Monday, 15 October 2012

Felix cipta rekod, terjun dari stratosfera



LOS ANGELES - Penerjun ekstrem Austria, Felix Baumgartner mencipta rekod terjunan angkasa pertama dunia daripada stratosfera kemudian mendarat ke Bumi dengan selamat, kelmarin.

Baumgartner berjaya mendarat di kawasan gurun New Mexico, Amerika Syarikat (AS) selang beberapa minit selepas melompat keluar daripada kapsul tekanan udara berketinggian 38.6 kilometer (km) dari Bumi.

Terjunan Baumgartner dijangka berkelajuan 1,110 km sejam sebelum mengaktifkan payung terjunnya pada ketinggian 1.52 km dari atas tanah tenggara New Mexico.

Beliau mengambil masa lebih dua jam untuk naik ke ketinggian terjunan dan telah pun memecahkan satu rekod dunia sebelum melompat, iaitu rekod altitud paling tinggi untuk sebuah penerbangan belon membawa manusia.

Cubaan kali ini adalah yang kedua selepas beliau gagal minggu lalu akibat masalah angin.

Baumgartner telah berlatih selama lima tahun dan memegang banyak rekod termasuk terjunan dari Menara Berkembar Petronas.

Selain berjaya mencipta rekod terjunan angkasa, Baumgartner masih mempunyai empat impian rekod dunia lain termasuk menjadi manusia pertama terjun dari kapsul bagi memecahkan kelajuan bunyi dalam terjunan bebas.

-SH

Tuesday, 7 August 2012

Mayat kanak-kanak lemas ditemui


Gambar Hiasan

PARIT- Mayat kanak-kanak tujuh tahun yang dikhuatiri lemas di Sungai Perak kelmarin ditemui terapung jam 9.58 pagi kira-kira 5 kilometer dari tempat kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Parit, Amir Ahmad berkata, mayat mangsa, Mohd Azhar Daniel Fauzi, 7, ditemui setelah operasi mencari dan menyelamat disambung semula pada jam 8 pagi, semalam.

Menurutnya, mayat mangsa timbul di permukaan air di Kampung Aji sebelum disedari anggota pasukan bomba dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) yang menyertai operasi sejak petang kelmarin.

“Kita menutup operasi pada jam 12 malam (kelmarin) dan meneruskan kembali pada jam 8 pagi ini (semalam) sebelum mayat ditemui pada jam 9.58 pagi.

“Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terlentang, kemungkinan tubuh mangsa timbul di permukaan di air disebabkan tempoh hilang yang sudah mencecah hampir 24 jam,” katanya.

Mayat mangsa kemudian di bawa ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat.

Semalam, Sinar Harian melaporkan, Allahyarham Mohd Azhar, murid Sekolah Kebangsaan Layang-Layang Kiri itu dikatakan bermain di sungai berkenaan kira-kira jam 11 pagi bersama dua rakan yang lain.

Berita kehilangannya yang dikhuatiri lemas berdasarkan penemuan selipar, baju dan basikal milik mangsa oleh seorang pemancing di tepi tebing sungai itu.

Sehari sebelum kejadian, arwah yang sebelum ini aktif dan periang berubah menjadi pendiam dan pasif serta mudah menangis.

-SH

Lelaki meninggal melihat kekalahan Lee Chong Wei



KUCHING: Seorang lelaki berusia 57 tahun meninggal dunia, dipercayai akibat serangan jantung selepas keputusan perlawanan akhir badminton sukan Olimpik antara Datuk Lee Chong Wei dan Lin Dan kelmarin ber-pihak kepada pemain China itu.

Mangsa dikenali sebagai Chung Kin Kiat, menonton perlawanan itu di sebuah kedai kopi di Serian, dekat sini sambil menikmati makan malam, dikatakan bersorak gembira ketika kemenangan set pertama pemain negara.

Menurut saksi, mangsa bagaimanapun dikatakan rebah kira-kira pada jam 9.20 malam dan terus tidak sedarkan diri setelah kekalahan Chong Wei.

Mangsa turut dikatakan menghidap penyakit buah pinggang dan terpaksa menjalani rawatan dialisis selama dua kali seminggu.

Mayatnya dihantar ke Hospital Serian untuk dibedah siasat.

Ketua Balai Polis Serian DSP Mohd Jamali Umi ketika dihubungi Utusan Borneo kelmarin mengesahkan insiden tersebut.

Kes itu diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut.

Dalam kes berasingan, seorang pegawai keselamatan ditemui dalam keadaan tidak bernyawa ketika sedang bertugas di sebuah syarikat kargo di Jalan Pending, petang kelmarin.

Insiden itu disedari sekitar 7.30 malam oleh anak perempuannya bersama ahli keluarga lain yang pergi menghantar makanan ke-pada mangsa.

Mangsa, Suhaili Ugis dari Kampung Sri Maimunah Sungai Apong telah berkhidmat di syarikat itu selama lima tahun, sepatutnya be-kerja lebih masa pada malam tersebut.

Mereka seterusnya meng-hubungi ambulans dan polis.

Mangsa yang disahkan meninggal dunia kemudiannya dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS).

Kes itu juga diklasifikasi sebagai mati mengejut.

-BP

Saturday, 28 July 2012

Dua mayat anak kapal ditemui


Labuan: Dua mayat anak kapal MT Bunga Alpinia ditemui di perairan berhampiran lokasi kejadian, tengah hari semalam. Identitinya disahkan sebagai Mohd Hanafi Kalil, 24, dari Melaka dan Zahari Hashim, 46, dari Negeri Sembilan. Penemuan menjadikan tiga mangsa ditemui manakala dua anak kapal lagi masih hilang.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Saiman Masran, berkata mayat pertama ditemui di laut pada jam 12.57 tengah hari, disusuli penemuan mayat kedua pada jam 1.10 tengah hari dalam keadaan terapung 30 meter dari tempat kejadian.

“Dua mayat itu ditemui pasukan bomba dan penyelamat berhampiran jeti PETRONAS Methanol Labuan (PML).

Ada kesan terbakar pada mayat “Pemeriksaan awal mendapati ada beberapa kesan terbakar di tubuh kedua-dua mayat itu,” katanya di sini, semalam.
Saiman berkata, mayat dihantar ke Hospital Nukleus Labuan untuk proses pengecaman ahli keluarga.

Mayat sudah dituntut

Sementara itu, mayat Shahril Azmi Baharuddin, 28, yang ditemui di jeti berhampiran lokasi kejadian, dituntut oleh keluarganya untuk dikebumikan di kampungnya di Melaka.

Bapanya, Baharuddin Yakub, 58, ketika ditemui berkata keluarganya pasrah menerima kematian anaknya itu sebagai ujian Allah.

“Saya ada bercakap dengannya menerusi telefon jam 10 malam Rabu lalu. Dia macam biasa, tiada perubahan. Kami saling bertanya khabar dan berbual macam biasa.

“Dia ada memberitahu syifnya akan bermula dan selepas itu dia bercakap dengan ibunya. Itulah kali terakhir kami berbual dengannya,” katanya.


-SH

Friday, 27 July 2012

Mayat lelaki di tepi semak

Gambar Hiasan 
BAU: Kecurigaan orang awam terhadap sebuah motosikal yang ditinggalkan sejak beberapa hari lepas di tepi sebuah semak di sini terjawab selepas pemiliknya ditemui mati lewat petang kelmarin.

Menurut jurucakap polis, mayat mangsa yang dikenali sebagai Roslan, 54, itu ditemui ketika pihak polis menjalankan pemeriksaan di kawasan tersebut di Jalan Sebuku, di sini sekitar jam 4.30 petang Rabu lepas.

Tambahnya, pihaknya telah menerima laporan daripada orang awam berhubung sebuah motosikal yang mencurigakan di mana ia telah ditinggalkan di tepi semak tersebut sejak beberapa hari lepas.

Bertindak atas laporan tersebut sepasukan anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Bau telah bergegas ke tempat kejadian yang membawa kepada penemuan mayat mangsa di tepi sebuah sungai tidak jauh dari tempat motosikal tersebut diletakkan.

“Mayat mangsa ditemui terbaring dengan muka menghadap ke tanah dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati mangsa dipercayai pengsan sebelum rebah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya juga, mangsa dipercayai berasal Bau dan sering memasuki hutan terutamanya kawasan yang mempunyai sungai untuk memancing.

“Dipercayai mangsa seorang diri semasa kejadian dan hasil siasatan awal mendapati kemungkinan mangsa mengalami masalah jantung,”katanya.

-BP

Pelajar boleh bawa telefon bimbit ke sekolah?!!




KUALA LUMPUR - Persatuan Pemilik-pemilik Telefon Bimbit (Perbit) Malaysia berpendapat kebenaran bagi pelajar menggunakan telefon bimbit di sekolah lebih banyak memberi kesan negatif daripada positif.

Presiden Perbit, Ali Ibrahim berkata selain mengganggu pelajaran, telefon bimbit yang menyediakan pelbagai akses internet akan memberi peluang kepada pelajar mengakses laman-laman pornografi di sekolah, yang mana akan menggalakkan aktiviti sumbang dan membawa implikasi negatif kepada masyarakat.

"Pelbagai perkara yang tidak baik boleh berlaku termasuk mencuri, merompak, rogol, berzina, terlibat kegiatan samseng dan ponteng sekolah. Yang paling parah perkara ini banyak berlaku kepada remaja Islam," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Ali berkata pelajar akan berpendapat mereka bebas melayarai internet dan juga menghubungi sesiapa sahaja kerana tiada siapa tahu apa yang mereka buat selain tiada siapa yang memantau aktiviti mereka.

"Ini memberi satu impak negatif kepada pelajar, terutama pelajar Islam kerana kebanyakan mereka, walaupun di peringkat tingkatan lima, masih lagi belum matang," katanya.

Ali berkata penggunaan telefon bimbit di kalangan pelajar akan hanya mendatangkan pembaziran wang kerana terpaksa menjelaskan bil yang sepatutnya boleh digunakan untuk perkara-perkara lain yang lebih perlu.

"Pelajar juga akan terleka dengan hiburan yang tersedia dalam telefon bimbit hingga mengabaikan pelajaran," katanya.

Walaupun kebenaran untuk penggunaan telefon bimbit bagi pelajar adalah atas faktor keselamatan, Ali tetap bimbangkan penyalahgunaannya oleh pelajar.

Beliau berkata seharusnya setiap sekolah perlu menyediakan satu bilik telefon khas untuk pelajar membuat panggilan kecemasan kepada ibu bapa mereka bagi menggelakkan perlunya pengunaan telefon bimbit di sekolah.

Katanya, Perbit akan menjalankan kempen kesedaran penggunaan telefon bimbit kepada pelajar di seluruh Malaysia pada bulan hadapan.






- BH

Tuesday, 24 July 2012

Kuarters kakitangan SMK Durin ranap dijilat api

MARAK: Kuarters kakitangan SMK Durin yang terbakar lewat petang kelmarin. 


KANOWIT: Sebuah kuarters kakitangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durin, 28 kilometer dari sini ranap dijilat api dalam kebakaran yang berlaku sekitar jam 6.40 petang kelmarin.

Jabatan Bomba dan Penyelamat yang menerima panggilan kecemasan daripada orang awam sekitar jam 6.44 petang, mengerahkan lebih 10 anggota bomba dari Balai Bomba Kanowit untuk membantu pasukan bomba dari Sibu.

Bagaimanapun kuarters yang tidak berpenghuni itu sudah 80 peratus terbakar apabila pasukan Bomba tiba di lokasi kebakaran pada jam 7.10 malam itu.

Menurut seorang jurucakap bomba, pihak bomba hanya mengambil masa 10 minit untuk mengawal api namun kuarters tersebut sudah musnah.

Katanya kuarters tersebut telah digunakan untuk menyimpan perabot sekolah termasuk kerusi dan meja.

Punca kebakaran belum dikenal pasti sehingga siasatan selesai dilakukan.

-BP