Sunday 22 July 2012

Bonus Raya??




Najib semak dulu tuntutan CUEPACS untuk 1.4 juta penjawat

Pekan: Pemberian imbuhan sempena Aidilfitri kepada 1.4 juta kakitangan awam bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Sambil tersenyum bila ditanya mengenainya, Perdana Menteri berkata, beliau perlu melihat ‘buku kira-kira’ kerajaan terlebih dulu sebelum membuat keputusan.

“Nantilah kita semak dulu... kena tengok buku kira-kira dulu. Apa pun kita semak dulu dan apa-apa keputusan mesti berdasarkan kemampuan kerajaan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau ditemui pada majlis penyampaian cek durian runtuh fasa kedua kepada isteri peneroka FELDA, kain jubah bagi pegawai masjid, sumbangan apron dan topi untuk peniaga bazar Ramadan serta bantuan cermin mata di Dewan UMNO di sini, semalam.

Najib berkata demikian ketika diminta mengulas tuntutan CUEPACS mengenai pemberian imbuhan Aidilfitri.

Isnin lalu, Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, berkata pihaknya sedang mencari pendekatan terbaik bagi memastikan 1.4 juta penjawat awam mendapat imbuhan hari raya tanpa menyebabkan pihak tertentu mengambil kesempatan menaikkan harga barang.

Dalam pada itu, Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan meminta peniaga bazar Ramadan supaya mengutamakan kebersihan sekitar gerai dan penampilan diri serta mementingkan kualiti makanan yang dijual.

Terdahulu dalam ucapannya, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, peneroka yang mahu membeli tambahan saham FELDA Global Ventures (FGV) perlu mendapatkan khidmat nasihat profesional.

“Mereka perlu membelinya pada harga semasa di pasaran terbuka. Walaupun peneroka ditawarkan 800 unit saham mereka tetap dapat keuntungan kerana 20 peratus saham FGV dimasukkan dalam tabung amanah yang akan membayar dividen setiap tahun,” katanya.

Ditanya mengenai laporan akhbar bahawa 50 peratus senarai awal calon Barisan Nasional (BN) ditolak, Najib berkata, beliau belum memuktamadkan senarai calon itu.

“Kita akan selesaikan bila tiba masanya. Pada masa ini semuanya adalah spekulasi, malah UMNO pun belum (senarai calon). Kita masih lagi semak-semak dan belek-belek,” katanya.

-BH

No comments:

Post a Comment