KUANTAN - Hasrat seorang pembantu rumah warga Indonesia datang ke negara ini untuk mencari rezeki bagi menyara empat anaknya di kampung tidak kesampaian sebaliknya dia terpaksa meringkuk dalam penjara selama empat tahun setelah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan semalam atas tuduhan mendera anak majikan.
Tertuduh, Nanis Supardi, 40 dari Jawa Timur, Indonesia turut dipenjarakan selama enam bulan kerana tinggal melebihi masa di negara ini walaupun mengikut pas lawatan, dia hanya dibenarkan tinggal di negara hingga 29 Februari lalu. Hukuman yang dibuat Hakim Nor Adidah Ahmad ke atas tertuduh itu bagaimanapun berjalan serentak bermula dari tarikh dia ditangkap 14 Mac lalu.
Dalam hujahnya, Nor Adidah menegur perbuatan tertuduh itu yang dianggap keterlaluan sedangkan dia juga seorang ibu kepada empat anak. Malah alasan tertuduh bahawa kejadian itu berlaku disebabkan satu kesilapan tidak boleh diterima, kerana dia sepatutnya melindungi mangsa yang juga orang kurang upaya (OKU) setelah dibayar gaji oleh majikan untuk berbuat demikian. “Kanak-kanak OKU itu bernasib baik kerana perbuatan kamu berjaya dikesan keluarganya hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.
Dalam kejadian kira-kita jam 6 hingga 6.30 petang 13 Mac lalu, tertuduh didakwa melakukan penganiayaan pada kanak-kanak OKU berusia11 tahun dengan cara memijak muka, leher, dada dan perut mangsa di sebuah rumah di Lot 2923, Kampung Batu Hitam di sini.
Tertuduh juga didakwa menutup muka mangsa dengan kain dan memasukkan air ke dalam mulut mangsa pada hari sama. Perbuatan tertuduh yang dipercayai baru sebulan bekerja di rumah tersebut disedari majikannya selepas segala perlakuannya itu dirakam CCTV yang dipasang di rumah keluarga terbabit.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya. Bagi kesalahan tinggal melebihi masa di negara ini, dia didakwa di bawah Sekyen 15 (1) Akta Imigresen 1959 /6B (Akta 155) dan boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 15 (4) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih 5 tahun dan boleh dikenakan tidak lebih enam sebatan.
Dalam rayuannya yang diterjemahkan seorang juru bahasa Indonesia, tertuduh merayu supaya hukuman ke atasnya diringankan memandangkan dia terpaksa menyara empat anak di kampung. Dia juga mengaku sudah berpisah dengan suami malah lelaki itu didakwa mengabaikan tanggungjawab sebagai bapa kepada anak-anaknya. “Selepas tamat hukuman, saya akan kembali ke Indonesia untuk tinggal bersama anak-anak,” katanya sambil mengesat air mata kesedihan.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Hidayatul Syuhada Shamsuddin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang lebih berat ke atas tertuduh memandangkan perbuatannya itu amat keterlaluan. “Alasan tertuduh tidak boleh diterima kerana kes ini melibatkan hal kemanusiaan dan pada masa yang sama hukuman berat sebagai satu amaran kepada pembantu rumah lain supaya tidak melakukan perbuatan itu,” katanya.
Mengambil kira beberapa faktor termasuk kesalahan pertama dan kepentingan awam, Nor Adidah menjatuhkan hukuman itu kepada tertuduh bagaimanapun wanita itu dibenarkan membuat rayuan di Mahkamah Tinggi.
-SH
No comments:
Post a Comment