Tuesday 17 April 2012

Ibu tunggak yang teraniaya

KUALA LUMPUR - Seorang ibu tunggal mengharapkan mana-mana pihak dapat membantunya memulakan perniagaan bagi menampung keperluan empat anaknya yang masih bersekolah selepas dia didakwa dianiaya.

Zalifah Yahya, 37, berkata, dua tahun lalu dia yang berasal dari Johor Bahru datang ke ibu kota untuk mencari peluang pendapatan dengan berniaga dan dijanjikan pertolongan oleh seorang individu yang juga memegang jawatan dalam politik serta persatuan peniaga.

Namun, hanya kerana tidak setuju dengan kadar caj kenaikan sewa kedai dikenakan, dia kini hilang punca pendapatan apabila kedainya yang terletak di Dato’ Keramat dirobohkan sebanyak dua kali oleh individu berkenaan, membolehkan tapak tersebut diberi kepada orang lain.

Menurutnya, dia teraniaya dengan sikap individu tersebut yang dikatakan menggunakan kuasa dan pengaruhnya dengan sesuka hati demi kepentingan sendiri.

Katanya, bermula November 2010, dia menumpang membina kedai bersebelahan dengan kedai milik individu tersebut dengan caj sewa RM200 untuk bekalan elektrik dan air, namun selepas lapan bulan, caj dinaikkan dengan kadar RM500 dan dia diminta membayar sebanyak RM1,500 untuk tiga bulan deposit.

“Saya memang tidak setuju kerana ia membebankan saya. Kemudian pada Ogos 2011, ketika saya kembali daripada cuti selama dua hari, saya lihat kedai saya dirobohkan.

“Saya kerugian kira-kira RM4,000 kerana peralatan dan barangan perniagaan rosak,” katanya.

Zalifah berkata, dengan bantuan rakan kongsi, dia membina semula struktur kedainya namun sering menerima gangguan yang membuatkannya berada dalam keadaan tidak tenang dan gangguan tersebut semakin serius apabila dia turut diugut sekiranya tidak keluar daripada tapak berkenaan.

“Sehinggalah pada 31 Mac lalu, individu berkenaan memanggil saya yang mana ketika itu rakan kongsi saya, Mohd Thani Tahir turut serta dan cedera di tangan ketika cuba menepis tikaman lelaki itu,”katanya.

Sementara itu, Mohd Thani, 49, berkata, akibat insiden berkenaan, dia berkemungkinan akan mengalami kecacatan kekal setelah urat jarinya terputus.

“Saya menerima lapan jahitan apabila urat jari tengah putus 100 peratus manakala urat jari telunjuk putus 50 peratus.

“Hasil laporan polis yang dibuat, lelaki berkenaan sudah ditahan reman selama seminggu, namun tidak lama selepas itu, kedai Zalifah dirobohkan semula,” katanya.

Difahamkan, tapak berkenaan bukan milik individu sebaliknya individu berkenaan mendapat kebenaran menjalankan perniagaan di situ atas tiket politik.

-SH

No comments:

Post a Comment