Thursday, 3 May 2012

Dua wartawan terbunuh di Mukah


MUKAH: Dua wartawan terbunuh dalam kemalangan membabitkan sebuah bas penumpang, sebuah kereta Kancil dan Toyota Hilux di Jalan Balingian-Mukah 20 kilo-meter dari sini pagi semalam.

Keadaan Bas & Lori
Ketua Polis Daerah Mukah DSP Omar Bakhtiar berkata mereka yang mati di tempat kejadian ialah pemandu kereta Kancil iaitu pemberita berpengalaman, Gaing Kunding, 48, dan pemberita See Hua Daily News, Patricia Yiu, 31.

Omar ketika dihubungi Utusan Borneo berkata dalam kejadian pada jam 10.45 pagi itu, sebuah bas yang membawa 34 penumpang yang sedang dalam perjalanan dari Mukah ke Sibu dikatakan cuba memotong sebuah lori tetapi gagal dan merempuh sebuah Kancil yang dipandu oleh Gaing.

Katanya, akibat rempuhan itu, Gaing bersama Patricia yang menaiki kereta Kancil tersebut mati di tempat kejadian.

Isteri & Anak Gaing
“Keadaan kereta Kancil remuk teruk dan pemandunya cedera parah di bahagian muka dengan kedua-dua kaki serta tangannya patah manakala wartawan wanita yang duduk di sebelah kiri pemandu dipercayai mati kerana mengalami kecederaan dalaman,” kata Omar.

Menurutnya polis yang dimaklumkan oleh orang awam mengenai kemalangan itu bergegas ke tempat kejadian dengan kereta peronda dan tiba di situ sekitar 10 minit kemudian.
Kereta Perodua Kancil Dinaiki Gaing & Patricia

Menurut Omar, bas tersebut turut melanggar sebuah Toyota Hilux yang mengekori kereta Kancil tersebut dari belakang.

Bagaimanapun katanya Toyota Hilux tersebut remuk teruk di bahagian belakang namun pemandunya tidak cedera.

Katanya, pemandu bas berumur 54 tahun dan beberapa orang penumpang bas tersebut hanya mengalami cedera ringan.

Polis telah menahan pemandu bas tersebut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Keadaan Hilux
Sementara itu, kakitangan Utusan Borneo, Borneo Post dan See Hua terutama wartawan yang mengenali Gaing dan Patricia turut bersedih atas kematian mengejut mereka.

“Gaing merupakan seorang wartawan yang cukup mesra, peramah dan baik hati selain suka berkongsi pengalaman dan memberi tunjuk ajar,” kata Judan Bungap.

Gaing meninggalkan seorang isteri, Patrina Chaong, 43, dan mempunyai seorang anak lelaki berusia 10 tahun.

Difahamkan Patricia yang merupakan wartawan See Hua baru bekerja satu hari di Mukah selepas berpindah dari Kuching.

-BP

No comments:

Post a Comment