabit dikatakan sering mengintai pekerja wanita yang menggunakan tandas berkenaan dengan menebuk beberapa lubang pada dindingnya. Menurutnya, perbuatan lelaki yang juga pekerja ladang itu dikatakan sudah lama berlarutan menyebabkan beberapa pekerja wanita berang dan memasang perangkap.

“Tengah hari tadi (semalam), lelaki terbabit dikatakan mengulangi perbuatan sama apabila mengintai seorang pekerja wanita yang memasuki tandas itu.

“Rupa-rupanya wanita itu hanya berpura-pura menggunakan tandas kerana dia sebenarnya mahu memerangkap lelaki warga asing itu. Malah, wanita berkenaan dipercayai sudah berpakat dengan rakan lain untuk ‘mengenakan’ lelaki itu.

“Ketika asyik mengintai, seorang daripada rakan wanita menyimbah air panas ke arah lelaki itu menyebabkan dia melarikan diri sambil menjerit kesakitan,” katanya.

Sumber itu berkata, lelaki terbabit bernasib baik kerana segera dihantar beberapa pekerja ladang untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sarikei.

“Bagaimanapun, berikutan kecederaan parah dialaminya, lelaki terbabit dirujuk ke Hospital Sibu,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu dan memaklumkan, keadaan lelaki terbabit dilaporkan stabil.

-MT

Tuesday 8 May 2012

Gadis dirogol oleh kenalan sendiri sehingga hamil

Gambar Hiasan
KUCHING: Luluh hati seorang ibu apabila anak gadisnya yang berusia 20 tahun dirogol oleh kenalan sendiri sehingga menyebabkannya hamil empat bulan.

Dia tidak menyangka insiden malang itu menimpa anak ketiga daripada empat beradik memandangkan mangsa bukan jenis yang suka bersosial tetapi seorang pendiam dan jarang keluar rumah.

Katanya kejadian itu berlaku semasa anaknya ketika itu masih di Igan, Mukah pada awal tahun lalu ke kedai runcit berdekatan rumah apabila lelaki tersebut memaksanya masuk ke dalam kereta.

“Dia (lelaki) tersebut membawanya ke sebuah pantai berdekatan dan mengugut akan mencederakannya sekiranya anak saya melawan atau mengadu kepada orang lain,” katanya yang berasal dari Igan, Mukah.

Insiden itu terbongkar apabila ibu saudara yang merupakan penjaga gadis yang merupakan pelajar institusi pengajian tinggi swasta di Tabuan Jaya di sini menyedari perubahan pada badan anak saudaranya, selain sikap murungnya.

Ibu saudaranya kemudian membeli alat ujian kehamilan dan mendapati ia positif dan seterusnya memaklumkan kepada ibu bapa mangsa.

Ibu bapanya kemudiannya datang ke Kuching dan mereka membawa gadis tersebut ke klinik untuk mendapatkan pengesahan selanjutnya daripada doktor dan terus membuat laporan polis.

Bahkan ketika laporan dibuat semalam, gadis tersebut menerima puluhan panggilan tidak berjawab dan teks khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad mengesahkan laporan polis telah diterima.

“Kami ada terima laporan, tetapi memandangkan kes itu berlaku di Mukah, jadi kami akan serahkan kes itu kepada Balai Polis Mukah untuk siasatan lanjut,”katanya.

-BP

Pelajar dakwa dibelasah guru??

Dailami menunjukkan luka dan lebam di bahagian pipi akibat ditumbuk serta dicakar oleh guru sekolahnya

GERIK - Seorang pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah, di sini, mendakwa di belasah seorang guru sehingga mengalami beberapa kecederaan termasuk bengkak di kepala.

Akibat kejadian dipukul pada 4 Mei lalu, pelajar berkenaan, Dailami Hizami Abdul Latiff, 14, mengalami simptom muntah-muntah sehingga di tahan di Hospital Gerik selama tiga hari.

Ibu pelajar berkenaan, Anita Ahmad, 46, berkata, pada hari kejadian dia datang mengambil anaknya di sekolah tetapi anaknya tidak ditemui sebelum pulang ke rumah dan meminta seorang lagi anak menjemput Dailami.

Menurutnya, ketika dibawa pulang Dailami mengalami beberapa kecederaan akibat dipukul guru tanpa diketahui punca sebenar.

“Menerusi laporan polis, anak saya memberitahu kira-kira jam 11.55 pagi sewaktu tamat sesi pembelajaran dia turun tangga untuk pulang tetapi secara tiba-tiba tiga orang guru menahan dan memaksanya masuk semula ke kelas.

“Ketika di dalam kelas itu, datang seorang lagi guru terus memukul muka anak saya dengan cara menumbuk dan mencakar pipi serta berulang kali memukul kepala menggunakan lutut,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, kelmarin.

Anita berkata, ketika dipukul, salah seorang guru berkenaan turut memegangnya.

“Akibat kejadian itu, anak saya mengalami beberapa kecederaan termasuk luka di muka dan lebam di kepala.

“Anak saya juga mengalami pening-pening sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Gerik,” katanya.

Menurutnya, selepas menerima rawatan dan dibawa pulang ke rumah keadaan kesihatan Dailami menjadi teruk apabila mengalami muntah-muntah serta loya.

“Pada sebelah malam keadaannya semakin teruk dan dia dibawa ke Hospital Ipoh untuk rawatan lanjut tetapi bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan dalaman.

“Doktor ingin menahannya tetapi saya membuat permohonan membawanya ke Hospital Gerik semula.

Dailami ditahan di wad selama tiga hari dan dibenarkan pulang semalam,” katanya.

Anita berkata, kenapa guru-guru itu boleh bertindak sedemikian sedangkan mereka sewajarnya memberi pendidikan kepada anaknya.

“Sebelum ini, anak saya ada bergaduh dengan rakan sekelasnya dan pada hari Khamis iaitu sehari sebelum kejadian, bapa kepada pelajar ini meluru masuk ke kelas serta memukul anak saya.

“Saya ada membuat laporan polis tentang pergaduhan anak saya dengan pelajar berkenaan dan kemungkinan dia tidak berpuas hati,” katanya.

Katanya, dalam hal itu, orang luar dilihat boleh menceroboh sekolah sesuka hati dan memukul anaknya.

“Lebih terkilan, guru pula menyeret dan memukul anak saya dengan alasan enggan memberi kerjasama mengenai kes sebelum ini,” katanya.

Katanya, diharap Kementerian Pelajaran menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap kes ini.

“Tidak lupa juga kepada pihak polis, supaya menjalankan siasatan secara telus dan adil serta tidak mengabaikan kes ini begitu sahaja,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Manab Baharum mengesahkan ada menerima laporan mengenai kes berkenaan.

“Siasatan lanjut akan dijalankan terhadap kes ini,” katanya.

-SH

Padah keluar waktu malam, pelajar dirogol

Gambar Hiasan

KUALA TERENGGANU - Tindakan nekad seorang pelajar tingkatan empat keluar rumah tanpa pengetahuan keluarga untuk berjumpa dengan buah hatinya membawa padah apabila dia dirogol.

Kejadian berlaku di Kampung Chabang Tiga, di sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa, 16, yang berasal dari Kampung Beladau, di sini, nekad keluar bersama teman lelakinya setelah berjanji untuk bersiar-siar di sekitar bandar raya di sini.

Teman lelaki yang dikenali sebagai Roy itu telah membawa mangsa ke sebuah rumah kosong di Chabang Tiga, di sini sebelum meninggalkannya keseorangan dengan mengunci pintu rumah dari luar dan memberi alasan hendak keluar sebentar berjumpa rakan.

Mangsa yang tidak mensyaki apa-apa, setia menunggu teman lelakinya itu sehingga tertidur dan sebaik tersedar keesokan paginya, mangsa menyedari dia masih keseorangan di rumah itu.

Bagaimanapun, mangsa berasa pelik kerana merasakan kesakitan yang teramat pada kemaluannya.

Mengesyaki dirinya telah ‘diapa-apakan’ dan diperbodohkan oleh teman lelakinya itu, mangsa cuba melarikan diri namun dia terkedu apabila menyedari dia masih lagi dikurung, selepas mendapati pintu utama rumah masih berkunci dari luar.

Difahamkan, teman lelaki mangsa hanya membuka pintu rumah itu kira-kira jam 2 petang, selepas hampir separuh hari mengurung mangsa sebelum ‘membuang’ gadis itu begitu sahaja di depan Sekolah Kebangsaan Sri Nilam, di sini.

Mangsa yang kepenatan dan dalam keadaan tidak bermaya terpaksa berjalan hampir kira-kira satu kilometer (km) menuju ke rumah rakannya di Kampung Sungai Rengas, di sini, untuk mendapatkan bantuan.

Selepas menceritakan kejadian yang kepada keluarga rakannya, mangsa yang mengesyaki dirinya telah dirogol, mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga di sini, petang kelmarin.

Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi, semalam, mengesahkan menerima laporan kejadian.

-SH

Bangkai burung undan timbul tanda tanya

Kebanyakan burung undan tiba di pantai beberapa hari lalu sebelum mati.
LIMA - Sebanyak 1,200 ekor bangkai burung undan memenuhi sepanjang kawasan pantai Peru yang mana seminggu selepas 600 ekor bangkai ikan lumba-lumba turut ditemui terdampar di situ.

Susulan kejadian itu, kerajaan Peru bertindak mengeluarkan amaran kesihatan dengan mengarahkan penduduk agar menjauhkan diri daripada kawasan pantai sementara saintis mengkaji punca kematian haiwan berkenaan.

Kementerian Kesihatan turut menyarankan pegawainya agar menggunakan sarung tangan, topeng mulut dan mengenakan pakaian perlindungan ketika mengutip bangkai burung itu.

Pegawai di jabatan Kementerian Kesihatan, Oscar Dominguez berkata, uji kaji terhadap beberapa bangkai burung menunjukkan haiwan berkenaan kekurangan khasiat makanan, dan tidak berkaitan dengan jangkitan virus selesema burung.

Pada tahun 1997, kematian burung undan dan ikan lumba-lumba berlaku secara mendadak di jajaran pantai utara Peru yang didakwa kerana perubahan iklim iaitu fenomena El Nino.

-SH

Monday 7 May 2012

Status permohonan ke IPTA bagi lepasan SPM boleh disemak mulai hari ini


KUALA LUMPUR: Status keputusan permohonan kemasukan ke Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi program pengajian lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setaraf dengannya boleh diketahui mulai hari ini.

Keputusan permohonan ke Universiti Putra Malaysia (UPM) pula boleh diketahui mulai 12 tengah hari esok, demikian menurut kenyataan akhbar ketiga-tiga universiti itu yang dikeluarkan di sini hari ini. 

Semakan boleh dilakukan melalui laman web http://www.um.edu.my/kemasukan, http://www.ukm.my/kemasukan/tawaran dan http://www.smp.upm.edu.my/tawaran bagi program Asasi Sains, Asasi Pengajian Islam di UM, program Asasi Pintar di UKM dan program Asasi Sains Pertanian dan diploma di UPM. 

Calon yang berjaya boleh menyemak maklumat tawaran dan mencetak surat tawaran rasmi melalui laman web Institusi Pengajian Tinggi (IPTA) masing-masing untuk membuat pengesahan dalam tempoh tujuh hari bekerja bermula esok hingga 15 Mei ini.

Tarikh pendaftaran penuntut baru ke program Asasi Pintar UKM adalah pada 23 Mei bermula pukul 9 pagi hingga 11 pagi, program Asasi Sains dan Asasi Pengajian Islam UM pada 27 Mei, manakala program Asasi Sains Pertanian pada 17 Mei di UPM, Serdang dan diploma pada 7 Jun di UPM, Kampus Bintulu.

Bagi calon yang gagal, mereka boleh mengemukakan rayuan melalui aplikasi e-Rayuan dalam tempoh 10 hari bekerja selepas keputusan permohonan kemasukan ke IPTA diumumkan melalui laman web rasmi kemasukan ke IPTA di http://upu.mohe.gov.my. 

Tarikh tutup permohonan e-Rayuan ialah pada 18 Mei dan keputusan rayuan akan diumumkan pada minggu kedua Jun 2012. 

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Seksyen Kemasukan dan Rekod, Bahagian Akademik, UM di talian 03-79673448/3440/3502, Bahagian Pengurusan Akademik UKM di talian 03-89215336/5041/4126 atau Pusat PERMATA Pintar Negara ditalian 03-89216265/7507 dan Bahagian Akademik UPM di talian 03-89466059/6060/6056. 

- BERNAMA

“Pemandu melanggar anak saya itu kejam"

SEDIH...Ibu Nur Suhaida, Zarina tidak dapat menahan sebak.
KUALA LUMPUR: “Pemandu kereta yang melanggar anak saya itu kejam. Jika dia tak melarikan diri, tapi membawa anak saya ke hospital, mungkin nyawanya boleh diselamatkan.

“Saya tak akan maafkan perbuatan pemandu kereta itu,” kata Zarina Ahmad, 34, ibu kepada Nur Suhaida Arman, 18, yang terbunuh dalam kejadian langgar lari di Kilometer 50.1 Lebuh raya Kesas dari arah Sungai Besi ke Petaling Jaya, jam 1 pagi semalam.

Nur Suhaida yang membonceng motosikal dan rakannya, Ana Najwa Mohd Noor, 18, menunggang terbunuh apabila dirempuh dari belakang ketika mereka dalam perjalanan pulang dari rumah rakan di Ampang ke rumah masing-masing di Klang.

Nur Suhaida maut di tempat kejadian manakala Ana Najwa meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) jam 5.30 petang semalam.

Menurut Zarina, sebelum kejadian itu, Nur Suhaida sempat makan malam bersamanya sedangkan dia tidak pernah berbuat demikian sebaik pulang sebelum ini.

“Arwah ada memberitahu dia sudah memohon pengajian diploma dalam jurusan Komunikasi Massa kerana mahu menjadi pembaca berita kelak.

“Rakan sekerja anak kedua saya itu memberitahu arwah turut menunjukkan petanda pelik di tempat kerja dengan meminta maaf kepada semua rakan,” katanya.

Nur Suhaida dan Ana Najwa rakan karib sejak di sekolah rendah lagi dan mereka juga tinggal berjiran di Port Garden, Klang, Selangor.

Mohd Fariez Mohd Nor, 20, abang kepada Ana Najwa berkata, adiknya yang dipanggil Najwa tidak menunjukkan sebarang perubahan dan hanya meminta izin ibunya untuk ke Ampang untuk bertemu rakan.

“Selepas kemalangan itu, adik saya koma, tapi doktor maklumkan harapan untuk dia hidup hanya 10 peratus kerana kecederaan parah di kepala. Pada jam 5. 30 petang, doktor memberitahu arwah meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, Najwa bercita-cita menjadi pegawai polis dan malah sejak di bangku sekolah, dia menyertai pasukan Kadet Polis, termasuk menyertai pelbagai perkhemahan polis.

“Saya sedih dan terkilan kerana cita-citanya tidak kesampaian,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning berkata, kedua-dua mangsa dilanggar dari belakang oleh sebuah kenderaan yang tidak dapat dikenal pasti nombor pendaftaran dan jenis.

“Kedua-dua mangsa terjatuh dari motosikal Yamaha Lagenda yang ditunggang selepas dirempuh dengan kuat dari arah belakang sebelum pemandu kenderaan itu melarikan diri,” katanya ketika dihubungi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-MT

Tomok bakal jadi ayah



BAKAL AYAH...Tomok dijadual menimang cahaya mata pada bulan ini.
MERENUNG pada wajah dan penampilannya yang agak ‘funky’, sesiapa pun pasti tidak menyangka jejaka berusia 27 tahun ini sedang menghitung masa untuk bergelar ayah.

Cukup ‘stylo’ dan lagaknya juga masih keremajaan, bagaimana agaknya Shah Indrawan Ismail atau lebih dikenali dengan gelaran Tomok ini akan mengubah dirinya dengan gelaran baru yang besar tanggung jawabnya itu?

Bertemunya pada satu sesi fotografi, di Balai Berita, Bangsar, baru-baru ini, dari jauh kelihatan raut wajah Tomok berseri-seri menandakan keseronokan hidupnya ketika ini. Pada masa sama, sesekali terpancar juga rasa gusar dan berkali-kali juga dia membelek telefon bimbitnya, mungkin sedang risaukan seseorang yang ditinggalkan lama.

Mana tidaknya, demi menghadiri sesi fotografi, sang isteri yang tengah sarat menjaga kandungannya pula sedang duduk keseorangan di rumah.

Hal itu tentulah sudah cukup untuk membuatkan Tomok jadi tidak keruan walaupun hanya keluar rumah sebentar. Selepas menempuh detik indah sewaktu diijabkabulkan sebagai suami isteri dengan Rahayu Abas pada 1 Julai lalu, kini tiba saatnya untuk menerima kehadiran ‘orang baru’ dalam keluarga mereka.

“Tiada apa yang boleh menggambarkan perasaan saya pada saat ini. Apatah lagi buat pertama kali menjadi seorang ayah, saya sangat teruja dan tidak sabar-sabar untuk merasai pengalaman ini. Sedar tidak sedar, rupanya tidak lama lagi saya akan beralih ke fasa baru iaitu berkeluarga dan menimang anak.

“Bagaimanapun, perasaan gementar itu memang tidak dinafikan tetap ada memikirkan selepas ini tanggungjawab saya akan menjadi lebih berat. Setakat ini, saya dan isteri sudah ada beberapa nama untuk anak kami nanti namun belum memilih yang paling sesuai lagi. Syukurlah, tidak ada apa-apa yang tidak diingini berlaku kepada isteri saya dan malah sepanjang proses dia mengandung juga OK,” jelasnya gembira.

Dalam pada menantikan momen yang indah itu, juara program realiti One In A Million 3 yang juga vokalis New Boyz ini sudah tidak sabar menantikan filem futuristik lakonannya, Mantera, ditayangkan pada 17 Mei nanti.

“Pertama kali diberikan watak utama dalam filem sulung pula, pastinya saya berdebar menantikan bagaimana hasilnya serta penerimaan penonton terhadap filem ini. Ini adalah antara perkara terindah terjadi kepada saya dan semestinya mengangkat karier seni saya ke satu tahap yang lebih tinggi lagi, lari dari bidang nyanyian.

“Ketika mendapat tawaran ini kira-kira tiga tahun lalu, saya melihat ia satu peluang yang besar untuk mengembangkan lagi sayap dalam bidang seni walaupun pada dasarnya saya seorang penyanyi. Namun saya gagahkan untuk pergi uji bakat dan tidak sangka diterima malah diberikan watak utama pula.

“Pengalaman yang saya timba benar-benar hebat kerana bukan saja berpeluang merantau ke Dubai untuk penggambaran, saya juga dapat berjumpa dengan pelakon-pelakon di sana yang terbabit dalam filem ini. Selain itu, dikelilingi tenaga produksi yang cukup mantap, tidak pernah sekalipun diri ini rasa tersisih walaupun masih hijau dalam lapangan ini. Mereka pasti akan memberi tunjuk ajar dan dari situlah saya memperbaiki sedikit demi sedikit lakonan saya.

“Antara sebab saya memilih untuk menerima tawaran itu juga adalah kerana konsep dan jalan cerita yang ditonjolkan dalam filem ini sangat berlainan dengan filem tempatan lain. Mengetengahkan elemen sains fiksyen, walaupun Mantera banyak menggunakan teknik Imej Janaan Berkomputer (CGI) serta unsur robotik, ia tampak berkesan,” katanya.

Pertama kali mencuba bidang ini, mungkin terlalu awal untuk Tomok menghasilkan lakonan yang cukup berkesan dan semestinya perlu bermula daripada bawah. Akuinya, sebaik menerima untuk menjayakan filem itu, dia mengambil serius tanggung jawab besar itu lantas memberikan tumpuan sepenuhnya bagai menjiwai karakternya.

“Saya membawakan watak seorang pelajar kolej, Azman, yang sangat obses dengan dunia permainan terutamanya robotik. Untuk menjiwai watak itu, saya kemudian tidak menunggu lama dan menonton kembali filem-filem berciri futuristik ini termasuklah Transformers, G.I. Joe dan Ironman. Mujur juga sebelum penggambaran dijalankan, kami diberikan kelas lakonan terlebih dulu untuk pendedahan sebelum ke set sebenar Mantera.

“Membawakan watak superhero atau adiwira amat mencabar namun saya cukup puas hati dapat melakukannya. Saya sangat berharap penonton akan suka dan sudah berikan yang terbaik untuk menjayakan filem ini. Apa-apa juga kritikan yang diberikan selepas ini, saya bersedia untuk menerimanya. Ia akan ditayangkan di pawagam pada 17 Mei, jatuh pula pada hari lahir saya.

“Kiranya, bulan Mei adalah bulan yang paling bermakna untuk saya kerana bukan isteri dijadualkan melahirkan anak pada bulan ini, malah filem sulung lakonan saya juga turut ditayangkan. Inilah antara hadiah hari lahir paling ditunggu-tunggu,” ujarnya.

Mengakui bidang nyanyian masih lagi menjadi keutamaannya, Tomok bagaimanapun tidak teragak-agak untuk meneruskan pembabitan dalam bidang lakonan selepas ini. Apabila peluang sudah terbentang luas, inilah masanya untuk memperluaskan skop kerjaya seninya dan tidak mahu tertumpu dalam bidang nyanyian semata-mata.


TRIVIA TOMOK


Lagu yang paling disukai sekarang... 
Terukir Di Bintang (Yuna).


Kuasa luar biasa yang diinginkan... 
Terbang seperti Ironman.


Insan yang paling ingin ditemui... 
Tun Dr Mahathir Mohamad.


Tabiat buruk sukar dikikis... 
Liat bangun tidur.


Saat paling menyentuh dalam hidup... 
Menjuarai One In A Million 3 (OIAM).

-MT