BAYI perempuan yang ditemui berhampiran Masjid Parit Pechah dekat Parit Jawa, semalam. |
MUAR: Seorang bayi perempuan masih bertali pusat yang diletakkan dalam tong polistren ditinggalkan atas bonet kereta ditemui jemaah selepas solat Subuh di Masjid Parit Pechah dekat Parit Jawa di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, curiga dengan kandungan tong polistren berkenaan, Abdul Rashid Sirat, 72, menggoncangnya sebelum terdengar tangisan menyebabkan beliau membukanya dan menemui bayi yang diletakkan dalam beg pakaian.
Katanya, beliau meletakkan keretanya di tempat letak kereta berbumbung kira-kira jam 5.45 pagi sebelum masuk ke masjid menunaikan solat Subuh berjemaah.
“Ketika hendak pulang kira-kira 45 minit kemudian, saya dapati ada sebuah tong polistren atas bonet kereta. Curiga dengan keadaan itu, saya mengangkat dan menggoncang sebelum terdengar bunyi tangisan.
“Keadaan itu mengejutkan saya sebelum membukanya. Sejurus tong itu dibuka, saya melihat sebuah beg hitam di dalamnya dengan seorang bayi perempuan sedang menangis.
“Bayi yang masih bertali pusat itu hanya dibalut dengan tuala. Walaupun baru dilahirkan bayi sudah dibersihkan berikutan badannya tidak diselaputi darah atau lendir,” katanya ketika ditemui, semalam.
Abdul Rashid turut menemui sekeping nota mencatat nama bayi itu Salamiah Hasanah, bapanya, Khairul Anam, manakala ibunya, Sri Susanti.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kelahiran dan penemuan bayi itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di 06-952 6222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan kes berkenaan.
-BH
No comments:
Post a Comment