Mayat mangsa dibawa ke Hospital Miri petang semalam untuk bedah siasat.
MIRI: Hasrat seorang ayah untuk makan tengah hari bersama anak perempuannya tidak kesampaian apabila kepulangannya ke kuarters kediaman pekerja di Bukit Peninjau, Bekenu disambut oleh mayat anaknya itu yang ditemui tergantung di rangka pintu bilik tidurnya.
Mangsa yang dikenali sebagai Venny Vennier Syndols James, 18, ditemui tergantung di bahagian leher menggunakan tali nilon yang diikat pada rangka pintu bilik tidurnya sekitar jam 12 tengah hari oleh bapanya yang pulang ke rumah untuk waktu rehat makan tengah hari.
Difahamkan, mangsa telah berkahwin dan mempunyai seorang cahaya mata berusia tiga bulan.
Sementara itu, bapa mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai James ketika ditemui di Hospital Miri semalam memberitahu pada malam Isnin lalu, mangsa ada menghubunginya sambil meminta dia (bapa) menjemputnya yang tinggal di rumah panjang suaminya di kawasan berhampiran.
“Pada malam Isnin lalu, mangsa ada menghubungi saya meminta dijemput pulang ke rumah (saya) sambil memberitahu dia ada masalah. Tanpa berlengah dan atas naluri bapa, saya terus pergi ke rumah panjang suaminya untuk menjemputnya,” katanya yang merupakan ayah tunggal setelah berpisah dengan ibu mangsa.
Menurut bapa terbabit, dia percaya mangsa kemungkinan ada mengalami masalah, namun mangsa tidak banyak bercakap atau menceritakan masalah yang dihadapinya.
Malah, kata James, sebelum pergi ke tempat kerja sekitar jam 10 pagi semalam, mangsa sempat menyediakan sarapan pagi untuknya.
“Mangsa tidak menunjukkan sebarang perubahan pagi tadi (semalam) dan hanya mengadu pening kepala.
“Saya tidak menyangka kepulangan saya ke kuarters untuk rehat makan tengah hari tadi (semalam) telah disambut oleh mayatnya,” ujar beliau dalam nada sedih.
Dalam pada itu, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Miri petang semalam untuk proses bedah siasat.
- BP
No comments:
Post a Comment