Friday 27 April 2012

Ibu rayu Ida dibawa pulang

Gambar Ida bersama anaknya yang berusia tujuh bulan yang dihantar ke ibunya.

Mariam bersama Syed Othman menunjukkan sijil kelahiran asli dan gambar Ida pada sidang media di PAR, semalam.
PASIR GUDANG – “Ya Allah.. jika anakku masih hidup, pertemukan aku dengannya kerana aku terlalu merinduinya.”

Demikian doa seorang ibu sepanjang lebih dua tahun anak perempuannya tidak ditemui sehingga disangka telah meninggal dunia.

Mariam Sarian, 47, berkata, anak ketiga daripada 10 beradik, Faizada Aldam, 23, atau dikenali sebagai Ida itu ditemuinya kali terakhir ketika pulang berhari raya pada 2009 dan gagal dihubungi sehingga awal tahun ini. 

Menurutnya, Ida belajar sehingga tingkatan empat sahaja kerana menghidap sawan dan mengikut keluarga angkat yang juga makcik saudaranya bekerja di Rawang, Selangor.

“Kehilangannya penuh misteri kerana kami sekeluarga gagal menghubunginya, selain tidak dihubungi mana-mana pihak,” katanya pada sidang media, di Pusat Aduan Rakyat (PAR), di sini, semalam.

Mariam berkata, pertemuannya dengan bekas pekerjanya yang juga warga Indonesia di stesen bas Masai awal tahun ini membongkar misteri kehilangan anak perempuannya.

Menurutnya, lelaki yang dikenali sebagai Roslan itu ada menemui Ida di Tanjung Pinang, Indonesia, dan diminta menyerahkan nombor telefonnya jika bertemu ibunya.

Melalui perbualan telefon katanya, Ida mendakwa dia ditahan Imigresen dan dihantar ke Indonesia kerana salinan sijil kelahiran yang dimiliki dikatakan palsu.

“Ketika menumpang di Masjid Tanjung Pinang, seorang makcik telah membawanya pulang ke Lombok dan mengahwinkan Ida dengan anak lelakinya,” katanya.

Mariam berkata, sembilan anaknya yang berumur 11 sehingga 25 tahun memiliki sijil kelahiran dan Mykad, tetapi hanya Ida berdepan masalah walaupun sudah tujuh kali berulang-alik ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah.

Menurutnya, setiap hari anaknya menghubunginya dan merayu supaya dibawa pulang.

“Salinan sijil kelahiran yang dipegang Ida bukan palsu kerana makcik mempunyai sijil kelahiran asli, malah masih menyimpan kad rawatan klinik semasa mengandungkannya.

“Makcik tidak mahu salahkan sesiapa, tetapi makcik merayu supaya tampil membantu kami untuk membawa pulang Ida,” katanya.

Sementara itu, Penyelia PAR Permas, Syed Othman Syed Abdullah berkata, pihaknya ingin mengetahui kaedah yang betul untuk membawa pulang Faizada kerana dari segi kewangan kita tiada masalah.

-SH

No comments:

Post a Comment