Thursday 19 April 2012

Mekanik maut tercampak dalam longkang



ALOR GAJAH - Seorang mekanik maut selepas dirempuh sebuah pa­cuan empat roda, Toyota Harrier yang dinaiki empat sekeluarga di Kilometer 199.0, Lebuhraya Utara Selatan menghala ke selatan, dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa, Muhammad Azizul Safian Suri, 28, maut serta-merta di tempat kejadian.

Turut maut adalah dua penumpang kenderaan pacuan empat roda yang dipandu Lim Ching Yeo, 32, iaitu Ng Beng Tian, 32, dan Tan Bian, 61.

Mereka dalam perjalanan menghala ke Simpang Renggam, Johor.

Difahamkan ketika kejadian, Muhammad Azizul bersama dua lagi rakannya, Ishak Mohamad, 56, dan Muhammad Efendi Osman, 30-an, baru selesai membaiki sebuah lori milik Majlis Perbandaran Jasin yang mengalami kerosakan di tepi lebuh raya terbabit.

Sementara itu, Muhammad Efendi berkata, mangsa dan Ishak sedang mengangkat kon keselamatan selepas selesai membaiki lori berke­naan, sebelum dirempuh.

“Saya sempat mengelak kerana ber­ada di belakang lori.

“Kenderaan terbabit yang menggunakan laluan kecemasan terus merempuh Muhammad Azizul dan Ishak, menyebabkan mereka tercampak ke dalam longkang berhampiran,” katanya.

Menurutnya, akibat rempuhan itu, Ishak patah kaki kiri.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Penguat kuasa Bomba Kanan II Baharudin Ismail berkata, dua penumpang pacuan empat roda itu maut di tempat kejadian.

“Kami mengambil masa kira-kira 40 minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, Muhammad Azizul yang beralamat di Lorong Sepakat 5, Kampung Simpang Tiga, Kuala Lumpur, dirempuh sebuah pacuan empat roda dinaiki empat sekeluarga.

“Semua mayat dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah menerusi talian 06-5563222 untuk membantu siasatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment