Saturday 15 December 2012

Lelaki maut kenderaan berlanggar dengan kren

Gambar Hiasan 

SIBU: Seorang kakitangan Hospital Kanowit maut selepas terbabit kemalangan berhampiran simpang ke Lapangan Terbang Sibu malam Selasa lepas.

Mangsa Edmund Henry, 35, dikatakan dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ke rumahnya di Taman Desa Satria, Batu 8, Jalan Oya.

Dalam kejadian sekitar jam 10 malam, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian setelah kereta Perodua Viva yang dipandunya berlanggar dengan kren yang membaiki lampu jalan.

Menurut adik lelaki mangsa yang juga wartawan Utusan Borneo Michael Henry, mendiang mengalami kecederaan di kepala, leher, dada, kaki dan tangan.

Mendiang meninggalkan seorang isteri dan tiga anak lelaki berumur enam bulan, 12 tahun dan 14 tahun.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sibu dengan menggunakan kenderaan polis kira-kira jam 1 pagi.

Salah seorang pengguna jalan raya memberitahu, lampu jalan di kawasan berkenaan kerap tidak berfungsi.

Beliau turut menggesa pihak berkaitan agar mengambil tindakan segera bagi mengelak insiden serupa berulang pada masa akan datang.

Sementara itu, Michael yang baharu pulang dari Miri pada hari kejadian memberitahu, beliau dimaklumkan kejadian tersebut oleh ahli keluarganya.

“Kami sangat rapat dan saling hubung-menghubungi antara satu sama lain,” jelasnya.

-BP

No comments:

Post a Comment