Friday 4 January 2013

Hormati guru, jangan perlekeh


 Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom

KUALA LUMPUR - Kerjaya perguruan tidak wajar diperlekeh apatah lagi merendah-rendahkan pekerjaan mulia itu tanpa mengira apa jua tahap kelayakan dan kelulusan mereka.

Tanpa mahu merujuk kepada mana-mana kenyataan, bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom (gambar) berkata, guru perlu diberi penghormatan tertinggi berdasarkan sumbangan besar mereka dalam menyampaikan ilmu dan mendidik anak bangsa.

"Guru adalah profesion mulia, tidak kiralah apa jua kelulusan atau kelayakan mereka.

"Semua masyarakat patut menghormati guru kerana mereka bukan sahaja menyampaikan ilmu pengetahuan malah mendidik anak bangsa untuk menjadi seorang insan berguna," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini memperlekehkan taraf pendidikan bekas penyokong parti itu, Zainon Ismail atau lebih dikenali C.N. al-Afghani hanya kerana penulis buku Kafirkah Aku? itu seorang guru sekolah rendah.

Dalam pada itu, Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGGMMB), Mohamed Sabri Mohd. Arsad pula berkata, semua guru layak membuat teguran demi membetulkan perkara yang salah atau memperjelaskan sesuatu yang benar untuk kebaikan semua pihak.

Sehubungan itu, jelas beliau, adalah tidak wajar mempersoalkan kewibawaan seseorang guru dan menganggap seseorang itu tidak layak untuk bercakap hanya kerana melihat kepada penempatan mereka mengajar di sekolah rendah, menengah atau di peringkat universiti.

"Setiap individu itu sebelum sampai ke peringkat universiti telah melalui proses pendidikan selama 11 tahun, dididik oleh guru, maka tidak wajar memperlekehkan kemampuan golongan pendidik ini.

"Dalam isu ini Abdul Hadi patut menerima teguran dengan hati terbuka dan membuang segala sikap ego kerana sudah menjadi kewajipan seorang guru membetulkan perkara yang salah," katanya.

Pensyarah Jabatan Asas Pendidikan, Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Mohd. Majid Konting pula berkata, mana-mana pihak tidak patut memandang hina profesion perguruan dengan membeza-bezakan tugas mengikut tempat mereka mengajar.

Tegas beliau, sebagai seorang yang berilmu, seorang guru itu berhak mengingatkan orang lain berhubung apa yang sepatutnya demi mengembangkan dan menyampaikan ilmu kepada masyarakat.

"Terpulang kepada ahli politik mahu cakap apa-apa pun, saya secara tegas menyatakan guru merupakan ahli profesional dan bertanggungjawab menyampaikan ilmu apa yang diketahui.

"Mereka mempunyai asas kukuh untuk mengembangkan ilmu tersebut, maka mana-mana pihak tidak berhak mempersoalkan tugas guru," katanya.



-UM

No comments:

Post a Comment