Gambar Hiasan |
ALOR GAJAH: Seorang peniaga kain dan bayinya terbunuh, manakala isteri parah selepas van yang mereka naiki merempuh pembahagi jalan di Kilometer 201.9 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Ayer Keroh, dekat sini, malam kelmarin.
Mangsa dikenali sebagai Sajarhan Abdul Rahman, 30, dari Taman Nyior, Seremban dan bayinya, Syaza Nurqaireen, berusia setahun.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin, berkata Sajarhan yang juga seorang pembekal kain mati di tempat kejadian akibat cedera parah, manakala bayinya, Syaza Nurqaireen meninggal di Hospital Pantai Ayer Keroh (HPAK), selepas 14 jam dimasukkan ke hospital itu.
Isteri mangsa, Zaleha Rasul, 27, turut dimasukkan hospital sama untuk menerima rawatan.
“Kejadian berlaku jam 9.15 malam ketika van dipandu Sajarhan dalam perjalanan menuju ke pusat bandar raya.
“Siasatan awal mendapati, kenderaan terbabit dipercayai hilang kawalan selepas tayar belakang kirinya pecah sebelum merempuh pembahagi jalan,” katanya. Katanya, Sajarhan tercampak ke seberang jalan dan dirempuh kenderaan lain yang dalam perjalanan ke selatan.
“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. Jenazahnya dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat, manakala anaknya dihantar ke HPAK bagi mendapatkan rawatan lanjut, tetapi meninggal dunia kira-kira jam 11 pagi tadi (semalam),” katanya di sini, semalam.
Umar Ali berkata, Zaleha masih menerima rawatan di hospital sama dan keadaannya dilaporkan stabil.
“Polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat kemalangan ini diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah di 06-5563222.
No comments:
Post a Comment