Tuesday, 1 May 2012

3 maut bas persiaran rempuh penghadang lebuh raya

Bas Persiaran Rempuh Batu Penghadang dan Terbalik
BUKIT BERUNTUNG - Tiga termasuk pemandu bas maut apabila kenderaan itu, yang dinaiki satu rombongan penduduk kampung untuk melawat tempat bersejarah di Melaka, berakhir tragedi dekat sini, awal pagi tadi.


Bas persiaran itu merempuh penghadang di KM 434.2 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Bukit Beruntung, Hulu Selangor kira-kira jam 1.50 pagi.
Seramai 24 lagi penumpang cedera ringan.

Ketika kemalangan, bas itu membawa 48 penumpang terdiri daripada penduduk Kampung Sungai Lah, Chenderiang, Perak.

Difahamkan, penumpang bas berkenaan sepatutnya melawat tempat bersejarah di Melaka pagi ini sebelum pulang semula ke Perak malam ini.

-SH

Zizan dijangka keluar wad hari ini

Zizan sakit
PELAKON dan pelawak terkenal, Mohd Razizan Abdul Razak atau dikenali sebagai Zizan Razak dilaporkan semakin sembuh setelah dimasukkan ke wad Pusat Perubatan Pantai, Bangsar Ahad lalu akibat masalah keradangan otot.

Menurut Pengurusnya, Marina Juki, kejadian berlaku sewaktu Zizan sedang bersiap untuk bertolak ke Ipoh bagi menjayakan siaran live Melodi Jom Heboh.

“Kami tiba di unit kecemasan hospital tepat jam 1.30 pagi. Doktor membuat ujian darah sebanyak dua kali dan hasil ujian darah tersebut, doktor mengesahkan Zizan mengalami ‘acute myositis’ atau keradangan otot.

“Sepanjang proses rawatan, Zizan turut diberikan protein, vitamin dan antibiotik untuk mengembalikan tenaganya.

“Alhamdulillah, buat masa sekarang dia telah stabil dan insya-ALLAH, akan dibenarkan keluar wad hari ini, cuma batuknya masih belum berkurangan,” katanya ketika dihubungi Zass.
Jelas Marina, doktor menasihatkan Zizan supaya berehat sekurang-kurangnya dua minggu bagi memastikan dia pulih sepenuhnya.

“Sebarang aktiviti seninya terpaksa diberhentikan buat seketika. Dia juga perlu menangguhkan penggambaran filem Tokan buat masa sekarang.

“Menerusi filem itu, Zizan sebagai pelakon utama, tetapi hanya beberapa babak ringan sahaja yang tinggal memandangkan babak penting telah disiapkan sebelum ini.

“Bagaimanapun ia bergantung kepada tahap kecergasan Zizan sendiri. Saya rasa dalam minggu hadapan dia sudah boleh memulakan kerjanya seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, Marina berkata, Zizan turut berterima kasih kepada peminat dan sahabat yang mendoakan kesejahteraannya di Twitter dan Facebook.

-SH

Kanak-kanak HILANG!!!


DICARI... Pihak polis memohon bantuan orang ramai untuk mencari seorang kanak-kanak lelaki, Nayati Moodliar, 12 tahun yang hilang. 

Nayati kali terakhir dilihat di depan Sekolah Antarabangsa Mount Kiara dan orang ramai yang mengetahui sebarang maklumat sila hubungi Pegawai Polis, DSP Suryani Sungit atau ASP Erwansyah di 019-384-9480, atau Balai Polis Travers, 03-2282-4222/03-2215-9999 ataupun mana-mana balai polis terdekat.

-BH

Kad kahwin 'Schawal'. Tahniah!

Kad Kahwin  'Schawal'

Majlis pernikahan pasangan ini akan berlangsung di Pullman Putrajaya Lakeside pada 4 Mei ini tepat jam 7.45 malam.

Seterusnya majlis resepsi akan diadakan pada 6 Mei ini bertempat di Dewan Perdana, PICC, Putrajaya.

-SH

Tak sempat beli rumah untuk isteri

Gambar Hiasan
SEREMBAN – Hasrat seorang suami untuk membeli rumah buat isterinya tidak kesampaian apabila dia maut selepas motosikal ditungganginya terlibat dalam kemalangan langgar lari di Jalan Tun Dr Ismail, di sini, awal pagi kelmarin.


Dalam kejadian kira-kira jam 6.35 pagi itu, mangsa, Ramdan Ishak, 32, yang bekerja sebagai pemandu lori, menunggang motosikal jenis Honda EX5 sedang menuju ke tempat kerjanya di sekitar Mantin.

Bagaimanapun, sejurus tiba di lokasi keja­dian, motosikal mangsa dipercayai dilanggar sebuah kereta dari arah belakang, menyebabkan mangsa terbabas ke bahu jalan lalu melanggar tembok batu.

Mangsa yang parah di kepala dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk rawatan lanjut tetapi disahkan meninggal dunia di wad kecemasan.

Isteri mangsa, Foziah Abd Aziz, 32, berkata, dia dimaklumkan kejadian itu kira-kira jam 7.30 pagi, kelmarin.

“Arwah memang bersungguh-sungguh mahu membeli sebuah rumah kos rendah di sekitar daerah ini.

“Arwah tidak menunjukkan sebarang pe­rubahan sebelum kejadian, cuma malam kelmarin, saya sempat memasakkan mi segera selepas diminta oleh arwah,” katanya.

Sementara itu, adik mangsa, Nur Idayu, 24, pula berkata, kali terakhir dia bertemu dengan abangnya ketika makan bersama di rumah keluarga di Taman Rashibah Utama untuk berbincang mengenai persiapan kenduri kahwin abang kedua, Ahad depan.

“Abang lebih banyak ketawa dan mesra berbanding biasa, namun saya tidak sangka pula itu adalah pertemuan terakhir kami sekeluarga,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut dan pemeriksaan mendapati tiada rakaman kamera litar tutup (CCTV) berhampiran lokasi kejadian.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban menerusi talian 06-6033394 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Pegawai Turus Trafik Negeri Sembilan, Asisten Superintendan Abd Halil Hamzah mengesahkan kejadian berkenaan.
-SH

Bakal calon SPM melarikan diri bersama teman lelaki


LUKUT – Seorang remaja ­perempuan yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ­tahun ini ­hilang melarikan diri dan turut membawa anaknya hasil hubungan bersama bekas teman lelakinya.

Bapa remaja berkenaan, Ah Chye, 65, berkata, anak tunggalnya, Linda Loh, 17, itu mula disedari hilang pada Rabu lalu dan dipercayai ­melarikan diri bersama teman lelakinya.

“Ketika itu, saya baru bangun dari tidur dan mendapati Linda sudah tiada ­sementara cucu perempuan saya, Joanna Srephane Grace yang bakal berusia setahun bulan hadapan juga didapati tiada.

“Saya cuba menghubungi nombor telefon Linda namun tidak berjawab. Namun ­selepas dihubungi berkali-kali, ­nombor berkenaan sudah tidak aktif lagi,” katanya kepada pemberita ketika membuat aduan di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lukut, semalam.

Ah Chye berkata, sebelum ini anaknya juga pernah keluar rumah dan dua hari ­tidak ­kembali ke rumah ­tanpa sebab.

“Kali ini saya mengesyaki anak perempuan saya ­melarikan diri bersama teman ­lelakinya dan sejak dia melarikan diri, dia juga didapati tidak hadir ke sekolahnya di sebuah sekolah di daerah ini.

“Saya sangat risau dengan apa yang berlaku lebih-lebih lagi Linda turut membawa anaknya hasil hubungan bersama bekas teman lelakinya itu,” katanya.

Katanya, dia merayu anaknya pulang ke rumah dan sedia memaafkan segala kesilapan yang dilakukan anaknya.

“Saya menerima dengan hati terbuka dan mahu dia kembali ke sekolah menduduki peperiksaan SPM dan berjaya memasuki universiti,” katanya.

Bimbang dengan kehila­ngan anaknya itu, Ah Chye yang tinggal di Taman Sri Bandar membuat laporan di Balai Polis Port Dickson sebanyak dua kali.

Sementara Adun Lukut, Ean Yong Tin Sin berkata, orang ramai yang terlihat Linda diminta memberi kerjasama untuk segera menghubungi balai polis berhampiran atau terus menghubungi Ah Chye menerusi talian 017-6524093.
-SH

Mayat dalam lumpur

GEMENCHEH – Seorang pembantu kedai ditemui mati lemas di dasar sebuah kolam ikan berhampiran tempatnya bekerja di Felda Bukit Jalor, di sini, lewat petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.10 ­petang itu, mangsa, Hamdan Baharudin, 43, ditemui anggota Balai Bomba dan Penyelamat Gemas dalam lumpur di dasar kolam berkenaan.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, pada awalnya mangsa dipercayai ke kolam berkenaan untuk mandi, kira-kira jam 4.30 petang.
“Tetapi selepas 10 minit kelibatnya tidak muncul di permukaan air, ia menimbulkan tanda tanya orang ramai yang berada di kedai berkenaan.

“Akibat bimbang, mereka ke kolam berkenaan untuk melihat keadaan mangsa dan segera menghubungi anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Gemas, kemudiannya Balai
Bomba dan Penyelamat Gemas bagi mendapatkan bantuan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, mayat mangsa yang ditemui dalam lumpur di dasar kolam dihantar ke Hospital Tampin untuk bedah siasat.

“Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Gemas, Johari Masun berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 5.04 petang dan tiba di lokasi kejadian jam 5.35 petang.

“Kami berjaya menjumpai mayat mangsa setengah jam kemudian iaitu kira-kira jam 6.10 petang,” katanya.

-SH