Friday 4 January 2013

Pengebumian penuh adat istiadat ketenteraan Ahad ini

PERGI BUAT SELAMANYA: Mendiang Temenggung Datuk Kanang Langkau
KUCHING: Upacara pengebumian negara yang penuh adat istiadat ketenteraan untuk mendiang Temenggung Datuk Kanang Langkau akan diadakan pada hari Ahad ini, 6 Januari.

Mendiang akan disemadikan di Makam Pahlawan, Kuching yang menempatkan 21 pusara wira negara yang telah terkorban ketika misi mengamankan negara.

Majlis itu dijangka dihadiri oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin, Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan menteri-menteri kabinet lain.

Menurut kenyataan Jabatan Penerangan di sini semalam, kerajaan persekutuan dan negeri akan memberi penghormatan pengebumian negara kepada mendiang.

Sebelum upacara pengebumian, mayat mendiang Kanang akan dibawa ke Gereja St Thomas, Kuching pada Ahad, 6 Januari untuk upacara keagamaan pada jam 1 petang sebelum dikebumikan di Makam Pahlawan, Jalan Taman Budaya, Kuching pada jam 3 petang.

Orang ramai boleh memberikan penghormatan terakhir di Dewan Suarah Kuching pada hari Sabtu, 5 Januari dari jam 10 pagi hingga 12 tengah hari dan 2 petang hingga 5 petang serta hari Ahad, 6 Januari dari jam 9 pagi hingga 12 tengah hari.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata, kerajaan negeri bersetuju memberi penghormatan negara kepada mendiang atas jasa dan sumbangan mendiang untuk keamanan Sarawak dan negara.

“Kita berasa sedih atas kehilangan pahlawan sejati negara. Oleh itu, saya mengucapkan takziah kepada Datin (Brawang) dan ahli keluarga mendiang.

“Kerajaan negeri telah bersetuju memberi penghormatan yang tertinggi untuk pengebumian mendiang Temenggung Datuk Kanang Langkau,” katanya ketika ditemui di rumah mayat Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini, semalam.

Pada masa sama, beliau menjelaskan kerajaan negeri sedang membuat persiapan untuk majlis itu nanti.

Manakala Panglima 1 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar berkata, pihaknya akan menghulurkan bantuan dari segi keperluan dan kebajikan kepada keluarga mendiang.

“Kita akan membantu untuk istiadat pengebumian dan membantu keluarga mereka yang datang dari Sri Aman.

Jadi urusan dan kebajikan apa juga yang diperlukan oleh keluarga, kami akan bantu kerana mendiang sebahagian daripada kami,” ujarnya.

-BP

No comments:

Post a Comment