Thursday 26 April 2012

Akim teruja tunggu ‘bayi’ pertama


Impian jejaka kacak ini untuk memiliki album sulung, nampaknya bakal terlaksana. 

Menurut Akim, album yang menggunakan judul namanya sendiri itu sudah hampir siap sepenuhnya dan bakal berada di pasaran tidak lama lagi.

Memuatkan sembilan lagu, albumnya itu turut mendapat sentuhan komposer-komposer hebat.
“Selain lagu baru, album itu turut memuatkan tiga single terdahulu yang telah mempopularkan saya iaitu Bengang, Janji dan Inilah Cinta dengan susunan muzik yang baru.

“Lagu lain yang berada dalam senarai termasuk Daya Cinta, Tentang Dia, Dunia dan Syurga, Menunggu serta lagu duet dengan Fiq (Mentor) berjudul Mesti Ada Cinta,” katanya.

Antara nama besar yang terlibat dalam pembikinan album itu ialah Audi Mok, Kunci Demak dan Omar K.

Selain teruja menunggu kelahiran ‘bayi’ pertamanya, Akim juga kini sibuk dengan penyertaannya dalam program Mania yang bersiaran sejak 17 Mac lalu.

Menerusi rancangan realiti terbitan Astro itu, Akim yang merupakan antara peserta termuda berentap di pentas sama dengan penyanyi terkemuka lain.

“Saya sifatkan penyertaan di dalam Mania umpama penghargaan buat penyanyi yang masih mentah seperti saya.

“Biarpun terpaksa bersaing dengan rakan artis yang lebih berpengalaman, saya jadikannya sebagai cabaran untuk berikan persembahan terbaik,” katanya.

Jika berbicara mengenai anak muda bernama Afiq Akim Ahmad atau lebih dikenali dengan nama Akim ini, pasti tidak terlepas daripada kisah cintanya.

Bagaikan sudah menjadi kewajipan, bintang kelahiran Akademi Fantasia (AF) musim ketujuh ini pasti diajukan soalan mengenai hubungannya dengan juara AF6, Stacy.

Biarpun ramai mengetahui status mereka tidak lebih sekadar teman, ada khabar mengatakan hubungan Akim dan Stacy kini semakin ‘dingin’.

Menafikan perkara itu, jelas Akim, dia dan Stacy tidak pernah bermasam muka sebaliknya mereka tetap mesra seperti dahulu.

“Ingin saya tegaskan, saya dan Stacy masih berkawan dan kami tidak pernah bergaduh.

“Semua khabar yang tidak betul itu saya anggap sebagai dugaan dalam berkawan yang menguatkan lagi hubungan persahabatan kami,” katanya.

Bagaimanapun, kata Akim, dia tidak nafikan mereka kini jarang berjumpa kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya.

-SH

No comments:

Post a Comment