Thursday, 13 December 2012

Bapa dera anak dengan kejam




KLANG – Perbuatan kebinatangan seorang mekanik yang mendera anak tiri lelakinya berusia tiga tahun tanpa belas kasihan memakan diri apabila dia diberkas selepas aksi kejamnya itu dirakam menggunakan kamera telefon bimbit sebelum dimuat naik di laman sosial Facebook.

Suspek berusia 32 tahun tersebut diberkas pada pukul 8 malam kelmarin di rumahnya di Taman Mas, Kapar di sini iaitu tempat di mana kejadian dera itu berlaku. Dia diberkas apabila polis menerima laporan jirannya sejam selepas dia melihat rakaman tersebut.

Difahamkan, ketika serbuan, suspek berada di dalam rumah itu bersama mangsa tetapi isterinya telah melarikan diri.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Supritendan Jani Ahmad berkata, kanak-kanak tersebut dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini dan pemeriksaan menemui kesan kecederaan dan calar di badan serta kepalanya.

Katanya, polis percaya mangsa telah didera oleh bapa tirinya sejak dua bulan lalu.

-SH

Wednesday, 12 December 2012

Guru Perancis digantung tugas gara-gara esei

Gambar Hiasan

BORDEAUX - Seorang guru di Perancis digantung tugas selepas meminta pelajarnya berusia antara 13 dan 14 tahun menulis esei dengan membayangkan diri mereka membunuh diri.

Pegawai pendidikan berkata, guru Sekolah Menengah Montmoreau-Saint-Cybard, Charente, barat Perancis itu bakal berhadapan tindakan tatatertib selepas siasatan penuh dilakukan.

“Ramai ibu bapa mengecam pihak sekolah terhadap tindakan guru berkenaan dan meminta beliau menerima hukuman setimpal,” katanya.

Akhbar tempatan La Charente Gratis melaporkan, guru terbabit meminta pelajarnya membayangkan diri mereka remaja berusia 18 tahun yang nekad mengambil keputusan membunuh diri.

“Selain menulis esei, guru itu juga meminta pelajarnya melukiskan diri mereka ketika dalam keadaan menggantung diri,” menurut laporan itu. 


-SH

Bekas Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja meninggal dunia




BESUT - Bekas Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah, 80, meninggal dunia di Hospital Selayang, Selangor kira-kira pukul 8.30 malam tadi.

Ia disahkan oleh adik Allahyarham Engku Taib kepada Bernama di sini.

Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan pada pukul 11 pagi ini di Tanah Perkuburan Bukit Kiara.

Allahyarham yang dilahirkan pada 15 April 1932 di Besut meninggalkan seorang balu Tengku Zahab dan enam orang anak, empat daripadanya lelaki.

Allahyarham memegang jawatan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja selama 22 tahun mulai tahun 1989 hingga 2011.


- Bernama

Puad: 0.05 peratus guru bermasalah

Dr. Puad Zarkashi
KUALA LUMPUR - Hanya 235 guru atau 0.05 peratus didapati bermasalah dan kini dimasukkan ke Jawatan Kumpulan selain disaran mendapatkan rawatan psikiatrik.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata perkembangan guru terbabit dipantau oleh pentadbir sekolah yang menyediakan laporan berkala kepada pihak berkepentingan termasuk Bahagian Psikologi dan Kaunseling kementerian. 

Kementerian menyediakan perkhidmatan sokongan sosial menerusi kaunselor organisasi secara berterusan bagi membantu guru yang menghadapi gangguan emosi dan mental yang serius atau terpengaruh dengan gejala tidak bermoral seperti lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT), katanya hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Johari Mat pada persidangan Dewan Negara di sini yang ingin tahu bentuk pemantauan yang dilakukan kementerian terhadap guru yang bermasalah atau terpengaruh LGBT.

Kata Mohd Puad, hasil intervensi kementerian, bilangan guru yang menghadapi gangguan mental berkurangan kepada 530 orang sahaja setakat ini, berbanding 774 pada 2009 dan 747 pada 2010.

Menjawab soalan tambahan Senator Jamilah Sulaiman, beliau berkata hanya 23.52 peratus guru menghadapi gangguan mental akibat stres organisasi iaitu tekanan kerja berbanding 76.47 peratus kerana faktor keturunan dan gangguan personaliti sebanyak 52.94 peratus.

"Dalam membantu meringankan beban guru pula, kementerian melalui jawatankuasa khas mengkaji beban tugas guru sentiasa mengambil tindakan terhadap syor-syor yang boleh dilaksanakan bagi mengurangkan beban tugas warga pendidik negara ini," katanya.

Ini katanya termasuk menetapkan guru hanya bertugas pada hari Sabtu sahaja dan menyediakan kakitangan sokongan supaya guru tidak melakukan tugas pengkeranian atau penjagaan stor sekolah. 

- Bernama

Saturday, 1 December 2012

Piala AFF Suzuki: Malaysia 2, Indonesia 0


Kemenangan memihak kepada Malaysia

Malaysia mendahului Indonesia 2-0 pada separuh masa pertama dalam perlawanan kumpulan B Piala AFF 

Suzuki di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, sebentar tadi.

Gol Malaysia kedua-duanya dijaringkan pada separuh masa pertama oleh Azamuddin Akil pada minit ke-27 

dan Mahali Jasuli minit ke-30. 

Dengan kemenangan ke atas Indonesia melayakkan Malaysia ke peringkat separuh akhir menentang 

Thailand.

Mayat di MARINA BAY MIRI

Plois membuat pemeriksaan

MIRI: Sepasang warga emas yang keluar untuk menangkap ketam awal pagi semalam di kawasan pantai Marina Bay terkejut apabila mendapati objek yang disangka sebatang kayu balak terdampar rupa-rupanya mayat bogel.

Ketika ditemui, mayat bogel tanpa identiti serta belum dikenal pasti jantinanya itu sudah berbau busuk terutama di bahagian kepala yang hampir reput keseluruhannya.

Dalam pada itu, menurut Awang Lias, 61, beliau dan isterinya pergi ke pantai berkenaan seawal jam 5 pagi semalam untuk menangkap ketam.

Sekitar jam 6.30 pagi, semasa hendak membuang air kecil di kawasan beting batu di gigi pantai berkenaan, tiba-tiba beliau ternampak satu objek menyerupai sebatang kayu balak hanyut terdampar di beting batu berkenaan.

Ketika menghampiri objek itu, beliau terkejut apabila melihat benda yang disangka kayu balak rupanya sekujur mayat bogel.

Sejurus itu, Awang Lias terus memaklumkan penemuan mayat terbabit kepada pengawal keselamatan yang bertugas di Marina Bay untuk menghubungi pihak polis.

Melihat kepada keadaan mayat yang telah busuk dengan bahagian kepala dan muka telah reput keseluruhannya selain kulit di beberapa bahagian badannya mengelupas, mangsa dipercayai telah meninggal dunia lebih seminggu lalu.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Polis (ACP) Mun Kock Keong ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat terbabit.

Bagaimanapun katanya, setakat ini polis masih belum dapat mengesahkan identiti serta jantina mayat terbabit sehingga proses bedah siasat dilakukan.

“Jantina mayat terbabit hanya dapat dikenal pasti selepas bedah siasat dilakukan berikutan keadaan mayatnya yang telah busuk dan reput terutama di bahagian kepala dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Sehubungan itu, kita akan menjalankan siasatan lanjut untuk mengenali identiti mayat terbabit termasuk melihat senarai laporan orang hilang.

Pada masa sama, kita menggesa orang ramai yang mempunyai ahli keluarga yang hilang supaya tampil melakukan pengecaman terhadap mayat terbabit.

-BP


Maut 'melekat' pada besi

Mangsa maut serta merta di tempat kejadian 
BALAKONG – Seorang pemandu lori mati ‘melekat’ di besi pembahagi jalan selepas terbabas ketika menunggang motosikal di Kilometer 0.2 Jalan Balakong-Seri Kembangan di sini, lewat malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, mangsa S Subramaniam,48, dikatakan baru pulang dari tempat kerja di Balakong ke rumahnya di Taman Sungai Besi Indah.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang sendirian dipercayai gagal mengawal motosikal ditungganginya. 

Menurutnya, motosikal mangsa kemudian melanggar konkrit pembahagi jalan menyebabkan kepalanya terhentak di besi pengadang jalan.

“Mangsa yang beralamat di pangsapuri Sungai Besi Indah itu maut serta-merta di tempat kejadian kerana kecederaan parah di bahagian kepala

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya,” katanya.

Abd Razak berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan terperinci masih dijalankan.

Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Inspektor Mohd Alfian Mohd Zainal di talian 03-80742222 untuk membantu siasatan.

-SH