Monday, 16 April 2012

Van hilang kawalan, 8 pekerja klinker cedera

Gambar HIasan
KUCHING: Lapan pekerja klinker yang turut merangkumi warga asing cedera apabila van yang mereka naiki hilang kawalan di Jalan Puncak Borneo, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian sekitar jam 8 malam itu, van yang hilang kawalan itu dikatakan berpusing berkali-kali sebelum terhenti di hadapan Pusat Perlindungan Orang Utan Semenggok.

Difahamkan van tersebut dalam perjalanan menghantar pekerja-pekerja berkenaan balik ke rumah di Batu 10.

Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) menggunakan ambulans untuk menerima rawatan.

Sementara itu, seorang penyelia tapak pembinaan mengalami keretakan tulang apabila motosikal yang ditunggangnya dilanggar oleh Perodua Kelisa di Jalan Kota Samarahan, petang semalam.

Dalam insiden sekitar jam 6.30 petang itu, lelaki berusia 60 tahun itu dikatakan dalam perjalanan balik ke rumahnya di Desa Ilmu.

Mangsa dikejarkan ke HUS untuk rawatan lanjut.

Dalam kejadian berasingan, empat pelajar institusi pengajian tinggi di Kota Samarahan dikejarkan ke hospital selepas Proton Iswara yang dinaiki mereka bertembung dengan Toyota Wish di Jalan Bampyfield, sekitar jam 8 pagi semalam.

Kemalangan itu terjadi apabila mereka gagal mengawal kenderaan, dipercayai akibat jalan licin ketika hujan renyai awal pagi semalam dan masuk ke laluan arah bertentangan.

Kesemua pelajar terbabit yang berumur 21 tahun dikejarkan HUS untuk rawatan lanjut.

-BP

No comments:

Post a Comment