Tuesday, 17 April 2012

Kejam!! Sembelih anak sendiri!!!

JAKARTA - Seorang lelaki berusia 40 tahun yang dipercayai sedang belajar ilmu hitam, telah menyembelih anaknya sendiri yang berusia lima tahun di sebuah kampung di daerah Karawang, Jawa Barat pada Ahad.

Polis bagaimanapun belum dapat memastikan sama ada pembunuhan kanak-kanak perempuan di Desa Pasirkamuning itu ada kaitan dengan ilmu hitam yang dikatakan sedang beliau pelajari itu atau kerana gangguan psikologi.

Mayat kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan mengerikan dalam sebuah bilik di rumahnya, pada Ahad dan bapaknya dipercayai menyembelihnya dengan sebilah pisau pemotong daging ketika ia sedang tidur. 

Laporan menyebutkan bahawa sebelum membunuh anak perempuannya, lelaki itu telah pergi ke salah satu daerah di Sukabumi untuk berguru ilmu hitam, namun selepas pulang rumah beliau kelihatan seperti mengalami tekanan mental.

Setelah menghabiskan nyawa anak kandungnya, lelaki itu telah memanggil sejumlah jiran tetangganya dan meminta wang untuk membeli kain kafan.

Pada masa itu, jiran-jiran yang menyahut panggilan lelaki itu telah juga diancam akan dibunuh.

Lelaki itu kemudian menyuruh salah seorang jiran membeli kain kafan di pasar, tetapi jiran itu terus membuat laporan mengenai kejadian itu ke balai polis sehingga beliau ditangkap. 

- SH

Ibu tunggak yang teraniaya

KUALA LUMPUR - Seorang ibu tunggal mengharapkan mana-mana pihak dapat membantunya memulakan perniagaan bagi menampung keperluan empat anaknya yang masih bersekolah selepas dia didakwa dianiaya.

Zalifah Yahya, 37, berkata, dua tahun lalu dia yang berasal dari Johor Bahru datang ke ibu kota untuk mencari peluang pendapatan dengan berniaga dan dijanjikan pertolongan oleh seorang individu yang juga memegang jawatan dalam politik serta persatuan peniaga.

Namun, hanya kerana tidak setuju dengan kadar caj kenaikan sewa kedai dikenakan, dia kini hilang punca pendapatan apabila kedainya yang terletak di Dato’ Keramat dirobohkan sebanyak dua kali oleh individu berkenaan, membolehkan tapak tersebut diberi kepada orang lain.

Menurutnya, dia teraniaya dengan sikap individu tersebut yang dikatakan menggunakan kuasa dan pengaruhnya dengan sesuka hati demi kepentingan sendiri.

Katanya, bermula November 2010, dia menumpang membina kedai bersebelahan dengan kedai milik individu tersebut dengan caj sewa RM200 untuk bekalan elektrik dan air, namun selepas lapan bulan, caj dinaikkan dengan kadar RM500 dan dia diminta membayar sebanyak RM1,500 untuk tiga bulan deposit.

“Saya memang tidak setuju kerana ia membebankan saya. Kemudian pada Ogos 2011, ketika saya kembali daripada cuti selama dua hari, saya lihat kedai saya dirobohkan.

“Saya kerugian kira-kira RM4,000 kerana peralatan dan barangan perniagaan rosak,” katanya.

Zalifah berkata, dengan bantuan rakan kongsi, dia membina semula struktur kedainya namun sering menerima gangguan yang membuatkannya berada dalam keadaan tidak tenang dan gangguan tersebut semakin serius apabila dia turut diugut sekiranya tidak keluar daripada tapak berkenaan.

“Sehinggalah pada 31 Mac lalu, individu berkenaan memanggil saya yang mana ketika itu rakan kongsi saya, Mohd Thani Tahir turut serta dan cedera di tangan ketika cuba menepis tikaman lelaki itu,”katanya.

Sementara itu, Mohd Thani, 49, berkata, akibat insiden berkenaan, dia berkemungkinan akan mengalami kecacatan kekal setelah urat jarinya terputus.

“Saya menerima lapan jahitan apabila urat jari tengah putus 100 peratus manakala urat jari telunjuk putus 50 peratus.

“Hasil laporan polis yang dibuat, lelaki berkenaan sudah ditahan reman selama seminggu, namun tidak lama selepas itu, kedai Zalifah dirobohkan semula,” katanya.

Difahamkan, tapak berkenaan bukan milik individu sebaliknya individu berkenaan mendapat kebenaran menjalankan perniagaan di situ atas tiket politik.

-SH

Monday, 16 April 2012

Lelaki dicari bantu kes bunuh penjual sarang burung



KOTA KINABALU — Polis sedang mencari seorang lelaki untuk membantu penyiasatan satu kes pembunuhan seorang suri rumah di Km39 Jalan Kalabakan-Keningau pada 7 April lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (CID) negeri, SAC Omar Mammah berkata, Muhammad Osman, 40, dikehendaki polis yang menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

“Kami percaya lelaki ini dapat membantu siasatan pembunuhan ke atas Sang Sui Fong, berusia 45 tahun yang ditemui dengan beberapa kesan tikaman pada badan di tepi Perodua Kenari miliknya,” kata Omar di satu sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, setakat ini polis menahan tiga orang berumur antara 24 hingga 56 tahun pada 10 April bersabit dengan kes tersebut.

Katanya, mangsa seorang penjual sarang burung sedang dalam perjalanan ke Keningau untuk urusan perniagaan apabila dia dirompak dan dibunuh kira-kira 8 pagi pada 7 April. - BERNAMA

Lisa Surihani akui kerjaya guru lebih mencabar

Lisa Surihani dan suami 
PELABUHAN KLANG - Pelakon Lisa Surihani mengakui bahawa kerjaya sebagai guru pada masa kini berdepan dengan cabaran berganda jika dibandingkan dengan pengalamannya yang pernah menjadi seorang guru sandaran, sembilan tahun lepas. 


Beliau dan suaminya, penyanyi dan pengarah filem Yusry Abdul Halim merupakan antara selebriti yang dipilih untuk menjayakan program 'Teach For Malaysia (TFM) Week' di mana mereka memainkan peranan sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendamaran Jaya di sini hari ini.


Lisa berkata pengalamannya mengajar di sekolah itu membuatkan beliau lebih menghormati profesion guru.


"Pengalaman saya hari ini memang jelas membuktikan bahawa bukan senang untuk jadi seorang guru. Cabarannya bertambah mengikut peredaran masa terutamanya dari aspek menariperhatian dan tumpuan pelajar.


"Saya mengalu-alukan rakyat Malaysia menyokong dan mengambil bahagian dalam program TFM ini," katanya dalam sidang media di sini hari ini.


Lisa dan Yusry masing-masing meluangkan masa selama sejam mengajar di dua buah kelas tingkatan satu di mana Lisa mengajar subjek Geografi manakala Yusry mengajar subjek Bahasa Inggeris. 

Selain kedua-dua artis itu, mereka yang mengambil bahagian dalam program anjuran TFM yang bermula hari ini sehingga 20 April ini mewakili sektor perniagaan, kewangan, perkhidmatan awam, pendidikan dan hiburan.

Mereka dijadualkan mengajar di sekolah kawasan Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor, Petaling Perdana dan Hulu Langat di Selangor; Sentul dan Keramat di Kuala Lumpur; dan Tampin, Jelebu serta Kuala Pilah di Negeri Sembilan.

TFM adalah sebuah badan bebas bukan mencari keuntungan yang menyenaraikan bakal pemimpin masa depan Malaysia paling menyerlah dalam misinya untuk menghapuskan keadaan tidak saksama dalam bidang pendidikan.

Sejak Januari 2012, kohort pertamanya yang terdiri daripada 50 felo, menjadi pengajar di sekolah berkeperluan tinggi di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan.

TFM sedang mencari 70 lagi felo untuk kohort barunya bagi 2013


.- Bernama

Remaja maut selepas terlanggar lembu melintas


KEMAMAN - Seorang remaja maut setelah motosikal yang ditungganginya melanggar seekor lembu di Kilometer 122 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Kemasik, di sini malam tadi.

Ekoran perlanggaran itu yang berlaku 10.30 malam, Mohd Syazani Fadli Mat Razak, 19, yang bekerja di pelabuhan Gebeng, Kuantan terjatuh dan tidak sedarkan diri akibat cedera parah dan mati semasa dibawa ke Hospital Kemaman.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, DSP Abdul Marlik Hakim Johar berkata ketika kejadian mangsa bersama seorang saudaranya, Abdul Hadi Ariffin, 22, dalam perjalanan pulang ke rumah sewanya di Gebeng, Kuantan selepas minum di Paka.

Ketika sampai di tempat kejadian, seekor lembu melintas dan menyebabkan mangsa gagal mengawal kenderaannya lalu merempuh binatang tersebut dan tercampak.

"Setelah jatuh, mangsa tidak sedarkan diri manakala Abdul Hadi yang mengalami kecederaan di bahagian kepala menahan sebuah kenderaan yang membawa mangsa ke hospital.

"Mangsa yang berasal dari Bukit Payung, Marang, disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital akibat mengalami kecederaan dalaman," katanya.

Mayat mangsa telah dituntut oleh ahli keluarganya sementara Abdul Hadi masih dirawat di hospital.

 – Bernama

Lelaki mati ditembak di Sri Aman


SRI AMAN - Seorang lelaki berusia 28 tahun yang masih belum didedahkan identitinya ditemui mati dipercayai akibat ditembak dalam satu kejadian di sebuah rumah di Kampung Hulu di sini kira-kira jam 8 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Sri Aman DSP Mat Jusoh Muhammad berkata susulan kejadian itu, polis yang menerima aduan daripada orang awam menahan seorang lelaki berusia 44 tahun dari kampung yang sama untuk membantu siasatan. 

"Saya tidak boleh dedahkan nama mangsa setakat ini, polis masih lagi menyiasat kes tersebut daripada beberapa sudut dan berharap ada saksi boleh tampil untuk membantu siasatan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini. 

Beliau berkata polis turut menjumpai sepucuk senapang patah di sebuah rumah berhampiran tempat kejadian yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu. 

Katanya mayat mangsa dihantar ke Hospital Sri Aman untuk bedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

- Bernama

Polis tahan empat lelaki pura-pura bawa hamper semasa merompak

KOTA KINABALU - Polis menahan empat lelaki berhubung kes merompak dengan berpura-pura menghantar hamper di Austral Park, Kepayan, dekat sini bulan lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (CID) negeri, SAC Omar Mammah berkata ketika ditahan pukul 5.50 pagi 13 April, seorang daripada suspek patah lengan, kaki dan pinggangnya terseliuh setelah melompat ke bawah dari atas rumah dua tingkat di Taman Sagindai, Kinarut. 

"Tiga orang suspek itu diberkas di Kinarut manakala yang keempat, 16 jam kemudian di Kampung Pabilan, Keningau,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Omar berkata mangsa, seorang penjawat awam kehilangan barang-barang berharga berjumlah kira-kira RM30,000 apabila tiga lelaki melakukan rompakan pada siang hari di rumahnya pada 31 Mac. 

Beliau berkata pemilik rumah berkenaan tiada di rumah semasa kejadian pukul 11 pagi itu dan lelaki penjenayah tersebut hanya berdepan pembantu rumah mangsa. 

Omar berkata pembantu rumah berkenaan membenarkan ketiga-tiga lelaki itu masuk berpura-pura menghantar hamper yang kemudian terperanjat apabila mereka mengeluarkan pisau dan parang daripada bakul tersebut. 

Beliau percaya lapan orang lagi terlibat dan polis sedang mencari mereka untuk membantu menyiasat 11 lagi kes rompakan di Kota Kinabalu, Penampang dan Keningau. 

- Bernama