Friday, 11 May 2012

Maut jatuh tingkat tiga Hospital Pulau Pinang


GEORGETOWN - Seorang lelaki warga emas yang baru seminggu dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) ditemui mati dipercayai terjatuh dari tingkat tiga hospital itu di sini hari ini.

Pada kejadian pukul 1 tengah hari itu, lelaki terbabit, R. Tanchavarnam, 68, dimasukkan ke wad hospital itu selepas disyaki menghidap penyakit batuk kering.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng ketika dihubungi berkata lelaki terbabit sebelum itu dikatakan mengadu kepada beberapa orang jururawat dan doktor bahawa dia tidak tahan menanggung kesakitan akibat penyakit yang
dialaminya.

"Seorang jururawat telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut berhubung penemuan mayat itu," katanya.

Gan berkata ini adalah kes pertama seumpamanya berlaku di hospital itu.

Beliau berkata siasatan awal mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut, dan mayat lelaki terbabit dihantar ke Jabatan Forensik HPP untuk bedah siasat. 

- Bernama

Wanita cantik Pakistan jadi mangsa simbah asid


Wajah Shama selepas disimbah asid. Gambar kecil - Wajah Shama sebelum
tragedi yang meragut kecantikkan dan seluruh kehidupannya.
– Foto ihsan BBC
SEIRING dengan namanya, Shama yang bermaksud ‘lilin’, wanita malang ini telah disimbah asid sehingga wajahnya berparut dengan 15 peratus badanya terbakar bagaikan sebatang lilin oleh suaminya sendiri hanya kerana tidak berpuas hati ketika bertengkar.

Kini, ibu muda kepada empat cahaya mata itu tersenarai sebagai mangsa simbahan asid di kalangan wanita Pakistan dan menjadi mangsa kepada kecantikannya sendiri.

“Saya dan suami saya sering bertengkar di rumah. Pada hari itu sebelum tidur suami saya berkata,’anda terlalu bangga dengan kecantikan anda'. Kemudian, di tengah malam, tiba-tiba dia menyimbah asid ke badan saya dan melarikan diri," katanya ketika ditemui wartawan di hospital.

Lebih parah lagi kata Shama, suaminya turut membawa telefon bimbitnya ketika melarikan diri supaya wanita malang itu tidak dapat membuat panggilan bagi mendapatkan bantuan.

Sedangkan, empat bulan lalu, wanita malang yang mempunyai raut wajah yang jelita itu sedang menikmati kehidupan yang gembira ketika sambutan hari lahir anaknya tetapi kini semuanya tersimpan dalam lipatan sejarah sehingga menyebabkan keyakinan dirinya terlupus.

“Apa yang berlaku benar-benar melukakan hati saya,” katanya dipetik BBC baru-baru ini.

“Saya berasa sakit pada apa yang saya, dan apa yang saya telah menjadi," katanya.

“Semua warna telah pergi dari hidup saya. Saya rasa seperti saya mayat hidup, malah lebih teruk daripada mayat yang hidup. Saya kini seolah-olah tidak mempunyai hak untuk hidup," katanya sambil mengesat air mata.

Laporan BBC menyebut, menurut sukarelawan di Pakistan, kes-kes serangan asid bertambah di kebanyakan kawasan, walaupun tindakan undang-undang sukar diperkenalkan pada tahun lepas.
Sementara itu, satu dokumentari yang memenangi anugerah Oscar telah meletakkan jenayah itu di bawah perhatian dengan memfokuskan lebih 150 wanita mangsa simbahan asid yang dilaporkan setiap tahun.

Jenayah ini biasanya dilakukan oleh suami mangsa sendiri tetapi sehingga kini masih tiada undang-undang yang dapat memberikan wanita Pakistan keadilan.

Sementara itu, di Karachi, seorang bekas penari, Fakhra Younis turut mengalami nasib sama dengan Shama akhirnya memilih untuk mengakhiri nyawanya.

Fakhra dikatakantelah ‘mati’ dua kali. Kali pertama ketika dia disimbah asid dan kali kedua ketika dia membunuh diri di Itali bulan lalu.

Sebelum membunuh diri, gadis malang itu terpaksa menjalani hampir 40 kali pembedahan bagi mengembalikan kecantikan wajahnya namun, masih tetap gagal.

Aktivis berkata, Fakhra telah putus harapan untuk mendapatkan keadilan dan bekas suaminya yang berasal dari keluarga politik telah dibebaskan dari dituduh membuat serangan itu.

Dalam pada itu, kematian Fakhra telah menjadi tajuk utama di sini, tetapi menurut aktivis, sebaliknya mangsa sering dipulaukan.

“Hanya kira-kira 10 peratus kes seperti ini sampai ke mahkamah.

“Walaupun dalam kes-kes berprofil tinggi seperti Fakhra, terdapat pendakwaan yang dikemukakan lemah. Ada ketika, mangsa tidak dapat pun membuat laporan polis," kata Zohra Yusuf, Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pakistan.

Namun, menurut seorang bekas ahli parlimen, Marvi Memon, pesalah terpaksa berhadapan dengan kesukaran apabila undang-undang baru yang diluluskan tahun lepas menetapkan hukuman penjara 14 tahun atau hukuman penjara seumur hidup jika didapati bersalah.

Tetapikatanya, masih ramai penyerang masih bebas walaupun undang-undang baru itu telah dikuatkuasakan.

“Malah jika dia (penyerang) ditangkap, mereka akan merasuah polis dan mereka akan melarikan diri.

Golongan mereka berpendapat, ini adalah cara paling mudah untuk menghukum seorang wanita. Anda hanya boleh membuang asid dan memusnahkan seluruh hidupnya dalam satu saat," katanya.

Dalam pada itu, Marvi berkata, kurangnya kesungguhan ahli politik untuk melaksanakan undang-undang adalah penyebab kepada semua masalah ini.

“Saya mahu hukuman berat dijatuhkan kepada beliau supaya hukuman itu dapat memberi pengajaran kepada semua orang agar berfikir panjang sebelum melakukan sebarang jenayah.

"Amat sukar untuk mendapatkan kerjasama antara pihak polis dengan wanita kerana mereka turut tertekan untuk berbuat demikian," katanya.

Kerajaan mengakui perlu lebih banyak lagi cara dalam membantu mangsa asid dan perlaksanaan undang-undang adalah satu cabaran besar.

“Kelulusan” undang-undang adalah langkah pertama, kata Shahnaz Wazir Ali, seorang penasihat kerajaan.

Namun beliau mempersoalkan mengapa kes ini tidak mendapat keadilan dengan cepat? Inilah sebahagian yang kita perlu buat, kita perlu lebih peka dengan polis, mahkamah dan masyarakat.

-SH

Mangsa nahas pesawat Sukhoi ditemui

Lokasi jatuhnya Pesawat Sukhoi


JAKARTA - Pasukan mencari dan menyelamat pada Jumaat menemui 12 mayat penumpang pesawat awam buatan Rusia Sukhoi Superjet 100 yang terhempas di Gunung Salak, Bogor, Jawa Barat.

Ketua Badan SAR Nasional (Basarnas) Marshal Madya Daryatmo berkata mayat itu belum dikenal pasti dan usaha sedang dijalankan untuk mengeluarkannya dari tempat kejadian.

Keadaan cuaca buruk dan tempat pendaratan helikopter (heli pad) yang belum boleh digunakan menghalang usaha mengeluarkan mayat dengan lebih cepat, katanya di Jakarta, Jumaat.

Pasukan penyelamat juga berdepan kesulitan dalam operasi mencari dan menyelamat kerana tempat kejadian merupakan sebuah tebing curam yang bercerun 85 darjah manakala kabut tebal pula menghadkan jarak penglihatan.

Pesawat itu, yang membawa 45 penumpang dalam penerbangan demonstrasi, berlepas dari Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma, Jakarta pada 2.12 petang Rabu dan dilaporkan hilang sekitar 2.50 petang apabila ia terputus hubungan dengan menara kawalan udara.

Sejurus sebelum ia hilang dari radar, juruterbang meminta izin dari menara kawalan udara untuk menurunkan pesawat itu daripada ketinggian 10,000 kaki kepada 6,000 kaki, namun belum ada penjelasan mengapa beliau bertindak demikian.

Lapan warga Rusia dari syarikat Sukhoi antara penumpang pesawat itu, selain warga Indonesia termasuk beberapa wartawan.

Sebahagian besar anggota keluarga mangsa yang berkumpul di Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma kelihatan sedih dan terharu dengan penemuan mayat berkenaan ketika mengikuti perkembangan operasi mencari dan menyelamat itu melalui televisyen.

Namun, ada antara mereka masih berharap orang kesayangan yang menjadi penumpang pesawat malang itu dapat ditemui dalam keadaan selamat. 

- Bernama

Mayat pembantu rumah warga India hampir rentung ditemui dalam stor

Gambar Hiasan
GEORGETOWN: Mayat seorang pembantu rumah warga India yang hampir rentung ditemui dalam sebuah stor bersebelahan rumah majikannya di Taman Pekaka di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata mangsa yang berusia 20-an itu baru dua bulan bekerja di negara ini dan mayatnya ditemui anak lelaki majikannya pada 9 pagi tadi. 

"Wanita itu ditemui dalam keadaan 90 peratus terbakar dan terbaring dalam stor berkenaan, dan dia dipercayai baru pertama kali datang ke negara ini dengan menggunakan permit yang sah. 

"Majikan mangsa kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Sungai Nibong pagi tadi, dan hasil pemeriksaan awal, polis menjumpai sekotak mancis dan dua botol minyak tanah berhampiran mayat mangsa," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata polis masih menyiasat kes itu, dan setakat ini tidak mengesyaki sebarang perbuatan jenayah.

Katanya, mayat wanita itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk siasatan lanjut, dan setakat ini tidak ada tangkapan dilakukan. 

- BERNAMA


Tak sempat beri gaji pertama kepada arwah ayah


Isteri mangsa, Samsiah Ahmad ditenteramkan oleh rakannya ketika
melihat mayat suaminya yang terbunuh dalam kemalangan
SEREMBAN – “Saya memang terkilan sangat kerana tidak dapat memasukkan RM100, gaji pertama saya bulan ini ke dalam akaun ayah seperti dijanjikan selepas saya mendapat tawaran bekerja di Bank Simpanan Nasional (BSN) di Lukut.”

Itu luahan hati Rozaimin Zulkifli 20, anak bongsu seorang pengurus pangsapuri yang maut dalam kejadian langgar lari di simpang empat, di Taman Ampangan dekat sini, awal pagi, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa, Zulkifli Alias, 61, yang bersendirian menunggang motosikal jenis Modenas Kris, dalam perjalanan ke Stesen Komuter di Seremban untuk ke tempat kerjanya di sekitar Petaling Jaya.

Sejurus tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dilanggar dari arah tepi, oleh sebuah kereta jenis Proton Persona, dipercayai dipandu seorang lelaki warga asing berusia 20-an.

Akibatnya, mangsa tercampak ke bahu jalan dan kereta terbabit pula terbabas lalu melanggar lampu jalan.

Suspek meninggalkan kenderaannya dan melarikan diri.

Mangsa yang mengalami kecederaan dalaman meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk dibedah siasat sebelum dikebumikan di Makam Tuan Haji Said.

Sementara itu, Rozaimin berkata, ayahnya tidak menunjukkan apa-apa perubahan tetapi ada berpesan supaya bekerja dengan baik.

“Sebelum ini, saya berjanji dengan arwah ayah, saya akan memasukkan duit gaji pertama diterima pada bulan ini ke dalam akaunnya.

“Namun, belum pun sempat saya terima gaji pertama, ayah telah tiada. Itu yang membuatkan saya amat terkilan tetapi saya redha dengan pemergiannya,” katanya anak bongsu daripada lima beradik ini.

Menurutnya, malam kelmarin dia bersama arwah ayahnya sempat menonton perlawanan bola sepak antara pasukan Negeri Sembilan dan Selangor di rumah.

“Arwah ayah berulang-alik dari rumah ke tempat kerjanya di Petaling Jaya sejak 10 tahun lalu.

“Ayah seperti biasa keluar rumah seawal jam 5.40 pagi untuk bekerja,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan dan meminta suspek yang melanggar mangsa tampil bagi membantu siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban menerusi talian 06-6033394 atau balai polis berhampiran,” katanya.

Pegawai Turus Trafik Negeri Sembilan, Asisten Superintendan Abd Halil Hamzah mengesahkan kejadian berkenaan.

-SH

Pelajar cemerlang Malaysia terima biasiswa Maxis


KUALA LUMPUR - Penyedia perkhidmatan komunikasi Maxis Berhad menganugerahkan biasiswa bernilai RM3.16 juta kepada 22 pelajar cemerlang Malaysia.

Pengerusi Maxis Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata penerima terdiri daripada mahasiswa dari universiti tempatan dan luar negara. 

Anugerah Kecemerlangan Biasiswa Maxis itu disampaikan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah. 

Raja Arshad memberitahu pemberita sehingga 21 Dis 2011, Maxis menganugerahkan biasiswa berjumlah RM32.2 juta kepada 133 mahasiswa dan 27 siswazah.

Terdahulu, dalam ucapannya, Saifuddin berkata kementerian berhasrat menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan untuk pengajian tinggi. 

- Bernama

Thursday, 10 May 2012

2 kereta guru bertembung

Orang ramai melihat keadaan kereta jenis Mazda setelah terbabit dalam kemalangan di Kilometer 13 Jalan Kuala Berang-Telemong, di Kampung Nasi Dingin, pagi kelmarin.
HULU TERENGGANU - “Sebaik mendengar bunyi dentuman, saya terus keluar dan melihat sebuah kereta sudah terbalik, manakala sebuah lagi terbabas di bahu jalan berhampiran kawasan rumah saya,” kata Osman Hamzah, 66.

Osman berkata, dia kemudian bergegas membantu mangsa dan ketika itu mangsa menyebut perkataan ‘sakit’ beberapa kali.

Osman turut membantu mangsa keluar dari kenderaan dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 13 Jalan Kuala Berang-Telemong, Kampung Nasi Dingin, kira-kira jam 7.30 pagi hingga 8 pagi kelmarin.

Kejadian membabitkan sebuah kereta jenis Mazda dipandu seorang guru lelaki dari arah Kuala Telemong-Kuala Berang dengan sebuah Honda City dipandu seorang guru wanita, dipercayai dalam perjalanan ke Batu Rakit untuk mengikuti kursus.

Sebaik tiba di tempat kejadian, dua kenderaan itu dikatakan bertembung setelah salah sebuah kereta dipercayai masuk ke laluan bertentangan hingga menyebabkan kereta dipandu guru lelaki tersebut terbalik lalu merempuh pokok, manakala Honda City pula terbabas ke bahu kiri jalan.

Menurut Osman, kemalangan seumpama itu bukan perkara asing di kawasan itu, apatah lagi terdapat satu selekoh tajam di situ yang sering menyebabkan kenderaan terbabas.

“Kemalangan di kawasan ini boleh dikatakan sering berlaku. “Pernah berlaku kenderaan terbalik di tempat sama sebelum ini. Tidak sangka, ia berulang dan syukurlah ia tidak membabitkan kemalangan maut,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asistan Superintendan Mohd Rosli Mohd Amir ketika ditemui semalam menjelaskan pihaknya belum menerima sebarang laporan berkaitan kemalangan berkenaan.

-SH