Monday 7 May 2012

Air mata Awal buat Scha


SEBAIK akad nikah dilafaz, berderailah air mata si gadis. Rasa sebak yang menyelubungi tanda syukur akhirnya sah menjadi isteri kepada dia yang dicintai selain harus meninggalkan keluarga dengan memulakan hidup bersama sang suami.

Situasi biasa kita lihat setiap kali menghadiri majlis pernikahan. Saat lafaz ‘sah’ disebut jurunikah berserta saksi, kebanyakan pengantin perempuan pasti sebak. 

Berbeza saat menghadiri majlis pernikahan pasangan selebriti Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Syed Kechik (Scha), 29, dan Ahmad Awalluddin Ashaari (Awal), 31, yang berlangsung di Pullman Lakeside, Putrajaya, Jumaat lalu. 

Bukan pengantin perempuan yang menangis sebaliknya mempelai lelaki apabila lafaz akad nikahnya yang pertama disambut dengan pengesahan sah oleh saksi pernikahan itu.

“Saya bukan seorang yang suka menangis tetapi untuk perkara seperti majlis perkahwinan ini saya jadi mudah tersentuh. Yalah, saya meminati Scha sejak dia menyertai pertandingan Dewi Remaja 2005/2006 lagi di mana waktu itu saya bertindak sebagai pengacara majlis.

“Kemudian kami dipertemukan dalam program Sehati Berdansa dan bermula dari situlah kami berkenalan kemudian bercinta dan selepas dua tahun setengah menjalin hubungan, hari ini Scha sah menjadi isteri saya. Ini adalah saat paling menggembirakan dan kehadiran Scha melengkapkan hidup saya. 

“Sewaktu menunaikan solat sunat tadi, saya sekali lagi sebak kerana berasa amat bersyukur apabila perjalanan majlis malam ini dipermudahkan. Walaupun gementar pada awalnya melaksana upacara akad nikah yang disaksikan ibu bapa saya, mentua dan tetamu, ditambah pula pancaran kamera, namun alhamdulillah dengan hanya sekali lafaz kami sah bergelar suami isteri,” kata Awal. 

Manakala Scha berkata, dia turut berasa sebak kerana impian untuk hidup bersama lelaki yang dicintainya menjadi kenyataan. Pun begitu dia cuba menahan air mata kerana ingin meraikan saat bahagia itu dengan penuh gembira dan tenang. 

“Sebelum tiba di dewan ini Scha memang sudah ‘set’ dalam kepala tak mahu menangis dan hanya ingin bergembira di hari bahagia kami. Tidak dinafikan Scha turut dihambat perasaan sebak tetapi masih mampu mengawalnya. 

“Entahlah, mungkin cara Scha dibesarkan oleh ibu bapa yang sentiasa menekankan supaya kami (adik-beradik) menjadi orang kuat dan berdikari, membuat Scha sukar untuk menangis. Tetapi sensitif atau tidak Scha ini, itu hanya mereka yang istimewa saja akan tahu,” katanya. 

Pasangan itu dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan, Syed Mahadzir Syed Kecik Al-Yahya sambil disaksikan Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Putrajaya, Mohd Salman Idrus dengan mas kahwin berjumlah RM2,050, tepat jam 9.15 malam. 

Pengantin perempuan turut menerima wang hantaran yang dirahsiakan jumlahnya berserta tujuh dulang hantaran terdiri daripada set barangan Lazard Diamonds, sirih junjung dan bunga rampai, senaskah Al-Quran, sepasang persalinan, sepasang kasut Christian Louboution dan beg tangan Dior, kurma dan kek. 

Manakala Awal menerima sembilan dulang hantaran yang terdiri daripada sirih junjung dan bunga rampai, senaskah Al-Quran, sebuah Mac Book, dompet Bottega Veneta, sepasang kasut Hermes, seutas jam tangan Cartier, sepasang baju Melayu, coklat dan kek. 

Hadir sama pada majlis pernikahan itu, bapa Awal, Ashaari Ahmad dan Aishah Mohd Amin serta ibu Scha, Junainah Hashim, anggota keluarga serta rakan artis antaranya Dynas Mokhtar, Fara Fauzana dan Sazzy Falak selain wakil media.
Persandingan mereka dilangsungkan semalam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) . 

Ditanya, apakah ciri-ciri suami yang ada pada Awal sehingga membuat Scha tertawan, ujar pelakon cantik itu, sikap tanggungjawab dan penyabar, sikap Awal yang amat disanjunginya. 

“Scha cukup memandang tinggi kepada seseorang lelaki itu jika mempunyai kesabaran yang tinggi. Awal lelaki yang amat penyabar berhadapan dengan wanita seperti Scha yang sukar dijangka. Dia cepat menyelami perasaan Scha jika ada yang tidak kena, dia selalu menjadi pendamai keadaan. 

“Satu lagi sikapnya yang membuatkan Scha tertarik, Awal adalah individu yang sangat sayangkan keluarga dan menjaga keluarganya dengan baik. Jika dengan keluarganya sendiri sudah begitu, Scha tidak nampak mengapa dia tidak boleh menjaga Scha dengan baik,” katanya. 

Menjawab soalan sama, Awal menjelaskan, di sebalik sikap Scha yang sering dilihat sebagai wanita lasak, dia sebenarnya cukup penyayang. 

“Dia seorang yang sangat penyayang, mengambil berat, berpegang pada janji, tegas dan jika mahukan sesuatu dia akan berusaha bersungguh-sungguh. Scha yang dikenali orang tidak sama seperti saya mengenalinya,” katanya. 

Berkongsi cerita mengenai destinasi bulan madu, pasangan itu memilih New York, Amerika Syarikat. Mengapa bukan kota cinta, Paris mahupun kepulauan Maldives yang romantis, Scha memaklumkan dia lebih tertarik dengan suasana kota yang hiruk-pikuk. 

“Mungkin kerana Scha membesar di bandar, jadi Scha memang suka dengan gaya hidup kota yang sentiasa bergerak pantas. Scha suka berada di tengah-tengah kesibukan itu. Awal juga sepakat mahu ke sana. 

“Syukur permohonan visa diluluskan dua hari lepas (dua hari sebelum pernikahan). Selesai majlis resepsi nanti, kami akan bertolak ke New York. Kami akan habiskan masa kira-kira 10 hari di sana,” kata Scha. 

Berhubung perkahwinan artis sukar untuk bertahan lama, Scha berkata, dia dan Awal menjadikan kebahagiaan Vanidah Imran dan Rashidi Ishak, Sazzy Falak dan suami, Nash Idrus sebagai contoh. 

“Saya punya pendapat sendiri mengenai hal ini. Saya jadikan beberapa pasangan selebriti sebagai contoh dan saya percaya persefahaman adalah kunci kebahagiaan mereka. 

“Sebelum berkahwin, saya juga sudah pun berbincang dengan Awal yang kami tidak boleh buat perubahan secara drastik. Biarpun sedar tanggungjawab suami isteri bukan mudah, tetapi kami perlu menyesuaikan diri secara perlahan-lahan,” katanya. 

Menyentuh perancangan anak pula, pasangan sama cantik sama padan itu memberitahu mereka tidak merancang atau meletakkan tempoh tertentu untuk menimang cahaya mata. Sebaliknya, menerima bila-bila masa saja rezeki yang hendak diberikan Yang Maha Esa. 

“Saya punya sembilan adik-beradik, tapi saya tidak merancang untuk punya sebuah keluarga yang besar sebegitu. Rasanya, cukuplah sekadar dua atau tiga orang,” kata Awal. 

Dalam majlis dihadiri oleh saudara-mara dan kenalan rapat itu, Scha dan Awal mengenakan sepasang persalinan rona putih hasil rekaan Saiful Baharim. 

Selesai akad, pasangan pengantin menyempurnakan upacara berinai. Kali ini mereka mengenakan persalinan hijau zamrud rekaan Rizman Ruzaini berkolaborasi dengan Atiqah’s Songket. 

Mengikut perancangan, majlis persandingan kedua-dua mempelai itu sepatutnya dipancarkan secara langsung namun disebabkan masalah teknikal, ia tidak dapat dilakukan. 

Gara-gara pembatalan siaran langsung seperti yang dijanjikan, ramai peminat pasangan selebriti itu meluahkan rasa kecewa di laman sosial facebook dan twitter terhadap Astro Ria yang mendapat hak penyiaran eksklusif. 

Mengulas isu berkenaan, Awal dan Scha memohon maaf di atas kesulitan yang berlaku. 

“Saya dimaklumkan mengenai hal ini ketika menyalin baju untuk acara berinai tadi. Saya sempat lihat beberapa ‘tweet’ peminat yang meluahkan rasa kecewa dan marah. Meskipun perkara itu berada di luar kawalan kami, tetapi saya dan Scha ingin memohon maaf di atas kesulitan yang berlaku. 

“Kami rasa bersalah juga sebab hampir setiap hari iklan mengenai majlis pernikahan kami dihebahkan di kaca televisyen supaya peminat dapat menyaksikannya. 

“Tetapi itulah kadang-kadang masalah teknikal sebegini memang boleh berlaku bila-bila masa. Saya pasti hal seperti ini tidak mungkin disengajakan dan kami percaya pihak Astro sudahpun berbuat yang terbaik,” kata Awal bakal menjalani penggambaran program raya sehari selepas pulang dari berbulan madu.

-MT

No comments:

Post a Comment