Friday, 30 November 2012

Kemaluan disimbah asid disyaki perkosa gadis bawah umur



GEORGE TOWN - Gara-gara memperkosa gadis bawah umur, kemaluan seorang lelaki disimbah asid oleh ahli keluarga mangsa ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jelutong petang semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP Mohd Nasir Salleh berkata polis menahan seorang lelaki berusia 30 tahun pada hari yang sama dan sedang mengesan beberapa orang lagi yang terlibat.

"Lelaki berusia 18 tahun itu kini menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang dan keadaannya dilaporkan stabil," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata kejadian itu bermotifkan dendam susulan terdapat ahli keluarga mereka yang berusia 16 tahun diperkosa lelaki terbabit dalam sebuah tandas pasar raya di pusat bandar pada Rabu minggu lepas.
Difahamkan lelaki dan gadis berkenaan berkenalan di laman sosial Facebook sebelum berjumpa di pasar raya berkenaan.
Nasir berkata lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, ahli keluarga gadis berkenaan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan. 

- Bernama

Remaja dijel lima tahun rogol sepupu

Gambar Hiasan
SEREMBAN - Seorang remaja berusia 19 tahun dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas didapati bersalah atas kesalahan merogol sepupunya, tahun ini.

Tertuduh mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan malah kelihatan tenang semasa mendengar keputusan oleh Hakim Ahmad Kamar Jamaludin.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol sepupunya berusia 12 tahun empat bulan di kawasan semak berhampiran Taman Angsa Mas, Mambau, pada petang antara 3 Februari hingga 17 Februari 2012.

Sementara pertuduhan kedua, tertuduh sekali lagi didakwa merogol mangsa di lokasi dan waktu yang sama pada 6 Julai 2012.

Berikutan itu, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (2) (e) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa dirogol sebanyak lima kali pada pertengahan Februari. Manakala pada Julai, tertuduh menjemput mangsa di asrama dengan menaiki motosikal sebelum memberhentikan kenderaan berhampiran semak untuk merogol mangsa sebanyak dua kali.

Justeru, satu laporan polis dibuat oleh kakak angkat mangsa pada 5 Ogos 2012 selepas mengetahui kejadian daripada mangsa. Selain itu, mangsa sendiri turut membuat laporan polis pada 23 Ogos 2012.

Monday, 15 October 2012

Felix cipta rekod, terjun dari stratosfera



LOS ANGELES - Penerjun ekstrem Austria, Felix Baumgartner mencipta rekod terjunan angkasa pertama dunia daripada stratosfera kemudian mendarat ke Bumi dengan selamat, kelmarin.

Baumgartner berjaya mendarat di kawasan gurun New Mexico, Amerika Syarikat (AS) selang beberapa minit selepas melompat keluar daripada kapsul tekanan udara berketinggian 38.6 kilometer (km) dari Bumi.

Terjunan Baumgartner dijangka berkelajuan 1,110 km sejam sebelum mengaktifkan payung terjunnya pada ketinggian 1.52 km dari atas tanah tenggara New Mexico.

Beliau mengambil masa lebih dua jam untuk naik ke ketinggian terjunan dan telah pun memecahkan satu rekod dunia sebelum melompat, iaitu rekod altitud paling tinggi untuk sebuah penerbangan belon membawa manusia.

Cubaan kali ini adalah yang kedua selepas beliau gagal minggu lalu akibat masalah angin.

Baumgartner telah berlatih selama lima tahun dan memegang banyak rekod termasuk terjunan dari Menara Berkembar Petronas.

Selain berjaya mencipta rekod terjunan angkasa, Baumgartner masih mempunyai empat impian rekod dunia lain termasuk menjadi manusia pertama terjun dari kapsul bagi memecahkan kelajuan bunyi dalam terjunan bebas.

-SH

Tuesday, 7 August 2012

Mayat kanak-kanak lemas ditemui


Gambar Hiasan

PARIT- Mayat kanak-kanak tujuh tahun yang dikhuatiri lemas di Sungai Perak kelmarin ditemui terapung jam 9.58 pagi kira-kira 5 kilometer dari tempat kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Parit, Amir Ahmad berkata, mayat mangsa, Mohd Azhar Daniel Fauzi, 7, ditemui setelah operasi mencari dan menyelamat disambung semula pada jam 8 pagi, semalam.

Menurutnya, mayat mangsa timbul di permukaan air di Kampung Aji sebelum disedari anggota pasukan bomba dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) yang menyertai operasi sejak petang kelmarin.

“Kita menutup operasi pada jam 12 malam (kelmarin) dan meneruskan kembali pada jam 8 pagi ini (semalam) sebelum mayat ditemui pada jam 9.58 pagi.

“Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terlentang, kemungkinan tubuh mangsa timbul di permukaan di air disebabkan tempoh hilang yang sudah mencecah hampir 24 jam,” katanya.

Mayat mangsa kemudian di bawa ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat.

Semalam, Sinar Harian melaporkan, Allahyarham Mohd Azhar, murid Sekolah Kebangsaan Layang-Layang Kiri itu dikatakan bermain di sungai berkenaan kira-kira jam 11 pagi bersama dua rakan yang lain.

Berita kehilangannya yang dikhuatiri lemas berdasarkan penemuan selipar, baju dan basikal milik mangsa oleh seorang pemancing di tepi tebing sungai itu.

Sehari sebelum kejadian, arwah yang sebelum ini aktif dan periang berubah menjadi pendiam dan pasif serta mudah menangis.

-SH

Lelaki meninggal melihat kekalahan Lee Chong Wei



KUCHING: Seorang lelaki berusia 57 tahun meninggal dunia, dipercayai akibat serangan jantung selepas keputusan perlawanan akhir badminton sukan Olimpik antara Datuk Lee Chong Wei dan Lin Dan kelmarin ber-pihak kepada pemain China itu.

Mangsa dikenali sebagai Chung Kin Kiat, menonton perlawanan itu di sebuah kedai kopi di Serian, dekat sini sambil menikmati makan malam, dikatakan bersorak gembira ketika kemenangan set pertama pemain negara.

Menurut saksi, mangsa bagaimanapun dikatakan rebah kira-kira pada jam 9.20 malam dan terus tidak sedarkan diri setelah kekalahan Chong Wei.

Mangsa turut dikatakan menghidap penyakit buah pinggang dan terpaksa menjalani rawatan dialisis selama dua kali seminggu.

Mayatnya dihantar ke Hospital Serian untuk dibedah siasat.

Ketua Balai Polis Serian DSP Mohd Jamali Umi ketika dihubungi Utusan Borneo kelmarin mengesahkan insiden tersebut.

Kes itu diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut.

Dalam kes berasingan, seorang pegawai keselamatan ditemui dalam keadaan tidak bernyawa ketika sedang bertugas di sebuah syarikat kargo di Jalan Pending, petang kelmarin.

Insiden itu disedari sekitar 7.30 malam oleh anak perempuannya bersama ahli keluarga lain yang pergi menghantar makanan ke-pada mangsa.

Mangsa, Suhaili Ugis dari Kampung Sri Maimunah Sungai Apong telah berkhidmat di syarikat itu selama lima tahun, sepatutnya be-kerja lebih masa pada malam tersebut.

Mereka seterusnya meng-hubungi ambulans dan polis.

Mangsa yang disahkan meninggal dunia kemudiannya dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS).

Kes itu juga diklasifikasi sebagai mati mengejut.

-BP

Saturday, 28 July 2012

Dua mayat anak kapal ditemui


Labuan: Dua mayat anak kapal MT Bunga Alpinia ditemui di perairan berhampiran lokasi kejadian, tengah hari semalam. Identitinya disahkan sebagai Mohd Hanafi Kalil, 24, dari Melaka dan Zahari Hashim, 46, dari Negeri Sembilan. Penemuan menjadikan tiga mangsa ditemui manakala dua anak kapal lagi masih hilang.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Saiman Masran, berkata mayat pertama ditemui di laut pada jam 12.57 tengah hari, disusuli penemuan mayat kedua pada jam 1.10 tengah hari dalam keadaan terapung 30 meter dari tempat kejadian.

“Dua mayat itu ditemui pasukan bomba dan penyelamat berhampiran jeti PETRONAS Methanol Labuan (PML).

Ada kesan terbakar pada mayat “Pemeriksaan awal mendapati ada beberapa kesan terbakar di tubuh kedua-dua mayat itu,” katanya di sini, semalam.
Saiman berkata, mayat dihantar ke Hospital Nukleus Labuan untuk proses pengecaman ahli keluarga.

Mayat sudah dituntut

Sementara itu, mayat Shahril Azmi Baharuddin, 28, yang ditemui di jeti berhampiran lokasi kejadian, dituntut oleh keluarganya untuk dikebumikan di kampungnya di Melaka.

Bapanya, Baharuddin Yakub, 58, ketika ditemui berkata keluarganya pasrah menerima kematian anaknya itu sebagai ujian Allah.

“Saya ada bercakap dengannya menerusi telefon jam 10 malam Rabu lalu. Dia macam biasa, tiada perubahan. Kami saling bertanya khabar dan berbual macam biasa.

“Dia ada memberitahu syifnya akan bermula dan selepas itu dia bercakap dengan ibunya. Itulah kali terakhir kami berbual dengannya,” katanya.


-SH

Friday, 27 July 2012

Mayat lelaki di tepi semak

Gambar Hiasan 
BAU: Kecurigaan orang awam terhadap sebuah motosikal yang ditinggalkan sejak beberapa hari lepas di tepi sebuah semak di sini terjawab selepas pemiliknya ditemui mati lewat petang kelmarin.

Menurut jurucakap polis, mayat mangsa yang dikenali sebagai Roslan, 54, itu ditemui ketika pihak polis menjalankan pemeriksaan di kawasan tersebut di Jalan Sebuku, di sini sekitar jam 4.30 petang Rabu lepas.

Tambahnya, pihaknya telah menerima laporan daripada orang awam berhubung sebuah motosikal yang mencurigakan di mana ia telah ditinggalkan di tepi semak tersebut sejak beberapa hari lepas.

Bertindak atas laporan tersebut sepasukan anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Bau telah bergegas ke tempat kejadian yang membawa kepada penemuan mayat mangsa di tepi sebuah sungai tidak jauh dari tempat motosikal tersebut diletakkan.

“Mayat mangsa ditemui terbaring dengan muka menghadap ke tanah dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati mangsa dipercayai pengsan sebelum rebah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya juga, mangsa dipercayai berasal Bau dan sering memasuki hutan terutamanya kawasan yang mempunyai sungai untuk memancing.

“Dipercayai mangsa seorang diri semasa kejadian dan hasil siasatan awal mendapati kemungkinan mangsa mengalami masalah jantung,”katanya.

-BP